Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gimnastik S’pura lantik Francisco Azra ketua jurulatih artistik lelaki pertama

Persatuan tingkat usaha untuk layak ke Olimpik 2028
Sep 10, 2025 | 2:26 PM
Gimnastik, S’pura, Francisco Azra, ketua jurulatih artistik
Ketua jurulatih gimnastik artistik lelaki pertama, Francisco Azra, antara lain berperanan meningkatkan prestasi atlet negara pada peringkat serantau, Asia dan dunia, di samping menambahkan bilangan gimnas lelaki berbakat tempatan. - Foto ST

Sepanjang 15 tahun lalu, atlet gimnastik wanita Singapura telah mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan di pentas dunia – daripada Lim Heem Wei yang menjadi atlet Singapura pertama bertanding dalam Sukan Olimpik 2012, hingga ke penyertaan Tan Sze En dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Kini, gimnas lelaki pula berhasrat membina laluan kejayaan serupa.

Sehubungan itu, persatuan Gimnastik Singapura telah mengambil langkah memperkukuh persediaan latihan dengan melantik ketua jurulatih gimnastik artistik lelaki pertama – Francisco Azra – yang mula bertugas pada September.

Selain berusaha meraih kelayakan ke Sukan Olimpik 2028, jurulatih dari Brazil itu juga berperanan meningkatkan prestasi gimnas pada peringkat serantau, Asia dan dunia, di samping menambahkan bilangan gimnas lelaki berbakat tempatan.

Mengenai cita-cita beraksi dalam Sukan Olimpik 2028, Azra berkata:

“Ini adalah satu matlamat dan juga impian. Saya suka mengatakan begini kerana ada yang berpendapat bahawa impian adalah sesuatu yang tidak akan tercapai, tetapi saya tidak bersetuju.

“Dengan adanya matlamat yang menjadi impian anda, anda mempunyai strategi dan semangat untuk mencapainya.

“Kami akan melakukan segala yang termampu agar ia menjadi kenyataan pada (Sukan Olimpik) 2028.

“Tetapi jika tidak tercapai, saya yakin dalam sesi (Olimpik) seterusnya, kita akan melihat seorang gimnas Singapura beraksi dalam Sukan Olimpik.”

Azra, bekas gimnas yang bertanding terutamanya pada peringkat nasional, mempunyai pengalaman kejurulatihan di Brazil dan England.

Beliau percaya pengalaman tersebut dapat dimanfaatkan bagi peranan barunya.

Jurulatih berusia 37 tahun itu pernah berkhidmat selama lima tahun sebagai jurulatih berprestasi tinggi di Minas Tenis Clube di Belo Horizonte, Brazil.

Selepas itu, beliau berkhidmat selama tujuh tahun sebagai ketua jurulatih di Kelab Gimnastik Exeter di Britain, tempat beliau membimbing dan memupuk bakat atlet di Britain.

Sebelum pelantikan beliau, gimnas artistik lelaki Singapura diuruskan terutamanya oleh jurulatih Ryosuke Kusumi dan Park Gi-yong di Pusat Latihan Kebangsaan (NTC), manakala program gimnastik artistik dan berirama wanita diuruskan oleh ketua jurulatih.

Langkah melantik ketua jurulatih bagi atlet lelaki juga didorong oleh perubahan pentadbiran di persatuan Gimnastik Singapura, termasuk pelantikan Nabilah Littleford sebagai Pengurus Pembangunan Prestasi pada Februari, dan Ketua Jurulatih Gimnastik Berirama, Berfin Serdil Ors, yang beralih ke jawatan Pengarah Prestasi sebulan kemudian.

Gimnas lelaki mempunyai jadual padat, termasuk Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Jakarta pada Oktober, Kejohanan Dunia Junior Gimnastik Artistik di Manila pada November, dan Sukan SEA dari 9-20 Disember di Thailand.

Pasukan Singapura menyasarkan lima pingat, termasuk sebutir pingat emas, merangkumi semua acara di Sukan SEA.

Azra, yang kontraknya berkuat kuasa sehingga akhir 2028, berkata projek jangka panjang tersebut memerlukan kesabaran daripada semua pihak.

Beliau menggariskan pendekatan serampang tiga mata: mempopularkan sukan tersebut melalui kelab sambil memupuk skuad kebangsaan; meningkatkan pendidikan dan pengalaman jurulatih; dan meluaskan asas pertandingan, baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg