EDIRNE (Turkey): Dengan tubuh mereka berkilat diselaputi minyak dan peluh, para penggusti bergelut dan bersaing untuk meraih kejayaan dalam sejenis sukan tradisi Turkey yang amat dihormati sejak zaman Empayar Uthmaniyah Ottoman.
Setiap Julai, para penggusti dari pelbagai pelosok Turkey berkumpul dalam kejohanan gusti minyak Turkey atau ‘Kirkpinar’ di barat laut negara itu.
Ia merupakan satu acara kebangsaan dan antarabangsa yang begitu dihormati dan mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2010.
Menang kalah adat pertandingan.
Bagi yang tewas, ia sudah pasti membuat mereka kecewa dan perlu menanti setahun lagi seiring latihan berintensiti tinggi demi mencapai kejayaan dalam musim akan datang.
“Ini adalah Sukan Olimpik kami,” kata Murat Kalender, salah seorang daripada puluhan peserta 2024.
Dengan lengan dan perut yang besar, penggusti berusia 27 tahun itu memanaskan badan dekat vannya sebagai persiapan untuk turun padang – tahun keenam berturut-turut baginya terlibat dalam sukan tersebut.
“Nenek moyang kami berjuang di sini, dan meneruskan legasi mereka sudah pasti membawa pengorbanan besar,” katanya kepada agensi berita, AFP.
Gusti minyak Turkey amat memenatkan, namun penuh bersejarah.
Menurut legenda, Edirne, yang merupakan ibu kota Empayar Ottoman sehingga penaklukan Istanbul, telah menjadi tuan rumah kejohanan ‘Kirkpinar’ setiap tahun sejak 1357.
Asal-usul perayaan itu dikatakan bermula daripada dua askar, dipercayai bersaudara, yang bergelut antara satu sama lain hingga membawa maut.
Kini, walaupun perlawanan tidak berakhir dengan kematian, pakaian yang digunakan oleh ‘Pehlivan’ atau pahlawan yang berani dalam bahasa Parsi – sebahagian besarnya kekal tidak berubah.
Minyak zaitun kekal sebagai satu-satunya bahan utama yang dibenarkan untuk disapu pada tubuh, bagi meningkatkan keseimbangan dan kekuatan semasa pertarungan.
Penggusti hanya memakai seluar kulit kerbau yang berminyak dan tidak berzip, dan ia seberat 10 kilogram.
Pelawat ke acara itu mungkin melihat para penggusti menghadapi kesukaran untuk memakai seluar mereka.
“Tali pinggang akan memberikan peluang kepada pihak lawan dengan sesuatu untuk digenggam,” kata Melih Ozturk, peserta berusia 18 tahun, sambil mengikat seluarnya menggunakan tali di bawah lutut sebelum perlawanannya.
Semasa musim panas yang terik di Turkey, para penggusti berada dalam barisan untuk berhadapan pesaing mereka, sedang sinar mentari memberi kesan pantulan cahaya dari dahi mereka yang berminyak.
Matlamat sukan itu adalah untuk memanfaatkan kekuatan dan berat pihak lawan, memaksa mereka jatuh ke tanah lalu ditindih.
Unsur penting dalam mana-mana pertarungan yang membawa kepada kejayaan adalah dengan mengehadkan manfaat yang diperoleh pihak lawan.
Para penggusti menampar, menolak dan menarik serta cuba untuk mendapatkan cengkaman pada leher, bahu atau kaki pesaing dengan tujuan untuk melakukan gerakan yang membuahkan hasil.
Setiap pasangan bertanding di bawah pengawasan pengadil berpakaian biru dan warna emas, yang membawa bersamanya tuala putih sekiranya ada penggusti yang ingin menyerah kalah.
Pesaing juga boleh meminta minyak tambahan jika mereka berasa tubuh kurang licin.
Menjelang akhir pertarungan, warna kulit penggusti bertukar menjadi kemerahan akibat aksi bergelut yang berterusan, sementara penglihatan mereka kabur akibat peluh.
Kadangkala pertarungan berlarutan hampir sejam lamanya.
“Pertarungan hebat adalah apabila kedua-dua pesaing memberikan yang terbaik,” kata Hakan Orhan, salah seorang daripada 120 pengadil kejohanan itu.
Orhan yang juga bekas penggusti sukan itu beralih kepada pengadilan “untuk mengekalkan pengetahuannya mengenai sukan tersebut,” dan kini beliau pula melatih anaknya.
“Saya campur tangan sekiranya berlaku kedudukan yang tidak betul atau apabila penggusti menjadi tidak terkawal atau agresif,” kata Orhan.
Kejadian sebegitu jarang berlaku, kerana adanya sikap saling menghormati antara pesaing.
Pemenang lazimnya mengucapkan tahniah kepada lawan mereka, dan mereka kerap menunjukkan rasa hormat dengan mencium tangan pesaing lebih berusia.
Dalam kalangan pahlawan itu, golongan ’baspehlivan’ disifatkan sebagai yang terbaik
Mereka mencari rezeki daripada bergusti dan berlatih sepanjang tahun.
“Semua orang di sini mengimpikan untuk menjadi juara,” kata Hamza Özkaradeniz, seorang ‘baspehlivan’ berusia 32 tahun dengan pengalaman bergusti selama dua dekad, membuat penampilan sulungnya dalam acara ini.
“Tetapi kami semua bercita-cita untuk menuntut tali pinggang emas,” hadiah utama kejohanan itu, yang termasuk bonus TL 550,000 ($22,350) – lebih 30 kali ganda gaji minimum.
Pemenang pada 2024, Yusuf Can Zeybek, merangkul hadiah berprestij itu dalam masa 52 minit bagi tahun kedua berturut-turut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg