MANCHESTER (England): Erling Haaland daripada Manchester City menjadi pemain terpantas mencapai 100 gol Liga Perdana England (EPL) untuk meraih kemenangan mereka pada 2 Disember.
Kegigihan mereka berbaloi apabila anak didik Pep Guardiola berjaya menangkis kebangkitan Fulham dengan kemenangan 5-4.
Phil Foden menjaringkan dua gol, Tijjani Reijnders menjaringkan satu gol dan Sander Berge menjaringkan gol sendiri untuk memastikan City kekal kukuh dalam pemburuan gelaran dan kini menduduki tangga kedua dengan 28 mata.
Pasukan pendahulu, Arsenal, yang mempunyai 30 mata, akan menentang Brentford pada 3 Disember.
City kelihatan akan mencatatkan kemenangan selesa di Craven Cottage selepas mendahului 5-1 tetapi Fulham bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua – dua gol daripada Samuel Chukwueze dan satu daripada Alex Iwobi – dalam perlawanan yang mendebarkan.
Haaland menjaringkan gol dengan rembatan kaki kiri yang kencang pada minit ke-17, Reijnders menggandakan pendahuluan City pada minit ke-37, dan Foden menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-44 dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti ke sudut kiri gawang.
Emile Smith Rowe daripada Fulham merapatkan jurang dengan tandukan beberapa saat sebelum rehat, tetapi Foden melengkapkan dua golnya pada minit ke-48 dari bahagian atas kotak penalti dan gol sendiri Berge menambah kelebihan City enam minit kemudian.
Tetapi Fulham tidak patah semangat apabila Iwobi menjaringkan gol pada minit ke-57, dan Chukwueze menemui sasaran pada minit ke-72 dan ke-78, hasil pertahanan City yang hambar.
Josko Gvardiol berjaya menghalang rembatan Fulham di garisan gol pada masa kecederaan dengan peminat City menarik nafas lega dan bersorak kegirangan.
Keadaan agak berbeza pada 25 November apabila City mengalami kekalahan Liga Juara-Juara yang jarang berlaku apabila pasukan Bundesliga, Bayer Leverkusen, meraih kemenangan 2-0 untuk menamatkan rentetan 23 perlawanan tanpa kalah pasukan tuan rumah dalam peringkat kumpulan pertandingan itu.
Kekalahan itu mencemari perlawanan Liga Juara-Juara ke-100 Guardiola sebagai pengurus City dan meninggalkan pasukan EPL itu di tempat keenam dengan 10 mata selepas lima perlawanan.
Guardiola merehatkan kebanyakan pemain utama dengan melakukan 10 pertukaran, namun langkah berisiko itu terbukti memakan diri sendiri. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg