Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol sendiri Mert Muldur buat Turkey gigit jari

Jul 7, 2024 | 2:15 PM
Stefan de Vrij (kanan) dari Belanda meraikan gol bersama Nathan Ake (tengah) dan Xavi Simons (kiri)
Stefan de Vrij (kanan) dari Belanda meraikan gol bersama Nathan Ake (tengah) dan Xavi Simons (kiri) - Foto EPA-EFE

BERLIN: Pasukan Belanda berjaya bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas Turkey di Olympiastadion, Berlin pada 6 Julai untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Euro 2024.

Ini selepas pemain Turkey, Murt Muldur menjaringkan gol sendiri ketika mendapat tekanan daripada Cody Gakpo pada minit ke-76 untuk memberikan kemenangan Belanda.

Belanda ketinggalan 0-1 dalam separuh masa pertama apabila tandukan Samet Akaydin pada minit ke-35 menewaskan penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen, dan meletakkan Turkey di hadapan dengan satu jaringan.

Para pemain Belanda lebih banyak mengatur serangan dalam separuh masa kedua dan mendapat beberapa peluang terbaik tetapi sukar menembusi benteng pertahanan Turkey yang berdisiplin ketika bertahan.

Pemain Turkey, Arda Guler hampir menggandakan jaringan pada minit ke-53 melalui tendangan bebas daripada luar petak penalti, tetapi palang gol menjadi penghalang.

Dalam pada itu, serangan Belanda yang bermula daripada tendangan sudut memastikan jaringan penyamaan terhasil selepas Stefan De Vrij menanduk bola masuk pada minit ke-70 untuk menyamakan kedudukan.

Usaha Belanda pada minit ke-76 terbalas selepas hantaran Denzel Dumfries mengakibatkan pemain Turkey, Mert Muldur menjaringkan gol ke gawang sendiri, menyebabkan Belanda mendahului 2-1.

Keputusan 2-1 kekal hingga pengadil perlawanan dari Perancis, Clement Turpin, meniupkan wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemenangan Belanda sebagai pasukan terakhir yang berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

“Kami tahu ini satu perlawanan sukar, jadi saya sangat gembira kerana kami menang,” kata jurulatih Belanda, Ronald Koeman.

“Ia adalah satu kemenangan bukan sahaja kerana kami mungkin pasukan lebih baik, tetapi juga kerana kami menunjukkan semangat juang dan tidak berputus asa,” tambahnya.

Pengurus pasukan Turkey, Vincenzo Montella meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan dengan harapan pasukan mudanya boleh menghalang Belanda ketika serangan balas.

Pasukan Belanda, juara Euro 1988, terlebih dahulu mencipta peluang dengan Cody Gakpo dan Memphis Depay bergabung, namun usaha berkenaan gagal menemui gol.

Akaydin yang menggantikan Demiral membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi tandukannya sekali gus menggamatkan stadium, yang ramai penontonnya adalah penyokong Turkey.

Pada minit ke-70, De Vrij menemui jaringan penyamaan menerusi tandukannya untuk menewaskan penjaga gol Turkey, Mert Gunok.

Enam minit kemudian, Belanda mendahului permainan apabila hantaran rendah Denzel Dumfries ditampan masuk Muldur ke gawang sendiri.

Ia adalah gol sendiri ke-10 dalam kejohanan itu.

Pertembungan suku akhir di Berlin dibayangi perbalahan diplomatik antara Turkey dengan Jerman, selepas pemain pertahanan Turkey ketika peringkat 16 terakhir, Merih Demiral digantung dua perlawanan kerana melakukan isyarat kontroversi.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, hadir menyaksikan perlawanan di Olympiastadion bersama puluhan ribu peminat yang membuat tiupan wisel setiap kali Belanda menguasai bola.

Belanda yang mengatasi tekanan daripada penonton dan gaya bertenaga Turkey kini mara ke separuh akhir Euro buat kali pertama sejak 2004.

“Kami bermula dengan sangat baik pada mata saya, tetapi kami kehilangan bola pada saat-saat berbahaya...

“Kami mahu memenuhi impian kami dan kini kami selangkah lebih dekat,” kata kapten Belanda Virgil van Dijk. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg