BAKU (Azerbaijan): Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton pada 12 September menolak dakwaan bahawa beliau kecewa, atau berasa dirinya tidak diendahkan, oleh keputusan ketua reka bentuk Red Bull, Adrian Newey, untuk menyertai pasukan Aston Martin pada 2025, daripada memilih Ferrari, selepas meninggalkan Red Bull.
Begitupun, juara tujuh kali itu menyatakan beliau berasa “beruntung” dapat bekerjasama dengan dua pasukan McLaren dan Mercedes yang memenangi gelaran sebelum ini, tanpa Newey.
Namun, ia adalah “satu penghormatan” sekiranya beliau dapat bekerja dengan pakar permotoran terkenal itu di Italy pada musim depan, kata Hamilton.
Hamilton dijangka menyertai Ferrari pada 2025.
“Mana-mana pasukan akan gembira memilikinya,” kata Hamilton mengenai warga Britain berusia 65 tahun itu, yang mengesahkan dalam satu majlis pengumuman yang meriah pada 10 September, bahawa beliau akan berpindah ke Aston Martin pada musim depan.
“Akhirnya, beliau perlu melakukan yang terbaik untuk dirinya. Ia tidak mengubah apa-apa untuk saya. Ia tidak mengubah matlamat saya, atau fokus saya dengan langkah seterusnya (untuk menyertai Ferrari).
“Jadi, saya masih percaya 100 peratus bahawa banyak yang boleh kami lakukan di sana,” ujar beliau.
Newey, yang keretanya telah merangkul lebih 200 kemenangan Grand Prix dan 25 kejuaraan, mendedahkan pada awal 2024 bahawa beliau berhasrat meninggalkan Red Bull.
Beliau telah berbincang dengan beberapa pasukan, termasuk Ferrari, sebelum memutuskan untuk menyertai Aston Martin yang berpangkalan di Silverstone.
Hamilton, pemenang enam gelaran bersama pasukannya sekarang, Mercedes, dan satu lagi gelaran bersama McLaren, pernah menyatakan beliau ingin sekali bekerja dengan Newey dalam Formula Satu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg