Topic followed successfully
Go to BHkuPiala Dunia terima tambahan dana, Fifa umum tindakan tegas kad merah
Piala Dunia terima tambahan dana, Fifa umum tindakan tegas kad merah
Piala Dunia terima tambahan dana, Fifa umum tindakan tegas kad merah
VANCOUVER: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 28 April mengumumkan peningkatan jumlah agihan tunai Piala Dunia kepada hampir AS$900 juta ($1.15 bilion) berikutan kebimbangan tentang kos yang semakin meningkat bagi pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.
Badan pentadbir bola sepak dunia itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa wang yang dikongsi antara 48 pasukan yang mengambil bahagian dalam pusingan akhir di Mexico, Canada dan Amerika Syarikat kini berjumlah AS$871 juta, meningkat daripada AS$727 juta yang diumumkan pada Disember.
Suntikan dana itu diumumkan selepas mesyuarat majlis pemerintah Fifa menjelang Kongres badan tersebut yang akan berlangsung di Vancouver pada 30 April.
Peningkatan besar itu berlaku selepas beberapa ahli Fifa berhujah bahawa kos tinggi perjalanan, cukai dan operasi keseluruhan boleh menyebabkan mereka mengalami kerugian daripada penyertaan dalam kejohanan itu.
Fifa kini telah mengambil langkah untuk meredakan kebimbangan tersebut dengan menaikkan peruntukan “kos persediaan” sebanyak AS$1.5 juta kepada AS$2.5 juta bagi setiap pasukan yang layak.
Bayaran sebanyak AS$9 juta untuk melayakkan diri ke kejohanan itu juga telah dinaikkan kepada AS$10 juta.
Selain itu, peruntukan tambahan turut diberikan untuk kos delegasi pasukan dan tiket, sebagai sebahagian daripada peningkatan keseluruhan pakej tersebut.
“Fifa berbangga berada dalam kedudukan kewangan paling kukuh pernah dicapai, membolehkan kami membantu semua persatuan ahli dengan cara yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata presiden Fifa, Gianni Infantino, dalam satu kenyataan.
“Ini adalah satu lagi contoh bagaimana sumber Fifa dilaburkan semula ke dalam permainan.”
Fifa dijangka memperoleh sekitar AS$13 bilion daripada kitaran Piala Dunia empat tahun semasa, yang berakhir dengan kejohanan 2026, iaitu Piala Dunia terbesar dalam sejarah.
Hadiah wang bagi kejohanan 2026 yang diumumkan pada 2025 telah pun melebihi jumlah yang diberikan pada Piala Dunia 2022, dengan peningkatan sebanyak 50 peratus.
Peningkatan bayaran tunai itu berlaku sedang Fifa semakin dikritik atas harga tiket yang tinggi untuk kejohanan itu. Pada masa sama, beberapa pihak berkuasa tempatan di Amerika turut menaikkan kos pengangkutan secara mendadak sepanjang acara tersebut.
Sementara itu, Fifa turut mengesahkan perubahan undang-undang yang akan dilaksanakan pada Piala Dunia, yang akan bermula di Mexico City pada 11 Jun.
Mulai sekarang, pemain yang menutup mulut mereka semasa berdepan dengan lawan akan dikenakan kad merah sebagai sebahagian daripada inisiatif baru yang bertujuan membanteras perkauman.
Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa di Vancouver pada 27 April, Fifa mengesahkan bahawa peraturan itu merupakan salah satu daripada dua perubahan undang-undang yang akan diperkenalkan pada Piala Dunia.
“Atas keputusan penganjur pertandingan, mana-mana pemain yang menutup mulut dalam situasi konfrontasi dengan lawan boleh dikenakan kad merah,” kata Fifa.
Peraturan baru itu menyusuli kontroversi pada awal 2026 apabila pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni, dituduh melakukan penghinaan berunsur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior, semasa perlawanan Liga Juara-Juara pada Februari. – Agensi berita.

