Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol dramatik Stewart bantu Albirex sekat Geylang

Albirex bangkit daripada ketinggalan dan kurang seorang pemain untuk berkongsi mata
Feb 10, 2025 | 2:47 PM
Gol jaringan Ryhan Stewart membantu pasukannya, Albirex Niigata, seri 1-1 dengan Geylang International pada 9 Februari.
Gol jaringan Ryhan Stewart membantu pasukannya, Albirex Niigata, seri 1-1 dengan Geylang International pada 9 Februari. - Foto FACEBOOK SPL

Ryhan Stewart mencatatkan jaringan paling dramatiknya setakat ini semasa menentang Geylang International dengan gol penyamaannya pada masa kecederaan membantu Albirex Niigata – yang beraksi dengan 10 pemain – seri 1-1 dalam Liga Perdana Singapura (SPL) pada 9 Februari.

Ini merupakan gol ketiga pemain pertahanan tersebut dalam sembilan perlawanan menentang Geylang – jumlah tertinggi berbanding lawan lain – serta gol pertamanya bagi Albirex.

Walau enggan menyatakan gol itu amat bermakna baginya, beliau mempamerkan sekilas motivasi peribadi apabila meraikan jaringan dengan mengibarkan tangan seperti helang.

Stewart, 24 tahun, juga beberapa kali menumbuk-numbuk tangan ke udara kegembiraan di hadapan bangku pemain Geylang selepas wisel penamat – tindakan yang mencetuskan kemarahan jurulatih The Eagles, Noor Ali, dan para pemainnya.

Ketika perlawanan di Stadium Jurong East itu, Stewart juga terlibat dalam insiden tegang dengan pemain pertahanan Geylang, Shakir Hamzah, sehingga kedua-duanya terpaksa dipisahkan oleh rakan-rakan lain.

Ketika beraksi untuk Young Lions menentang Geylang dalam musim SPL 2021, Stewart menerima kad kuning dan mencetuskan kemarahan penyokong pasukan lawan selepas pasukannya menang 3-2.

Ketika ditanya sama ada beliau menyimpan perasaan dendam terhadap Geylang, Stewart, yang telah membuat 23 penampilan bersama pasukan nasional Singapura, hanya ketawa kecil dan berkata:

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa, ia hanyalah satu perlawanan biasa. Biarlah ia begitu.

“Perlawanan menentang Geylang sentiasa sukar kerana pasukan mereka kuat dengan pemain bermutu. Mungkin ini hari bertuah saya. 

“Pujian harus diberi kepada pasukan kami... walaupun kami ketinggalan satu gol dan kemudian kurang seorang pemain, kami tidak berhenti bekerja keras dan akhirnya memperoleh ganjaran.”

Sebelum gol penyamaan detik akhir Stewart, Albirex kelihatan akan tewas dalam perlawanan tersebut.

Pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti pada minit kelapan oleh pengadil, Jansen Foo, selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Geylang, Keito Hariya. 

Penjaring terbanyak Albirex, Shingo Nakano, yang telah menjaringkan 18 gol dalam 19 perlawanan sebelum ini, bagaimanapun, gagal menyempurnakan peluang itu apabila rembatannya melambung melepasi palang.

Geylang kemudian membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi penyerang Jepun mereka, Tomoyuki Doi.

Doi menerima hantaran daripada Ryoya Taniguchi, melakukan larian ke dalam kotak penalti, melepasi pemain pertahanan Albirex, Koki Kawachi, sebelum meledakkan rembatan bola yang melepasi penjaga gol, Hassan Sunny, untuk golnya yang ke-35 musim ini.

Albirex terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-66 selepas pemain pertahanan mereka, Stevia Mikuni, dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan Ryoya Taniguchi ketika Geylang melancarkan serangan balas.

Analisis 

Geylang (41 mata) berada di landasan untuk menamatkan musim di tiga tangga teratas buat kali pertama sejak 2003, dengan bintang penyerang, Doi, menjadi faktor utama dalam kejayaan mereka.

Kelab bergelar The Eagles itu merupakan pasukan paling prolifik dengan 74 gol dalam 23 perlawanan. 

Namun, kelemahan di bahagian pertahanan masih menjadi masalah. Mereka telah melepaskan 41 gol musim ini – 10 lebih banyak daripada Tampines.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg