LEICESTER: Pengurus Leicester baru, Ruud van Nistelrooy, mendedahkan rasa kecewa terpaksa meninggalkan Manchester United, tetapi berazam mempamerkan kebolehannya di Leicester.
Bekas penyerang Red Devils itu menggantikan tempat Steve Cooper di Stadium King Power pada 29 November, dan akan mengurus mereka hingga 2027.
Beliau membimbing United selama empat perlawanan sebagai pengurus sementara di Old Trafford, sebelum meninggalkan United apabila, Ruben Amorim, dilantik sebagai pengurus baru pada November.
Van Nistelrooy, yang ke United sebagai penolong pengurus kepada Erik ten Hag, berjaya memperolehi tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan United di bawah bimbingannya.
“Sejak saya ambil alih sebagai pengurus sementara, apa yang saya katakan adalah saya ingin kekal di sana untuk membantu United, dan itu benar. Justeru, saya amat kecewa, dan terasa kecewa terpaksa pergi,” kata Van Nistelrooy.
“Namun saya menerimanya kerana saya juga faham pengurus baru. Saya berada dalam bidang bola sepak cukup lama dan saya juga pernah mengurus, jadi saya faham,” tambah beliau.
Di Leicester, Van Nistelrooy mewarisi pasukan yang tidak dapat membina hubungan baik dengan Cooper dan menerima kecaman berikutan lawatan parti Krismas ke Copenhagen sebelum ini, dengan pemain diberitahu tingkah laku mereka tidak boleh diterima.
Van Nistelrooy berkata beliau tahu perwatakan mereka sebelum menerima tugasnya dan percaya pemain mesti menghormatinya.
“Ini satu-satunya cara untuk berjaya,” kata beliau.
“Perlu saling menghormati. Saya beritahu pemain bahawa saya sudah melihat skuad dan mula membuat panggilan telefon untuk ketahui lebih lanjut mengenai mereka, kerana dalam bola sepak semua saling mengenal.
“Dengan dua atau tiga panggilan telefon anda sudah mendengar tentang 20 pemain dan bagi saya adalah penting mendengar bahawa ada individu yang baik di Leicester.
“Saya melihat pemain serta cara mereka bermain. Saya tidak mengenali mereka tetapi saya mendapat maklumat umum... bahawa mereka adalah sekumpulan pemain yang baik,” kata beliau.
Van Nistelrooy, 48 tahun, juga berkata beliau “terkejut” akan minat terhadapnya selepas tempoh singkat beliau sebagai pengurus United.
Leicester bertindak pantas melantik beliau selepas memecat Cooper pada 24 November.
Van Nistelrooy berkata Leicester bukan satu-satunya pilihannya.
Beliau menyaksikan kekalahan 4-1 Leicester di tangan Brentford pada 30 November dan jelas tentang matlamat Leicester musim ini.
“Ia tidak mudah tetapi jangkaannya jelas. Ia adalah sesuatu yang kami hadapi – cabaran untuk kekal bermain dalam Liga Perdana England (EPL). Itu adalah sasaran besar,” kata beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg