Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Verstappen ‘tutup mulut’ selepas dikenakan penalti

Juara dunia empat kali dikatakan keluar dari trek untuk raih kelebihan ke atas pemenang perlumbaan Oscar Piastri
Apr 21, 2025 | 4:07 PM
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, enggan mengulas rasa tidak puas hatinya apabila dikenakan penalti dalam Grand Prix Arab Saudi kerana bimbang dikenakan tindakan oleh badan induk Formula Satu (F1), Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, enggan mengulas rasa tidak puas hatinya apabila dikenakan penalti dalam Grand Prix Arab Saudi kerana bimbang dikenakan tindakan oleh badan induk Formula Satu (F1), Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). - Foto REUTERS

RIYADH: Max Verstappen enggan mengulas rasa tidak puas hatinya terhadap penalti yang dikenakan ke atasnya dalam Grand Prix Arab Saudi kerana bimbang dikenakan tindakan oleh badan induk Formula Satu (F1), Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Juara dunia empat kali itu dikenakan penalti lima saat kerana keluar dari trek dan meraih kelebihan dalam pertarungan di selekoh pertama menentang pelumba McLaren, Oscar Piastri.

Keputusan itu berkemungkinan menyebabkannya kehilangan kemenangan perlumbaan kepada pelumba Australia tersebut.

Verstappen, yang memandu untuk Red Bull, berkata: “Saya tidak boleh luahkan pendapat sebab nampaknya ia tak dihargai, atau orang tidak boleh terima kebenaran.

“Sejujurnya, lebih baik saya tidak cakap apa-apa. Sekarang semua orang terlalu sensitif. Dan berdasarkan peraturan sedia ada, kami tidak boleh terlalu kritikal pun. Jadi, kurang bercakap – lebih baik untuk saya.”

Komen Verstappen itu merujuk kepada perubahan pada buku peraturan FIA pada musim 2025, yang mengenakan penalti ke atas pelumba yang melanggar batas, termasuk menggunakan bahasa kesat atau mengkritik badan induk itu.

Perubahan tersebut diperkenalkan Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem, dan boleh membawa kepada penggantungan selama sebulan serta pemotongan mata kejuaraan.

Langkah itu dibuat selepas insiden pelumba menggunakan bahasa kesat dalam sidang media pada 2024, yang mengundang tindakan yang dianggap kontroversial.

Verstappen sendiri terpaksa menjalani “khidmat masyarakat” dalam dunia permotoran selepas menggunakan kata kesat dalam sidang media dalam GP Singapura, manakala pelumba Ferrari, Charles Leclerc, turut didenda kerana perkara sama di Las Vegas, Amerika.

Apabila ditanya mengenai kenyataan-kenyataannya yang lebih berhati-hati pada musim 2025, Verstappen menjawab:

“Itu ada kaitan dengan media sosial dan keadaan dunia sekarang. Saya lebih suka tidak bercakap banyak kerana kata-kata boleh diputarbelitkan atau disalah tafsir. Lebih baik saya diam.”

Kod Sukan FIA melarang sebarang “kata-kata, perbuatan atau tulisan yang boleh mencemarkan maruah atau menjejaskan imej FIA, anggotanya, atau nilai-nilai sukan permotoran”.

Perbualan radio Verstappen semasa perlumbaan menggambarkan dengan jelas beliau tidak bersetuju dengan penalti tersebut, tetapi telah diingatkan supaya tidak mengulas.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner, berkata penalti itu “sangat keras”.

“Apa jadi dengan prinsip ‘biarkan mereka berlumba pada pusingan pertama’? Nampaknya ia sudah dilupakan,” komen beliau.

Keputusan penalti menjelaskan bahawa hukuman biasa bagi kes seperti itu adalah 10 saat, namun dikurangkan kepada lima saat kerana berlaku pada pusingan pertama.

Verstappen diberi penalti kerana memotong bendungan sempadan litar atau chicane selepas permulaan untuk mengekalkan kedudukan pendahulu.

Piastri ketika itu berada di sebelahnya di bahagian dalam litar ketika mereka memasuki selekoh pertama, tetapi Verstappen memotong chicane di selekoh kedua untuk kekal berada di hadapan.

Garis panduan FIA menyatakan bahawa dalam situasi seperti itu, kelebihan seharusnya diberikan kepada Piastri.

“Pengawas perlumbaan perlu masuk campur, tapi saya rasa saya memang sudah cukup jauh (sejajar) dan akhirnya itulah yang memberi saya kemenangan,” ulas Piastri.

Ketua pasukan McLaren, Andrea Stella menambah:

“Oscar dapat permulaan yang baik dan berada dalam trek, jadi beliau berhak (mendapat selekoh). Jelas dalam situasi seperti ini, anda tidak boleh potong dari luar trek. Ini kes yang jelas, tidak sepatutnya timbul kontroversi pun.”

Verstappen kekal mendahului sehingga hentian pit pertama, di mana beliau menjalani penalti lima saat dan jatuh ke belakang Piastri, yang kemudian mengawal perlumbaan sehingga garisan penamat – mencatat kemenangan ketiga dalam lima perlumbaan musim 2025.

Ia termasuk satu aksi berani memotong seorang lagi pemandu Ferrari, Lewis Hamilton, dari luar di Selekoh 22 dan 23 yang berkelajuan tinggi, sekali gus mengikis masa yang hilang semasa Verstappen berhenti di pit.

Kemenangan di Jeddah itu meletakkan Piastri di tangga teratas dalam kejuaraan pemandu buat kali pertama sejak penampilan pertamanya pada 2023 – mendahului rakan sepasukan Lando Norris dengan 10 mata, manakala Verstappen ketinggalan dua mata lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg