Man City lengkapi pembelian kapten Palace, Marc Guehi dengan nilai $34j

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Man City lengkapi pembelian kapten Palace, Marc Guehi dengan nilai $34j

Jan 20, 2026 | 3:35 PM

Man City lengkapi pembelian kapten Palace, Marc Guehi dengan nilai $34j

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bola sepak, Marc Guehi, Man City
Kapten Crystal Palace, Marc Guehi, 25 tahun, telah menandatangani kontrak selama lima setengah tahun dengan Manchester City. - Foto REUTERS

LONDON: Manchester City telah menyelesaikan urusan menandatangani kontrak dengan kapten Crystal Palace, Marc Guehi, dengan nilai £20 juta (sekitar $34.5 juta).

Pemain pertahanan asal England itu, yang pernah dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah, hampir menyertai Liverpool pada musim panas lalu, dengan kontraknya dengan Palace pula bakal tamat pada penghujung musim ini.

Guehi telah menjalani pemeriksaan kecergasan pada 18 Januari selepas bersetuju dengan syarat peribadi yang dikemukakan City. Beliau kemudian menandatangani kontrak selama lima setengah tahun.

Lepasan akademi Chelsea itu telah membuat 188 penampilan untuk Palace sejak menyertai kelab itu daripada Swansea pada 2021.

Ini termasuk 33 penampilan musim ini ketika mereka memulakan kempen pertama bagi Liga Persidangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Pembelian Guehi menyusuli pembelian Antoine Semenyo dari Bournemouth ke City dengan nilai £62.5 juta pada 9 Januari.

Guehi berkata beliau “sangat gembira dan berasa amat bangga” berpeluang menjadi pemain City.

“Langkah ini terasa seperti hasil segala usaha keras yang telah saya curahkan sepanjang kerjaya saya,” tambahnya.

“Kini saya berada di kelab terbaik di England dan sebahagian daripada skuad pemain yang luar biasa.”

City mula mengadakan perbincangan dengan Guehi, 25 tahun, awal Januari susulan kecederaan pemain pertahanan Josko Gvardiol dan Ruben Dias.

Dalam kekalahan 2-0 pada 17 Januari menentang Manchester United, City menampilkan barisan pertahanan empat pemain yang merangkumi tiga pemain berusia 21 tahun dan ke bawah – iaitu Rico Lewis, Abdukodir Khusanov dan Max Alleyne – serta Nathan Ake, 30 tahun.

Alleyne digantikan pada separuh masa oleh rakan sebaya, Nico O’Reilly, 20 tahun.

Kelemahan dalam pertahanan merupakan faktor terbesar dalam kekalahan pasukan itu ketika menentang United.

Justeru, kehadiran Guehi dijangka menambah pengalaman serta mutu permainan yang amat diperlukan barisan pertahanan City.

Berdasarkan statistik sejak permulaan musim lalu, Guehi berada dalam senarai 10 terbaik dalam kalangan pemain pertahanan tengah Liga Perdana England (EPL) untuk jumlah gawang tidak dibolosi, kemenangan ‘duel’ atau tarungan, kemenangan tarungan udara, dan hantaran yang menembusi benteng lawan.

Musim ini, beliau turut berada dalam kalangan 10 terbaik untuk rampasan bola, penguasaan semula bola, serta kejayaan tarungan.

Keupayaan Guehi memimpin pasukan juga tidak dapat disangkal, selepas mengetuai Palace menewaskan City dalam final Piala FA pada Mei 2025, serta memainkan peranan penting dalam perjalanan England ke final Kejuaraan Eropah 2024.

Keupayaan Guehi mengendalikan bola adalah sesuatu yang akan memberi manfaat kepada City – terutamanya kerana pasukan lawan cenderung mempertahankan benteng di kawasan sendiri.

Ketika City tewas kepada United pada 17 Januari, pemain pertahanan tengah mereka mempunyai masa paling banyak dengan bola, tetapi dengan ketiadaan John Stones, Gvardiol dan Dias, mereka tidak dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaiknya.

Cekap mengendalikan bola, menggelecek menggunakan kedua-dua kaki, serta menguasai bola, Guehi mampu menggerakkan pasukan ke hadapan apabila tidak berdepan dengan tekanan terus daripada pihak lawan.

City kekurangan pemain yang mahir menukar arah serangan atau membuat hantaran jauh apabila United menumpukan lebih ramai pemain pertahanan di satu sisi.

Ini adalah salah satu kekuatan Guehi, dan beliau mampu melakukannya dengan kedua-dua kaki.

Sepanjang musim lalu, Guehi mencatat purata 7.3 hantaran jauh setiap 90 minit dengan ketepatan 45.7 peratus.

Musim ini, apabila City menguasai bola, mereka cenderung mengekalkan kedua-dua pemain pertahanan tengah di belakang sementara pemain pertahanan sayap mara ke hadapan.

Dalam beberapa keadaan, pemain tengah Bernardo Silva memisahkan pertahanan tengah untuk membentuk barisan tiga pertahanan sementara.

Kelincahan Guehi mengambil peranan berbeza di atas padang pastinya bermanfaat untuk City.

Ini kerana beliau telah menunjukkan keupayaan bermain sama ada sebagai pemain pertahanan tengah kiri atau kanan dalam barisan empat pemain bagi Palace dan England, serta mampu mengisi kesemua posisi dalam barisan tiga pemain pertahanan.

Guardiola telah memuji prestasi permainan Khusanov dan Alleyne dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun jelas beliau merasakan pasukan memerlukan seorang pemimpin dengan ketiadaan Dias.

Pengalaman Guehi sebagai kapten sebuah pasukan EPL pastinya berguna untuk membimbing pemain pertahanan muda City.

Selain itu, dengan Stones dan Ake menghampiri penghujung kerjaya bersama City, pembelian ini dilihat sebagai langkah yang bijak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg