Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Giat buat persiapan, yakin capai sasaran

Pelari jarak sederhana S’pura Goh Chui Ling sasar antara enam tempat teratas di Hangzhou
Jul 16, 2023 | 5:30 AM
LATIHAN INTENSIF: Sepanjang tujuh bulan lalu Goh Chui Ling telah merantau sejauh Eropah untuk latihan serta kembali ke Asia Tenggara bagi Sukan SEA Kemboja selain Kejuaraan Atletik Asia di Bangkok yang sedang berlangsung.
LATIHAN INTENSIF: Sepanjang tujuh bulan lalu Goh Chui Ling telah merantau sejauh Eropah untuk latihan serta kembali ke Asia Tenggara bagi Sukan SEA Kemboja selain Kejuaraan Atletik Asia di Bangkok yang sedang berlangsung. - Foto fail

Ia merupakan musim yang panjang bagi atlet balapan dan padang Singapura, tetapi urusan yang belum selesai membuat mereka terus bertahan menjelang Sukan Asia 23 dari September hingga 8 Oktober.

Pelari jarak sederhana Goh Chui Ling memulakan musim ini di Melbourne, tempat beliau mengajar di Universiti Melbourne.

Dan sepanjang tujuh bulan lalu, beliau merantau sejauh Eropah untuk latihan serta kembali ke Asia Tenggara bagi Sukan SEA Kemboja selain Kejuaraan Atletik Asia yang sedang berlangsung di Bangkok.

Berasa beliau tidak mencapai keputusan baik dalam perlumbaan jarak 1,500 meter pada Rabu, Goh sudah pun membuat persiapan bagi perlumbaan 800 meter, yang beliau sasarkan untuk memecahkan rekod nasional yang bertahan lama – 2:07.4 minit yang dicatatkan Chee Swee Lee pada 1976.

Dan masa itu sebenarnya tidak jauh dari masa terbaik peribadinya, iaitu 2:07.79 minit.

Kata beliau: “Musim ini amat panjang... saya telah mencapai tahap di mana saya sudah lali dengan perlumbaan, tetapi saya juga bosan akan balapan.

“Biasanya saya melakukan separuh (larian) di jalan raya dan separuh lagi di balapan.

“Namun disebabkan tempat saya berpangkalan, saya mengambil keputusan melakukannya di balapan, tapi saya okay kerana tahun ini amat menyeronokkan.

“Saya akan terus menikmatinya selagi boleh kerana ia tidak akan berlarutan selama-lamanya.”

Di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok pada Rabu, Goh mencatatkan masa 4:31.28 minit untuk menduduki tempat kelapan dalam kalangan 11 peserta.

Perlumbaan itu dimenangi pelari Jepun Tanaka Nozomi dengan masa rekod kejuaraan 4:06.75 minit.

Goh berasa ada perkara yang beliau boleh melakukan dengan lebih baik semasa perlumbaan itu, namun beliau tetap berpuas hati menduduki antara tempat kelapan terbaik.

Pelari berusia 30 tahun itu berkata: “Cuaca agak mencabar (di Asia Tenggara), namun ia hanyalah satu faktor. Yang lain berdasarkan persembahan dan komitmen sendiri pada hari tersebut.

“Hari ini saya komited, tapi saya komited untuk mengekori pelari Malaysia (Savinder Kaur yang menduduki tempat kesembilan).

“Saya menamatkan larian tanpa berasa penat sepenuhnya, jadi saya tahu yang saya telah melakukan kesilapan.

“Tetapi itu tempat kelapan terbaik di Asia, dan ia adalah sesuatu yang baik,” katanya, dilapor The Straits Times.

Selepas memenangi sebutir pingat perak dan empat gangsa pada dua edisi Sukan SEA, Goh menanti-nanti peluang beraksi pada peringkat Asia.

Sedang beliau menyasarkan rekod nasional bagi jarak 800 meter hujung minggu ini, beliau juga berharap dapat menduduki tempat antara enam teratas dalam Sukan Asia di Hangzhou.

“Saya ingin menduduki antara enam pelari teratas, namun ia bergantung pada kemajuan saya dalam pertemuan sukan kali ini.

“Latihan saya menggalakkan dan saya memang mengharap. Saya lebih yakin kerana saya semakin hampir dengan sasaran saya dan tahap Asia.”

KOMITED: Goh Chui Ling dari Singapura komited mengekori Savinder Kaur dari Malaysia dalam acara 1,500m akhir wanita di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok pada 12 Julai dan akhirnya dapat memintas beliau untuk menduduki tempat kelapan.
KOMITED: Goh Chui Ling dari Singapura komited mengekori Savinder Kaur dari Malaysia dalam acara 1,500m akhir wanita di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok pada 12 Julai dan akhirnya dapat memintas beliau untuk menduduki tempat kelapan. - Foto ST

Turut menyasarkan rekod nasional adalah pasukan larian berganti 4x100 meter lelaki Singapura, yang terdiri daripada Marc Louis, Mark Lee, Calvin Quek dan Joshua Chua.

Mereka menduduki tempat ketujuh dalam final pada Rabu dengan masa 39.32 saat, 0.08 saat di luar pencapaian masa kini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg