Pemain bek tengah bawah 17 tahun Geylang International, S.C. Denilson, sentiasa mengimpikan bermain dalam pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) dan mewakili Singapura di Stadium Negara.
Namun, cita-cita terbesarnya ialah bermain secara profesional di luar negara.
Bagi pemain tempatan ini, bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi juga peluang meneroka dunia luar melalui sukan itu.
Pada 14 November, Denilson menyaksikan impiannya menjadi nyata.
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College East itu antara 18 pemain belia daripada pasukan bawah 17 dan bawah 15 tahun Geylang yang telah ke Jepun untuk latihan di kelab Liga J3 Matsumoto Yamaga hingga 25 November, lapor The Straits Times.
Di sana, mereka juga akan mengambil bahagian dalam Piala Antarabangsa Razuso bawah 17 yang dianjurkan Yamaga, rakan kerjasama Geylang.
Denilson, yang tidak pasti asal usul namanya, yang sama dengan nama pemenang Piala Dunia 2002 dari Brazil, berkata dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila mengetahui tentang peluang itu.
“Saya sangat teruja tetapi gementar juga kerana ia penerbangan pertama saya dan saya tidak tahu apa yang harus dijangka.
“Tetapi selepas perasaan awal itu, saya fikir saya mahu melihat bagaimana prestasi saya berbanding pemain Jepun dan saya juga berharap dapat menarik perhatian pencari bakat di sana.
“Siapa tahu, jika saya cemerlang, saya boleh mendapat kontrak masa depan di sana,” tambah beliau.
Walaupun menjadi kebiasaan rakan sebayanya terbang ke luar negara untuk bercuti, Denilson tidak berpeluang menikmati kemewahan itu.
Menurut Denilson, ibu bapanya bercerai sejurus selepas dia dilahirkan dan oleh kerana mereka tidak dapat menjaganya, dia tinggal bersama nenek sebelah bapa hingga berusia 10 tahun.
Selepas itu dia tinggal bersama bapa saudara sebelah bapanya Muniandy Maha Vishnu, yang dia panggil appa (bapa dalam bahasa Tamil), dan isterinya, Marina van Huizen.
Pasangan itu membentuk sistem sokongan utama Denilson, bersama kakaknya, Rachael, 29 tahun, yang membantu beliau membayar yuran sekolah dan perbelanjaan hariannya.
Denilson, yang masih berhubung dengan ibu bapanya dan melawat mereka dari semasa ke semasa, berkata dia amat berterima kasih kepada appa, ibu saudara dan kakaknya.
“Mereka sering menyokong saya dan sangat prihatin dan penyayang. Tetapi, tidak mempunyai kasih sayang ibu bapa dari kecil agak sukar, terutama apabila anda tidak dapat berjumpa mereka selalu.
“Semasa saya membesar, saya sering melihat ibu bapa kawan dan rakan sekolah saya menunggu di luar pagar sekolah untuk menjemput anak mereka balik, dan saya selalu tertanya-tanya mengapa saya tidak dapat merasa seperti itu.
“Tetapi melihat kasih sayang yang saya perolehi daripada kakak saya, appa dan ibu saudara membuat saya sangat bertekad untuk berjaya dalam bola sepak dan pelajaran saya,” tambah Denilson.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg