HAMBURG (Jerman): Perancis berhasil menempa tempat ke separuh akhir Piala Euro, apabila berhasil memanfaatkan tendangan penalti yang menjadi penentuan pada 6 Julai – kali pertama sejak 1998.
Bekas pemain dan kini jurulatih Perancis, Didier Deschamps, ternyata gembira menyaksikan keputusan perlawanan itu.
Selepas 120 minit permainan yang berakhir 0-0 di Volksparkstadion, Perancis menjaringkan lima penalti dengan sempurna, manakala rembatan, Joao Felix, dari Portugal menerjah tiang gol.
Akhirnya Perancis menang 5-3.
Kemenangan itu menebus kekecewaan Perancis selepas tersingkir daripada Euro 2020 dalam peringkat knockout, atau 16 pasukan terakhir semasa menentang Switzerland.
Pasukan itu juga kalah dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 menentang Argentina menerusi sepakan penalti.
Di sebalik kegembiraan Perancis untuk mara ke separuh akhir, yang bakal menyaksikan mereka menentang Sepanyol pada 10 Julai, pasukan itu tidak melakukan yang terbaik dalam perlawanan menentang Portugal.
Malah, Perancis masih belum menjaringkan gol dalam permainan terbuka atau sepanjang 90 minit perlawanan.
Sebaliknya mereka hanya mendapat manfaat daripada dua gol sendiri dan satu penalti dalam empat perlawanan sebelum ini dalam kejohanan tersebut.
“Ada pelbagai sebab, Kylian (Mbappe) dan Antoine (Griezmann) tidak mempamerkan permainan terbaik mereka. Tetapi di sebalik semua itu, kami tetap berada di sini.
“Anda tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika kami menjaringkan gol. Lawan kami (Portugal) juga tidak begitu cekap.
“Mereka mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol tetapi mereka berdepan dengan (penjaga gol Mike) Maignan yang cemerlang.
“Jangan beritahu saya bahawa kami tidak layak mendapat tempat di separuh akhir...
“Tetapi saya lebih suka mempunyai pasukan yang lebih cekap dalam menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol,” kata Deschamps.
Bagaimanapun, penjaga gol, Maignan memuji para pemain yang melakukan tendangan penalti.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami mantap dalam pertahanan dan kami mempunyai banyak kekuatan mental serta terus tenang semasa sepakan penalti, itulah perbezaannya,” kata Maignan.
Sementara itu, kekalahan Portugal dalam Kejohanan Euro kali ini, mungkin menutup tirai kerjaya antarabangsa bagi Cristiano Ronaldo.
Walaupun penyerang Portugal itu tidak membuat sebarang kenyataan mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan, pemain berusia 39 tahun itu bergelut untuk menghidupkan semula kejayaan dalam kejohanan Euro kali ini.
Malangnya beliau meninggalkan Euro 2024 tanpa menjaringkan gol, selain daripada sepakan penalti yang disempurnakannya menentang Perancis.
Dalam perlawanan itu Ronaldo terlepas peluang menjaringkan gol dalam masa tambahan, namun tetap menyempurnakan salah satu sepakan penalti buat pasukannya.
“Ia terlalu awal untuk bercakap mengenainya dan tiada keputusan individu dibuat,” kata jurulatih, Roberto Martinez, ketika ditanya sama ada ia adalah perlawanan terakhir Ronaldo mewakili Portugal.
Akan ada perdebatan selama-lamanya tentang di mana kedudukannya dalam kalangan pemain bola sepak terhebat – sama ada dalam atau belakang barisan pemain yang dibanggakan seperti Pele, Diego Maradona, atau saingan lamanya, Lionel Messi.
Kesemua mereka memenangi Piala Dunia, yang tidak dimiliki Ronaldo.
Kekalahan kepada Perancis pada 6 Julai di Volksparkstadion adalah penampilan ke-212 Ronaldo buat Portugal, jelas mengatasi Messi yang tampil buat kali ke-185 untuk Argentina yang menang ketika menentang Ecuador dalam Copa America pada 4 Julai.
Jaringan 130 gol Ronaldo untuk negaranya juga jauh lebih hebat meletaknya sebagai pendahulu penjaring terbanyak dalam bola sepak antarabangsa, dengan Messi baru-baru ini menduduki tempat kedua dalam senarai menerusi 108 gol. – Agensi berita.
“
Ada pelbagai sebab, Kylian (Mbappe) dan Antoine (Griezmann) tidak mempamerkan permainan terbaik mereka. Tetapi di sebalik semua itu, kami tetap berada di sini... Jangan beritahu saya bahawa kami tidak layak mendapat tempat di separuh akhir... Tetapi saya lebih suka mempunyai pasukan yang lebih cekap dalam menjaringkan gol. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg