MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui bahawa pasukan Manchester City kini berada dalam keadaan rapuh, disifatkan juga sebagai lemah dan tidak bermaya, apabila gagal mempertahankan kelebihan tiga gol dan seri 3-3 dengan Feyenoord, dalam Liga Juara-Juara pada 26 November di Stadium Etihad.
Juara bertahan Liga Perdana itu akan berkunjung ke Anfield untuk menghadapi Liverpool pada 1 Disember dengan persoalan besar tentang pertahanan mereka, menyusuli perlawanan tersebut.
City kini telah melepaskan dua atau lebih gol dalam enam perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan buat kali pertama sejak Mei 1963.
Apabila Erling Haaland menjaringkan gol ketiga pada minit ke-53, City kelihatan berada dalam kedudukan baik untuk menamatkan lima kekalahan berturut-turut.
Namun, juara Piala Eropah 2023 itu gagal mempertahankan dua mata dan diiringi dengan sorakan mencemuh ketika wisel sepenuh masa ditiup.
Bekas kapten England, Alan Shearer, yang berada di Stadium Etihad untuk Amazon Prime, berkata:
“Mereka kelihatan lemah, ringan dan tidak bermaya. Walaupun mereka mendahului 3-2 dengan baki dua minit, mereka mengambil sepakan percuma dengan cepat. Kenapa? Untuk menghabiskan masa kerana mereka berada dalam kedudukan selesa.”
City gagal menghalang jaringan gol sejak 26 Oktober, ketika mereka kali terakhir menang tipis 1-0 ke atas Southampton.
Sejak itu, mereka telah melepaskan 17 gol dalam enam perlawanan – statistik yang mengejutkan memandangkan kejayaan mereka di bawah Guardiola telah dibina atas asas pertahanan yang kukuh.
Guardiola berkata:
“Perlawanan berjalan lancar pada 3-0, tetapi kami mula melepaskan banyak gol kerana kami tidak stabil. Kami berikan mereka gol pertama, dan kemudian yang kedua, dan itu menjadikan keadaan sukar.
“Keadaan seperti mana yang dilihat. Kami bermain dengan baik tetapi pada tahap itu kami tidak boleh bersikap leka.”
Kini, City perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas untuk mara secara automatik ke peringkat penyingkiran, tetapi menduduki tempat ke-15 selepas perlawanan pada 26 November.
Kedudukan mereka juga berpotensi jatuh lebih rendah bergantung pada keputusan perlawanan 27 November.
City bakal menghadapi dua perlawanan mencabar di Juventus pada 11 Disember dan Paris St-Germain pada 22 Januari, sebelum menjadi tuan rumah dalam perlawanan menentang Club Brugge pada 29 Januari. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg