MANCHESTER: Air mata mengalir di wajah pengurus Manchester City, Pep Guardiola, ketika beliau memberikan ucapan selamat tinggal yang penuh emosi kepada kapten pasukannya, Kevin De Bruyne, yang menamatkan kerjaya gemilangnya selama 10 tahun di Stadium Etihad pada 20 Mei.
City baru sahaja menewaskan Bournemouth 3-1 dalam perlawanan penting kedua terakhir Liga Perdana England (EPL), yang meletakkan mereka ke tangga ketiga EPL.
Namun, malam itu bukan hanya tentang kemenangan - ia tentang De Bruyne, yang beraksi buat kali terakhir di Etihad dengan jersi biru City.
“Sepuluh tahun bukan tempoh yang singkat - terlalu banyak perlawanan, kejuaraan, dan detik-detik indah. Hari ini sedikit sebanyak menggambarkan betapa besarnya kasih sayang terhadap dirinya,” kata Guardiola.
De Bruyne sebelum itu mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat hujung musim itu, namun mengakui terkejut apabila kelab tidak menawarkan lanjutan kontrak.
“Hari ini hari yang menyedihkan. Kehadirannya akan dirindui,” kata Guardiola.
“Tetapi dalam masa yang sama, ia hari yang indah untuknya - beliau sekali lagi menyumbang dalam kemenangan penting ini.”
Pemain kebangsaan Belgium itu telah memenangi 16 trofi sepanjang sedekad di City dan berjaya menyamai rekod penciptaan peluang terbanyak dalam EPL, berkongsi kedudukan dengan bekas pemain Arsenal dan Chelsea, Cesc Fabregas - masing-masing dengan 846 peluang dicipta, menurut Opta Sports.
Apabila ditanya sama ada De Bruyne boleh digantikan, Guardiola berkata: “Ada pemain yang sukar diganti. Ia bukan hanya tentang gol, bantuan jaringan, atau statistik. Ia tentang hubungan, cara beliau bermain dan bagaimana dari tahun ke tahun, beliau berikan segalanya untuk kelab ini - dan itulah yang membuatkan orang menyayanginya.”
Selepas perlawanan, kelab mengumumkan bahawa mereka akan membina arca De Bruyne di luar Stadium Etihad.
“Itu bermakna saya akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kelab ini,” kata De Bruyne kepada ribuan penyokong yang kekal di stadium untuk menonton penghargaan khas itu.
“Saya akan sentiasa membawa sebahagian kelab ini dalam diri saya. Saya rasa selepas 10 tahun, sudah tiba masanya untuk saya ucapkan selamat tinggal. Saya akan kembali - dan sampai jumpa lagi.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg