Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grace Fu: Kuasa sukan mampu satukan dunia, ubah kehidupan

Presiden IOC, Kirsty Coventry, ‘buka pintu’ kerjasama dengan S’pura
Jul 29, 2025 | 6:57 PM
Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (kanan), berkata Singapura ingin memberi sumbangan bermakna kepada gerakan Olimpik. Beliau dilihat memberikan tanda penghargaan kepada presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry, di majlis makan tengah hari anjuran SNOC, yang berlangsung di hotel Swissotel The Stamford pada 29 Julai.
Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (kanan), berkata Singapura ingin memberi sumbangan bermakna kepada gerakan Olimpik. Beliau dilihat memberikan tanda penghargaan kepada presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry, di majlis makan tengah hari anjuran SNOC, yang berlangsung di hotel Swissotel The Stamford pada 29 Julai. - Foto SNOC

Walau Singapura negara yang kecil, ia percaya bahawa kuasa sukan mampu menyatukan dunia dan mengubah kehidupan, terutama sekali dengan keadaan dunia yang semakin berubah, ujar presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Sejajar dengan itu, presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), yang baru memegang jawatan itu pada Jun lalu, Kirsty Coventry, berikrar mahu memperkukuh kerjasama dengan Singapura.

Beliau meluahkan keterujaannya untuk berkhidmat dalam gerakan Olimpik sepanjang tempoh lapan tahun akan datang, sambil menggambarkan kerjasama erat bersama Singapura.

Kedua-duanya berkata demikian di majlis makan tengah hari anjuran SNOC, yang berlangsung di hotel Swissotel The Stamford pada 29 Julai.

Majlis itu turut dihadiri mantan presiden IOC, Dr Thomas Bach; anggota IOC dan SNOC; atlet Olimpik dan Olimpik Belia Singapura; dan rakan kongsi serta penaja.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kanan) berikrar mahu memperkukuh kerjasama dengan Singapura. Beliau dilihat beramah tamah dengan hadirin di majlis makan tengah hari anjuran Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) termasuk (dari kiri) pemenang pingat emas Olimpik Singapura untuk renang, Joseph Schooling; mantan presiden IOC, Dr Thomas Bach; anggota IOC, Ng Ser Miang.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kanan) berikrar mahu memperkukuh kerjasama dengan Singapura. Beliau dilihat beramah tamah dengan hadirin di majlis makan tengah hari anjuran Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) termasuk (dari kiri) pemenang pingat emas Olimpik Singapura untuk renang, Joseph Schooling; mantan presiden IOC, Dr Thomas Bach; anggota IOC, Ng Ser Miang. - Foto SNOC

Mengulas lanjut, Cik Fu berkata:

“Walaupun (Singapura) kecil dari segi saiz, kami sentiasa percaya akan kuasa sukan untuk menyatukan, membangkitkan semangat, dan mengubah kehidupan.

“Dalam dunia yang semakin pesat berubah – dipengaruhi teknologi, nilai sosial yang kian berubah, dan ketegangan geopolitik – sukan tetap menjadi bahasa sejagat.

“Ia mengingatkan kita tentang betapa relevannya nilai Olimpik seperti kecemerlangan, persahabatan, dan rasa hormat.”

Cik Fu juga bertekad agar Singapura dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada gerakan Olimpik.

“Sama ada melalui pembangunan atlet, pertukaran ilmu, kemajuan teknologi, atau penganjuran acara antarabangsa, kami ingin bekerjasama dengan rakan dan pihak berkepentingan untuk menjunjung tinggi nilai-nilai yang kami sanjungi – keberanian dalam menghadapi cabaran, disiplin dalam mengejar kecemerlangan, dan semangat kesukanan yang sentiasa utuh,” katanya.

Sementara itu, Coventry turut melahirkan penghargaannya kepada SNOC serta atlet Olimpik Singapura atas komitmen mereka terhadap sukan serta meluahkan hasrat untuk bekerjasama.

“Saya tahu kerjasama kita akan terus menjadi lebih kukuh. Anda mempunyai penyokong setia dalam diri saya. Pintu saya sentiasa terbuka,” kongsinya.

Ini merupakan kali pertama Coventry melawat Singapura sejak menyandang jawatan barunya itu. Kali terakhir presiden IOC melawat Singapura – iaitu Dr Bach – ialah pada 2022.

Coventry berada di Singapura dari 28 hingga 30 Julai sebagai tetamu terhormat di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang diadakan di sini.

Lawatan tiga hari itu dimulakan dengan perjumpaan bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Beliau juga menghadiri majlis pengiktirafan penerima anugerah 2025 ke Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa – yang turut menyenaraikan pemenang pingat emas Olimpik Singapura, Joseph Schooling.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kiri) bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam pada hari pertama lawatannya ke Singapura.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kiri) bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam pada hari pertama lawatannya ke Singapura. - Foto SNOC

Coventry turut melawat Botanic Gardens, di mana jenis orkid baru – Dendrobium Kirsty Coventry – dinamakan sempena beliau.

Beliau kemudian mengambil bahagian dalam upacara penanaman pokok khas di Gardens by the Bay di mana Pokok Baobab (Adansonia digitata) didedikasikan kepada beliau untuk memperingati lawatan rasmi tersebut.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kanan) dihadiahkan orkid yang dinamakan sempenanya – Dendrobium Kirsty Coventry. Beliau ditemani presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry (kanan) dihadiahkan orkid yang dinamakan sempenanya – Dendrobium Kirsty Coventry. Beliau ditemani presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu. -

Coventry, 41 tahun, ialah pemimpin IOC paling muda sejak Pierre de Coubertin.

Beliau, juga merupakan bekas perenang Olimpik wanita dari Zimbabwe, ialah rakyat dari benua Afrika pertama yang menerajui gerakan Olimpik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg