Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mbappe buat City merana

Penyerang Real jaringkan hat-trick untuk singkir City dengan jaringan agregat 6-3
Feb 20, 2025 | 2:10 PM
Penyerang Real Madrid Kylian Mbappe (kiri) menjaringkan hat-trick ketika menentang Manchester City dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Santiago Bernabeu.
Penyerang Real Madrid Kylian Mbappe (kiri) menjaringkan hat-trick ketika menentang Manchester City dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Santiago Bernabeu. - Foto AFP

MADRID: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, memuji penyerang Kylian Mbappe selepas beliau menjaringkan hat-trick dalam kemenangan 3-1 ke atas Manchester City pada 19 Februari, sekali gus membawa juara Liga Juara-Juara itu ke pusingan 16 terakhir.

Ancelotti berkata Mbappe mempunyai potensi mencapai taraf seperti pemain legenda kelab itu, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo merupakan penjaring terbanyak Real dengan 451 gol dalam 438 perlawanan untuk kelab itu. Real telah menjuarai Liga Juara-Juara 15 kali.

“Beliau (Mbappe) mempunyai mutu untuk mencapai angka tersebut, tetapi masih perlu berusaha kerana Cristiano telah menetapkan satu tahap yang sangat tinggi, tetapi beliau begitu bersemangat bermain di sini, beliau boleh mencapai taraf Cristiano,” kata Ancelotti dalam sidang media.

“Semua menantikan hat-trick ini daripadanya dan akhirnya ia tiba.

“Tetapi Mbappe bukan satu-satunya, kami mempunyai ramai pemain yang membuat perbezaan. Mereka membuat perbezaan melalui kerja bersama mereka, melebihi mutu individu mereka yang sangat mengagumkan.”

Ancelotti mengeluh bahawa pasukannya terpaksa melalui pusingan kalah mati, tetapi mengatakan mereka sendiri yang harus dipersalahkan selepas permulaan lembap yang menyebabkan mereka berakhir di luar tempat lapan terbaik liga itu.

Real akan bertemu Bayer Leverkusen atau Atletico Madrid, bergantung pada cabutan pada 21 Februari.

“Melalui pusingan kalah mati langsung tidak positif kerana kami perlu bermain 10 perlawanan untuk ke pusingan 16 terakhir,” kata Ancelotti.

“Kami bukan keluar daripada satu tempoh sukar, sebaliknya kami memasuki satu tempoh sukar kerana inilah ketikanya musim sebenar bermula.

“Tiada cara untuk berhenti atau berehat. Tetapi dari segi emosi, pasti, pusingan ini baik untuk kami. Mari kita teruskan.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg