AUSTIN: Lewis Hamilton telah mengkritik Fédération Internationale de l’Automobile (FIA), sebuah persekutuan sukan permotoran, tentang komunikasi lemah berhubung kejadian lintasan trek di Qatar.
Dalam komennya pada Rabu, Hamilton berkata beliau telah mengambil iktibar daripadanya dan mahu “bergerak ke hadapan”.
Juara tujuh kali itu berkata beliau tidak berasa seperti jari dituding ke arahnya kerana melanggar peraturan apabila melintas trek semasa perlumbaan masih berlangsung selepas pertembungannya dengan rakan sepasukan Mercedes, George Russel.
Beliau didenda 50,000 euro ($72,000), dengan 25,000 euro daripada jumlah itu ditunda sepanjang musim ini.
Hamilton juga ditegur selepas meminta maaf kepada pengurus perlumbaan, yang pada hujung minggu ini di Texas, akan mempunyai kuasa untuk mengenakan denda sehingga 1 juta euro bagi pelanggaran undang-undang sukan itu.
Menyusuli kejadian di Qatar itu, FIA berkata ia ingin menyemak semula insiden tersebut dan reviu berdasarkan status Hamilton sebagai contoh teladan.
Hamilton menambah bahawa beliau sedar sepenuhnya tentang perlunya menyampaikan mesej yang betul mengenai kelakuan di trek perlumbaan.
“Mereka telah bercakap dengan saya dan pandangan mereka adalah penting,” kata beliau.
“Apa yang penting adalah untuk menyampaikan mesej yang betul, terutamanya kepada pemandu muda, bahawa ia bukan perkara yang patut dilakukan,” tambah beliau.
Beliau juga mengatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk memastikan perkara itu tidak akan berulang lagi.
“Perkara yang baik tentang sukan kami ini adalah esok masih ada. Tiada apa yang boleh saya lakukan tentang perkara lepas, tetapi ada perkara yang boleh dan telah saya pelajari,” kata Hamilton. – Agensi berita.
“
“Mereka telah bercakap dengan saya dan pandangan mereka adalah penting... Apa yang penting adalah untuk menyampaikan mesej yang betul, terutamanya kepada pemandu muda, bahawa ia bukan perkara yang patut dilakukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg