Pernah menjadi pemain termuda yang tampil buat pertama kali dalam Liga Perdana Singapura (SPL) pada usia 15 tahun, Khairin Nadim kini akan mengorak langkah besar dalam kerjaya bola sepaknya dengan berpindah ke Portugal.
Dalam satu kenyataan media pada 5 Februari, kelabnya, Lion City Sailors, mengumumkan bahawa pemain berusia 20 tahun itu – yang boleh bermain sebagai pemain sayap atau penyerang – telah menandatangani kontrak selama satu setengah tahun bersama pasukan divisyen kedua Portugal, FC Vizela, selepas menarik perhatian mereka.
Khairin, yang menandatangani kontrak hingga Jun 2026, akan lebih banyak bermain bersama pasukan Bawah 23 Tahun Vizela. Beliau berkemungkinan besar beraksi dalam perlawanan Vizela pada 25 Februari, menentang Benfica B.
“Saya berterima kasih kepada Sailors yang bukan sahaja membentuk saya sebagai seorang pemain, bahkan memberi peluang luar biasa ini kepada saya,” kata Khairin, yang menyertai Akademi Sailors pada 2023.
“Beraksi di Eropah sentiasa menjadi matlamat saya, dan saya berasa gembira dapat menjadikan impian ini satu kenyataan.”
“Saya bukan sahaja mewakili Sailors, malah Singapura sebagai pemain muda di sini. Saya akan berlatih dengan keras, membuktikan bahawa saya layak berada di pentas besar ini,” tambahnya.
Khairin mula dikenali apabila membuat debut SPL pada usia 15 tahun dan 298 hari bersama Young Lions pada Mac 2020, menjadikannya pemain termuda dalam liga pada waktu itu.
Rekod itu kemudian diatasi oleh Raoul Suhaimi (15 tahun dan 239 hari) pada 2021 dan Nathan Mao (15 tahun dan 5 hari) pada 2023.
Khairin juga penjaring gol kedua termuda Singapura dalam SPL – selepas Hariss Harun (16 tahun dan 174 hari) – apabila beliau menjaringkan gol untuk Young Lions menentang Tampines Rovers pada usia 16 tahun dan 194 hari pada November 2020.
Beliau terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun mewakili Singapura di peringkat remaja, Khairin belum dipanggil ke pasukan senior nasional.
Pada musim 2024-25 SPL, beliau menjaringkan gol dan membantu dalam menghasilkan gol sekali sahaja untuk Young Lions dalam 16 penampilan.
Selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS), beliau menyertai semula Sailors pada November 2024, dan kelab itu lalu mengatur ujian untuknya bersama Vizela.
Pengarah sukan Vizela, Toni Dovale, berkata mereka telah banyak melabur dalam program pembangunan belia kelab itu dan “menandatangani bakat antarabangsa terbaik adalah sebahagian daripada langkah maju kami sebagai sebuah kelab”.
Dovale berkata beliau telah mendengar “pujian mengenai Khairin” sebelum menontonnya beraksi.
“Itu terbukti benar semasa ujian beliau bersama kami, dan kami teruja untuk melihat sejauh mana potensi beliau dapat membawanya di tahap selanjutnya,” tambahnya.
Pasukan utama Vizela kini bersaing dalam Liga Portugal 2 dan mereka berada di tangga kelapan dalam liga 18 pasukan itu yang termasuk pasukan B kelab gergasi Portugal, Benfica dan Porto.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg