Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guardiola terpaksa beli pemain dek krisis kecederaan skuadnya

Jan 14, 2025 | 3:02 PM
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak sangka tahap kecederaan yang dialami pemainnya memaksa beliau membuat keputusan memasuki pasaran perpindahan Januari ini.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak sangka tahap kecederaan yang dialami pemainnya memaksa beliau membuat keputusan memasuki pasaran perpindahan Januari ini. - Foto AFP

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata beliau mungkin telah melakukan kesilapan dengan memberitahu kelab itu supaya membatalkan rancangan untuk membeli pemain pada musim panas lalu.

City dijangka memasuki pasaran perpindahan Januari ini bagi menangani masalah prestasi pasukan.

Mereka tidak membuat pembelian penting pada Januari, sejak ketibaan Aymeric Laporte dengan harga £57 juta ($95.2 juta) daripada Athletic Bilbao pada 2018.

Pemain pertahanan Lens, Abdukodir Khusanov, akan melengkapkan pemindahan bernilai £33.6 juta selepas City bersetuju dengan bayaran itu untuk pemain antarabangsa Uzbekistan tersebut.

Guardiola juga berharap untuk membawa masuk penyerang Eintracht Frankfurt, Omar Marmoush, manakala seorang pemain pertahanan remaja Palmeiras, Vitor Reis, juga berada dalam radarnya.

Pada masa yang sama, pemain pertahanan veteran, Kyle Walker, telah diberi kebenaran untuk meneroka pilihannya mengenai pemindahan ke luar negara.

“Pada musim panas, City memikirkan (untuk membeli pemain) dan saya kata ‘tidak, saya tidak mahu membuat sebarang pembelian,’” kata Guardiola pada malam sebelum perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Brentford.

“Saya banyak bergantung pada pemain-pemain saya yang sedia ada dan fikir saya boleh melakukannya sekali lagi.

“Tetapi selepas mereka (pemain) mengalami kecederaan... mungkin saya patut melakukannya.”

Beliau berkata kecederaan yang dialami adalah sebab utama pasukannya tergelincir ke tangga keenam dalam EPL, tersingkir daripada Piala Liga dan berada di tangga ke-22 daripada 36, dalam Liga Juara-Juara.

Menurut Transfermarkt, City terpaksa berhadapan dengan 15 masalah berkaitan kecederaan pemain selama dua minggu atau lebih.

Juara Ballon D’Or, Rodri, tidak dapat bermain untuk musim ini atas sebab kecederaan juga.

Pemain pertahanan John Stones dan Ruben Dias tidak dapat bermain menentang Brentford dan Guardiola masih belum membuat keputusan sama ada Walker perlu dimasukkan.

“Kami tahu pada awal musim kami akan mempunyai ramai pemain berusia lebih 30 tahun dan tahu lambat laun, kami harus melakukan pemindahan pemain.

“Tetapi ini adalah pasukan sama yang telah memenangi liga perdana sebanyak empat kali berturut-turut, final Piala FA dan suku akhir Liga Juara-Juara.

“Saya tidak sangka kecederaan yang kami alami sampai ke tahap ini,” kata Guardiola. – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Arsenal ketandusan penyerangJan 14, 2025 | 2:44 PM
Potter pengurus baru West HamJan 9, 2025 | 2:50 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg