Kedudukan Liga Perdana England (EPL) kini menunjukkan Manchester United dan Tottenham Hotspur masing-masing mempunyai tujuh mata daripada lima perlawanan.
Kededua pasukan menang dua perlawanan, tewas dua dan seri satu.
Hanya perbezaan gol yang mengasingkan kededua pasukan itu yang kini dilihat masih belum selesa bermain dalam musim kali ini.
Namun dalam lima perlawanan ini, United yang dibimbing Erik ten Hag kelihatan masih belum menunjukkan kemajuan selepas musim lalu yang kurang baik.
Pada musim lalu, tersebar luas desas-desus bahawa pengurus asal Belanda itu akan digantikan, apatah lagi United hanya menduduki tempat kelapan.
Mujur mereka menjuarai final Piala FA mengatasi Manchester City.
Pada musim kali ini, United, yang mengeluarkan belanja besar bagi para pemainnya, masih belum dapat mengubah nasib di atas padang.
Keputusan seri tanpa gol semasa menentang Crystal Palace pada 22 September dialami selepas mereka menang 3-0 ke atas Southampton pada 14 September, dan kemenangan 7-0 ke atas Barnsley dalam pusingan ketiga Piala EFL.
Dalam perlawanan menentang Palace, United melakar banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun gagal berbuat demikian.
Sebaliknya penjaga gawang mereka, Andre Onana, pula bertindak cemerlang dengan menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi dua kali oleh pasukan lawan.
Onana juga mendapat pujian Ten Hag atas persembahannya dalam perlawanan itu.
Ini meskipun para barisan pemain pertahanan United kerap diubah suai atas sebab kecederaan.
Namun Ten Hag masih menganggap bahawa pasukannya sedang membuat kemajuan.
Menurut beberapa laporan, Ten Hag menyatakan: “Persembahan kami baik, namun kami tidak gembira dengan keputusan permainan.
“Kami kecewa dengan jaringan.
“Tapi saya sedar bahawa dalam bola sepak, ia merupakan perjalanan yang jauh dan jika kami beraksi dengan baik seperti sekarang, saya pasti keputusan baik akan tiba, jaringan akan dihasilkan.
“Kini kami terus perbaiki pasukan ini, dan akan bina struktur pasukan. Kami akan lebih konsisten semasa membuat pemilihan pemain dan sudah pasti itu akan membantu untuk kami berikan corak serta rutin permainan yang dapat bantu pertingkat permainan,” jelasnya.
Pada musim ini pemain United seperti Luke Shaw masih belum buat sebarang penampilan kerana kecederaan pada betis.
Pemain muda pertahanan United, Leny Yoro, yang dibawa masuk dari kelab Lille pula hanya dijadualkan kembali ke pasukan itu pada November, sementara Tyrell Malacia yang belum lagi bermain bersama United sejak setahun lalu, dijangka kembali selepas pulih kecederaan lutut.
Seorang lagi pemain pertahanan United, Victor Lindelof, juga belum beraksi dalam musim kali ini akibat kecederaan jejari kakinya, tapi dijangka kembali beraksi untuk kelab tersebut dalam Oktober.
Sementara itu, Spurs yang bakal berkunjung ke Old Trafford pada 29 September ini, dijangka dapat memberi saingan kepada United dalam perlawanan kali ini.
Sedang United masih agak goyang dan rapuh di bahagian pertahanan, Spurs pula terus menunjukkan permainan lebih garang di bahagian serangan.
Jika dilihat perlawanan terkini semasa Spurs tundukkan Brentford 3-1 di padang sendiri pada 21 September, pasukan bimbingan Ange Postecoglou itu kelihatan mampu menyaingi pasukan handal seperti United yang masih terkial-kial dalam musim ini.
Ramai yang menyatakan bahawa Tottenham, yang juga dikenali sebagai Spurs, hanya mampu bermain pada tahap tertinggi sehingga akhir tahun sahaja.
Dan selepas itu permainan mereka mula merosot dalam separuh kedua musim EPL.
Ramai peminatnya agak bosan melihat permainan Spurs yang gagal menghasilkan gol meskipun mereka menguasai permainan seperti ketika menentang Newcastle pada 1 September (tewas 2-1) dan kepada Arsenal pada 15 September (0-1).
Namun dalam musim kali ini, Spurs dijangka dapat mengubah nasib mereka.
Dalam perlawanan terkini ketika menang 3-1 ke atas Brentford, pemain penyerang paling mahal pasukan itu, Dominic Solanke, yang bernilai £65 juta ($87 juta), telah menjaringkan gol pertamanya untuk Spurs – selepas tiga penampilannya bersama pasukan itu.
Brennan Johnson meraih gol kedua buat Spurs sebelum James Maddison melebarkan terus jurang kepada 3-1 menerusi jaringannya.
Sebelum ini terdapat kebimbangan dan rasa kurang senang dalam kalangan peminat melihat Solanke gagal menjaringkan sebarang gol.
Jaringan pertama Solanke itu mungkin dapat memberi rangsangan kepada seluruh skuad itu – menyuntik semangat yang diharapkan dalam kalangan pemainnya.
Difahamkan terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa skuad itu sedang mencuba beberapa corak permainan semasa latihan dalam usaha memaksimumkan impak Solanke semasa di padang.
Dengan latihan yang diterapkan, mungkin pemain berusia 26 tahun itu akan dapat mempertingkat ketajamannya di hadapan gawang lawan.
Dalam perlawanan menentang Brentford, kelihatan terdapat persefahaman yang lebih baik antara para pemain Spurs.
Hantaran kepada rakan sepasukan kelihatan lebih tepat. Benteng pertahanan yang diketuai Cristian Romero juga lebih kukuh.
Para pemain midfield termasuk James Maddison dan Dejan Kulusevski bertindak cemerlang dengan larian, hantaran dan kawalan bola yang lebih baik.
Justeru tidak mengejutkan jika Spurs mampu raih kemenangan dalam perlawanan yang dijangka berintensiti tinggi ini.
Ramalan wartawan: Manchester United 1-2 Tottenham Hotspur
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg