Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis lepas ke pusingan 16 terbaik, namun perlu perbaiki prestasi
Perancis lepas ke pusingan 16 terbaik, namun perlu perbaiki prestasi
Mbappe pula hampir dapat tandingi Messi sebagai penjaring terbanyak dalam Piala Dunia
Perancis lepas ke pusingan 16 terbaik, namun perlu perbaiki prestasi
NEW JERSEY (Amerika Syarikat): Perancis telah melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 dengan satu lagi persembahan mengagumkan, namun jurulatihnya, Didier Deschamps, menegaskan pada 30 Jun bahawa pasukannya itu masih jauh daripada sempurna, dan sentiasa ada ruang untuk memperbaiki prestasi memandangkan mutu lawan semakin meningkat.
Perancis mengatasi Sweden 3-0 pada 30 Jun (1 Julai waktu Singapura) dan sekali gus menempah pertembungan dengan Paraguay, tetapi Deschamps merasakan jumlah jaringan itu mungkin lebih besar sekiranya pasukannya tidak mensia-siakan beberapa peluang pada separuh masa pertama.
“Kami telah lakukan apa yang perlu dilakukan, walaupun agak teragak-agak pada 15 minit pembukaan,” katanya dalam satu sidang media.
“Selepas itu, kami tunjukkan keupayaan kami untuk mencipta peluang. Yang kami kesalkan hanyalah permainan kami tidak cukup tepat pada separuh masa pertama. Kami sepatutnya boleh selesaikan perlawanan itu lebih awal.”
Deschamps gembira kerana pasukannya berjaya melepasi cabaran pusingan kalah mati pertama dengan selesa, tetapi memberi amaran bahawa ujian lebih sukar masih menanti.
“Peringkat kalah mati ini memang sukar buat semua pasukan, namun hari ini ia mudah sedikit untuk kami. Kami baru sahaja masuk pusingan 16 terbaik,” katanya.
Deschamps turut bertekad tidak mahu leka walaupun Perancis terus mengukuhkan status sebagai antara calon juara kejohanan ini.
“Kami tidak mahu leka. Kami akan nikmati saat ini, kemudian kembali fokus dalam masa 48 jam,” katanya.
“Kami tahu apa yang menanti kami dalam masa empat hari lagi. Kami akan luangkan masa untuk raikan kemenangan ini, kemudian kami perlu bersedia untuk melakukannya sekali lagi.”
Perancis sangat hebat sepanjang kejohanan tersebut, dengan jaringan 13 gol, tetapi turut memberi peluang kepada lawan.
Deschamps percaya pasukannya perlu terus memperbaiki prestasi sekiranya mahu merangkul piala buat kali ketiga.
“Kami perlu terus tingkatkan piawaian kerana pasukan lawan hanya akan menjadi semakin kuat. Mereka akan menyerang dengan lebih baik dan bertahan dengan lebih baik,” katanya.
“Masih ada perkara yang perlu kami perbaiki. Kami telah beri terlalu banyak peluang kepada lawan, walaupun (penjaga gol) Mike (Maignan) sangat cemerlang. Kami perlu buat beberapa penyesuaian dalam kedudukan pemain, tetapi pemain banyak berkomunikasi antara satu sama lain.”
Walaupun ada kelemahan itu, Deschamps memuji komitmen berpasukan yang menjadi asas kepada aksi mengagumkan pasukan Perancis.
Sementara itu, pemain Perancis, Kylian Mbappe, terus mengekori jejak Lionel Messi, pemain Argentina, apabila kedua-dua pemain itu bersama-sama mencipta sejarah baharu dalam penjaringan gol Piala Dunia.
Namun begitu, Mbappe lebih tertumpu untuk menang dan mengangkat piala Piala Dunia di New York pada 19 Julai, berbanding menjadi penjaring terbanyak.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol ketika Les Bleus (gelaran bagi Perancis) menewaskan Sweden 3-0 dalam pusingan 32 terakhir pada 30 Jun.
Bilangan itu menjadikannya hanya perlukan satu gol lagi untuk menyamai rekod 19 gol Messi dalam edisi keseluruhan Piala Dunia, sekali gus menyertai Messi di puncak carta penjaring dalam Piala Dunia 2026 dengan enam gol. – Reuters.
