Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura sedia berjuang hancurkan kelebihan Thailand
Gavin Lee: Mahu elak ruang terbuka yang boleh dimanfaat Thailand untuk tambah gol
Jika pasukan Singa mahu melakukan kebangkitan di Bangkok dan menempah tempat ke final Piala Asean Hyundai 2026, mereka perlu menyelesaikan dua masalah yang saling berkait – menutup ruang di bahagian pertahanan sambil mencipta lebih banyak peluang di bahagian serangan.
Itulah keseimbangan yang ditekankan ketua jurulatih Gavin Lee menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos, selepas Singapura tewas 1-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar.
“Esok (18 Ogos) adalah peluang untuk kukuhkan aspek menutup ruang di bahagian belakang, tetapi pada masa yang sama, mencipta lebih banyak peluang untuk diri kita sendiri di bahagian depan,” kata Lee pada sidang media praperlawanan pada 17 Ogos.
Bagi Lee, persoalannya bukan sekadar bagaimana untuk menyerang untuk memburu dua gol yang diperlukan, tetapi bagaimana memastikan usaha tersebut tidak membuka ruang untuk Thailand menambah gol yang akan memberi kelebihan kepada mereka.
Sementara itu, Thailand pula datang ke aksi kedua dengan kelebihan 3-1, tetapi jurulatih Anthony Hudson enggan menganggap tugas mereka sudah selesai.
Malah, beliau mahu pasukannya menganggap perlawanan itu bermula semula pada kedudukan 0-0 dan menyifatkannya sebagai satu ‘final’.
Hudson juga mengesahkan beberapa perubahan akan dibuat terhadap kesebelasan Thailand, sambil menegaskan beliau yakin kekuatan skuadnya tidak akan terjejas walaupun pemain baru diturunkan.
Namun bagi Lee, tumpuan Singa bukan kepada siapa yang bermain untuk Thailand atau bagaimana pasukan lawan mengurus kelebihan mereka, tetapi kepada apa yang boleh dikawal oleh pasukannya sendiri.
“Kami sangat sedar tentang situasi ini dan keputusan yang kami perlukan.”
“Tetapi akhirnya, kami perlu kembali fokus kepada perkara yang boleh kami kawal, iaitu apa yang kami lakukan di atas padang,” kata Lee.
Penyerang Ilhan Fandi, yang memberikan sedikit sinar harapan dengan gol jarak jauh pada minit ke-84 dalam perlawanan pertama, percaya mentaliti pasukan akan menjadi sama penting dengan taktikal.
Gol Ilhan itu merupakan gol pertama yang dibolosi Thailand dalam kejohanan ini.
Namun pemain berusia 23 tahun itu tidak mahu menjadikan dirinya sebagai wira.
“Saya di sini untuk membantu pasukan. Kalau Thailand boleh menjaringkan tiga gol, mengapa kami tidak boleh menjaringkan dua atau tiga?” katanya.
Lee juga sedar bahawa masa boleh menjadi musuh sekiranya Singa terlalu memikirkan keperluan menjaringkan gol.
“Kita tidak boleh membiarkan masa yang semakin suntuk mempengaruhi kita,” katanya.
“Kalau dapat gol awal, mungkin ada tekanan tambahan. Jadi kami perlu mengurus jangkaan dan niat kami, sepanjang 90 minit.”
Satu lagi faktor yang terus disebut oleh kem Singapura ialah sokongan luar biasa penyokong mereka di Jalan Besar.
Walaupun mereka kalah, penyokong Singa terus menyanyi dan memberikan sokongan sehingga wisel penamat. Ilhan mengakui pengalaman itu amat bermakna.
Harhys Stewart turut menyentuh perkara sama dalam temu bual sebelum perlawanan, dengan pemain tengah itu berkata sokongan peminat memberikan tenaga tambahan kepada pemain.
“Peminat memberi kami tenaga dan kami benar-benar bergantung kepadanya,” katanya.
Namun seperti Ilhan, beliau percaya motivasi terbesar perlu datang daripada dalam pasukan sendiri.
“Dalam pasukan, ada banyak motivasi dalaman untuk mencipta sejarah kami sendiri dan pergi selangkah lebih jauh,” tambahnya.
Stewart percaya pasukan itu mampu melakarkan sejarah sekali lagi.
“Kami perlukan dua gol. Jadi kami akan turun dengan mentaliti untuk kembali memberi tekanan kepada Thailand dan cuba mengubah keadaan,” katanya.
Ilhan juga turut berkongsi kepercayaan Stewart.
“Kami tahu kami ketinggalan dua gol, tetapi pasukan ini adalah sekumpulan pejuang dan kami akan keluar dan berjuang,” ujarnya.
