Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guardiola nafi hubungan dengan De Bruyne retak

Dec 4, 2024 | 12:55 PM
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menafikan terdapat keretakan dalam perhubungannya dengan, Kevin De Bruyne, setelah beberapa pengulas bola sepak mempersoalkan cara beliau menggunakan pemain tengah itu.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menafikan terdapat keretakan dalam perhubungannya dengan, Kevin De Bruyne, setelah beberapa pengulas bola sepak mempersoalkan cara beliau menggunakan pemain tengah itu. - Foto EPA-EFE

MANCHESTER: Bos Manchester City, Pep Guardiola, menafikan hubungannya dengan pemain bintang Kevin De Bruyne retak, dan berkata beliau “terdesak” untuk mendapatkan pemain Belgium itu kembali ke tahap terbaiknya.

De Bruyne hanya memulakan empat perlawanan dalam Liga Perdana England (EPL) pada musim 2024/2025 setelah sekali lagi dibelenggu masalah kecederaan.

Namun, beliau hanya beraksi selama 72 minit dalam lima penampilan sebagai pemain gantian sejak kembali pada November.

Sebelum ini, beliau diketepikan selama lapan minggu akibat masalah perut.

Baki masa perlawanan hanya tinggal 12 minit apabila Guardiola memasukkan De Bruyne dalam perlawanan menentang Liverpool pada 2 Disember.

Manchester City tewas 2-0 tetapi peluang terbaik mereka jatuh kepada De Bruyne, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol, Caoimhin Kelleher.

Dalam satu perbincangan selepas perlawanan tersebut, pengulas Sky Sports, Jamie Carragher dan Gary Neville, kedua-duanya mempersoalkan cara Guardiola memanfaatkan De Bruyne dalam beberapa perlawanan dengan City tewas enam kali dan seri tujuh kali.

Carragher, yang juga bekas pemain Liverpool, berkata:

“Terdapat sesuatu yang sedang berlaku dengan De Bruyne; sesuatu yang tidak betul antara kedua-dua mereka.”

Neville bersetuju dan berkata layanan Guardiola terhadap De Bruyne ialah “luar biasa dan pelik”.

Sebelum pertemuan City dengan Nottingham Forest yang dijadualkan pada 5 Disember, Guardiola tidak mengulas tentang komen Carragher dan Neville, tetapi berkata beliau tidak mempunyai isu dengan De Bruyne.

“Orang ramai mengatakan saya mempunyai masalah dengan Kevin.

“Mereka fikir saya suka apabila Kevin tidak bermain, atau saya tidak mahu Kevin bermain?

“Beliau adalah pemain paling berbakat di sepertiga akhir padang. Mereka fikir saya ada masalah peribadi dengannya selepas sembilan tahun bersama?

“Beliau membawa kejayaan terbesar untuk saya dan kepada kelab ini. Saya terdesak mahukan beliau pada tahap terbaiknya.

“Tetapi beliau cedera sekian lama, dan kini berusia 33 tahun. Beliau memerlukan masa untuk mencari tahap terbaiknya.”

De Bruyne diketepikan dari Ogos hingga awal Januari pada musim 2023/2024 selepas mengalami masalah hamstring (otot kaki bawah punggung) pada separuh masa pertama dalam kemenangan City atas Inter Milan pada final Liga Juara-Juara 2023.

Kontrak De Bruyne akan tamat pada musim panas akan datang dan beliau telah mengesahkan rundingan tentang lanjutan kontrak belum dilakukan. Ini kerana beliau mengutamakan kecergasannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg