LAS VEGAS: George Russell menerajui Mercedes menguasai dua tempat teratas dalam sesi latihan terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix Las Vegas pada 20 November dalam keadaan cuaca kering.

Pemandu Britain itu turut mencatat masa terpantas dalam sesi latihan kedua yang dilanda hujan pada malam 19 November.

Russell yang menjuarai perlumbaan di litar Strip pada 2024 mencatat masa satu minit 34.041 saat di litar jalan raya sepanjang 6.2 kilometer, menjelang sesi kelayakan pada 20 November.

Rakan sepasukannya Mercedes yang juga juara dunia baharu, Kimi Antonelli, menduduki tempat kedua dengan catatan 0.911 saat lebih perlahan, diikuti pemandu McLaren, Lando Norris, di tempat ketiga.

Russell dan pemandu Red Bull, Max Verstappen, terbabit dalam persaingan sengit menjelang akhir sesi apabila kededuanya memandu bersebelahan selepas juara dunia empat kali itu memintas Russell sebelum memperlahankan kenderaannya.

Russell kemudian kembali mendahului berhampiran selekoh ke-14, dengan pegawai perlumbaan mengumumkan siasatan terhadap kejadian itu.

“Dia baru saja menghimpit saya ke penghadang,” kata Verstappen menerusi radio pasukan.

“Seronok bermain-main, ya?” kata Russell menerusi radionya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pegawai perlumbaan sebelum itu memaklumkan Verstappen, juara perlumbaan sulung pada 2023 dan sekali lagi pada 2025, sedang disiasat kerana didakwa memandu secara tidak menentu pada pusingan pertama.

Cuaca kering dijangka mengiringi perlumbaan malam 21 November, namun suhu diramalkan turun kepada sekitar 7 darjah Celsius, yang mungkin menjadikannya antara perlumbaan paling sejuk dalam sejarah F1. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti