SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Gol Mateta bantu Palace benam Fiorentina

Gol Mateta bantu Palace benam Fiorentina

Kemenangan selesa 3-0 bantu Palace semakin hampir ke separuh akhir Liga Konferens 
Apr 10, 2026 | 3:58 PM

Gol Mateta bantu Palace benam Fiorentina

LONDON: Jean-Philippe Mateta muncul sebagai pencetus kemenangan Crystal Palace apabila mereka menewaskan Fiorentina 3-0 pada suku akhir pertama Liga Konferens Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Mateta, yang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama Palace sejak pemindahannya ke AC Milan gagal Januari lalu, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Evann Guessand dikasari pertahanan Fiorentina, Dodo.

Penyerang Perancis itu turut memainkan peranan utama dalam gol kedua Palace tujuh minit kemudian apabila percubaannya dari jarak dekat ditepis penjaga gol Fiorentina, David de Gea, sebelum Tyrick Mitchell tampil menyudahkan peluang keemasan itu.

“Saya terus bekerja keras dan sentiasa berusaha membantu pasukan meraih kemenangan,” kata Mateta kepada TNT Sports.

“Hari ini kami lakukannya, tetapi tugas kami masih belum selesai. Kami masih ada satu lagi perlawanan di Italy,” tambahnya.

Fiorentina bangkit mengasak selepas rehat dengan Giovanni Fabbian menggegar palang gawang pada minit ke-51, manakala penjaga gol Dean Henderson melakukan dua aksi cemerlang untuk menafikan percubaan pelawat sebelum sejam permainan.

Namun, Ismaila Sarr memastikan Palace membawa bekalan selesa ke Tuscany minggu depan apabila beliau menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-90.

Jika terdapat sebarang keraguan tentang komitmen Mateta terhadap perjuangan Palace selepas kegagalannya pada Januari, perkara itu boleh diketepikan buat masa ini.

The Eagles berada dalam zon yang belum diterokai dalam pertandingan Eropah, dan kibaran bendera, sepanduk dan kain rentang ketika pemain memasuki padang hanya menambah kemeriahan perlawanan.

Sementara itu, pasukan yang menang perlawanan ini akan bertemu sama ada kelab Ukraine Shakhtar Donetsk atau kelab Belanda, AZ Alkmaar, pada separuh akhir.

Shakhtar menewaskan AZ Alkmaar 3-0 dengan semua jaringan dibuat di akhir permainan apabila Pedrinho membuka tirai pada minit ke-72 sebelum Alisson Santana menyumbat dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir.

Sementara itu, kelab Sepanyol, Rayo Vallecano, hanya selangkah untuk mencipta sejarah layak ke separuh akhir Eropah buat kali pertama selepas menang 3-0 ke atas AEK Athens.

Pemenang aksi itu akan berdepan sama ada Mainz atau Strasbourg.

Pemain sayap Maghribi, Ilias Akhomach, meletakkan Rayo di depan seawal minit kedua hasil penyudah hantaran lintang Alvaro Garcia.

Unai Lopez menambah gol kedua sebelum rehat, manakala kapten Rayo, Isi Palazon melengkapkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-74. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg