BUDAPEST: Lewis Hamilton akan menuju ke Grand Prix (GP) Hungary pada 19 hingga 21 Julai dengan penuh yakin.
Beliau mengimpikan kemenangan kesembilan di Litar Hungaroring di negara itu dan kemenangan ketiga berturut-turut Mercedes dalam musim Formula Satu (F1) 2024.
Selepas dua tahun mengalami kesukaran, pemain berusia 39 tahun itu menamatkan rekod tanpa kemenangan dengan menjuarai Grand Prix Britain yang kesembilannya di negara sendiri di Silverstone pada Julai.
Beliau berharap untuk mengulangi kejayaan itu di Hungaroring, apabila beliau mendapat petak pertamanya yang terakhir pada 2023.
Berikutan kejayaan emosinya di Britain, Hamilton berkata beliau teruja untuk kembali ke litar yang telah memberinya beberapa kemenangan manis dalam kerjayanya.
“Saya suka Hungary,” kata juara dunia tujuh kali itu.
“Jadi saya tidak sabar untuk pergi ke sana. Dengan perkembangan yang kita lalui sekarang ini dan dengan kereta yang mula menunjukkan peningkatan yang baik... saya tidak sabar.”
Pelumba Britain itu menjuarai Hungaroring – satu litar yang sempit, berliku dan sering berdebu yang terletak 22 kilometer di utara Budapest – dalam musim sulungnya untuk McLaren pada 2007 dan juga pada 2009 dan 2012.
Selepas berpindah ke Mercedes, beliau terus mengatasi litar yang sering digambarkan sebagai, “Monaco tanpa dinding”, dan memenanginya sekali lagi pada 2013, 2016, 2018, 2019 dan 2020.
Jika beliau menamatkan perlumbaan di podium pada 21 Julai, ia akan menjadi pencapaian yang ke-200 dalam kerjayanya, manakala mendapat petak pertama di Hungary akan menjadi pencapaiannya yang ke-10 di negara itu.
Beliau sedang berusaha untuk menambah kepada kemenangannya di Britain dan kejayaan rakan sepasukannya, George Russell, di Austria.
Beliau dan Russell sedar bahawa mereka bukan pilihan ramai untuk memenangi perlumbaan kali ini walaupun dengan kejayaan mereka baru-baru ini.
Hakikatnya, juara dunia tiga kali, Max Verstappen daripada Red Bull telah memenangi dua edisi terakhir dan sedang mengejar hatriknya di Hungary.
Dengan 12 daripada 24 perlumbaan telah dimainkan pada musim 2024, pelumba Belanda itu mendahului perlumbaan kejuaraan dengan 84 mata di hadapan pesaing terdekatnya, Lando Norris dari McLaren.
Ketua pasukan F1 Red Bull, Christian Horner, menjangkakan saingan sengit.
“Ia akan menjadi menarik bagaimana prestasi kami...,” katanya.
“Antara pelumba yang pantas ketika ini, saya rasa ia boleh menjadi sangat sengit dan ia akan menjadi (keputusan) sangat, sangat dekat sekali lagi.”
Berdasarkan perlumbaan baru-baru ini, beliau menganggap Red Bull akan bersaing rapat dengan McLaren dan Mercedes.
Namun, Ferrari mampu kembali menunjukkan prestasi yang baik di litar yang lebih sempit seperti di Monaco ketika Charles Leclerc memperoleh kemenangan di tempat sendiri pada Mei.
Dengan Grand Prix Belgium di Spa-Francorchamps menyusul selepas Hungary, kedua-dua perlumbaan itu memberi peluang kepada setiap pasukan untuk memberi impak sebelum Formula Satu berehat untuk musim panas pada Ogos. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg