Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak kegiatan percuma bertema F1 jelang Grand Prix S’pura

Jul 4, 2024 | 12:10 PM
Peminat lumba kereta boleh menyertai, Cabaran Karting, pada 3 dan 4 Ogos di HyperDrive, sebuah  litar permainan go-kart elektrik dalam bangunan di The Pahlawan @ Sentosa.
Peminat lumba kereta boleh menyertai, Cabaran Karting, pada 3 dan 4 Ogos di HyperDrive, sebuah litar permainan go-kart elektrik dalam bangunan di The Pahlawan @ Sentosa. - Foto fail

Penduduk tempatan boleh menantikan lebih banyak kegiatan percuma bertema Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix Singapura Singapore Airlines 2024.

Penganjur perlumbaan, Singapore GP, berkata ia menambah jumlah lawatan di sebalik tabir Bangunan Pit F1 di Litar Jalanan Marina Bay dan akan dapat menampung kira-kira 1,000 peserta dalam 32 sesi sepanjang empat hujung minggu dari Julai hingga Ogos – meningkat daripada 250 orang sepanjang lapan sesi pada 2023.

Peminat berpeluang menimba pengetahuan mengenai operasi perlumbaan malam ikonik F1 itu, mempelajari amalan kemampanan Singapore GP dan diberi akses ke kawasan larangan seperti bilik kawalan perlumbaan, pusat media dan podium.

Tiket boleh didapatkan melalui undian yang sedang dibuka hingga 14 Julai di laman web Singapore GP.

Kegiatan itu adalah sebahagian kempen mendekati masyarakat, #RevUpSg, kendalian Singapore GP. Ia akan berlangsung hingga September sedang negara ini bersiap bagi Grand Prix Singapura dari 20 hingga 22 September.

Terdapat juga pertandingan go-kart, peluang berjalan di lorong pit (tiket juga boleh didapatkan di laman web melalui undian) dan pesta ‘pop-up’ di kawasan kejiranan.

Peminat lumba kereta boleh menyertai Cabaran Karting, pada 3 dan 4 Ogos di HyperDrive, sebuah litar permainan go-kart elektrik dalam bangunan di The Pahlawan @ Sentosa. Undian bagi kegiatan itu juga tamat pada 14 Julai.

Ia dibuka kepada penduduk tempatan dalam dua kategori – kumpulan umur antara sembilan dengan 17 tahun dan berusia 18 tahun dan ke atas. Peserta mesti mempunyai ketinggian minimum 140 sentimeter.

Tiga pelumba terbaik dalam setiap kategori akan turut berpeluang memenangi hadiah seperti tiket ke Grand Prix Singapura, produk Red Bull dan barangan.

Pesta ‘pop-up’ serata pulau akan memberi peluang kepada penduduk mencuba simulator perlumbaan dan menikmati keghairahan berlumba dalam kenderaan kokpit terbuka.

Ia akan diadakan di Atrium Tower 1 dan 2 Suntec City pada 27 dan 28 Julai; One Punggol pada 24 dan 25 Ogos; Hab HDB Toa Payoh pada 31 Ogos dan 1 September. Tayangan langsung Grand Prix Belgium, Belanda dan Italy akan diadakan pada tarikh itu.

Pada 19 September, malam hujung minggu perlumbaan, Pengalaman Lorong Pit akan diadakan sekali lagi. Hingga 4,500 penduduk, bertambah daripada 4,000 pada 2023, akan mendapat akses ke lorong pit dan melihat garaj pasukan F1 sebelum pintu masuk ke Taman Litar dibuka secara rasmi. Undian bagi kegiatan ini dibuka mulai 1 Ogos.

Bagi butiran lanjut mengenai kegiatan #RevUpSG, kunjungi laman web singaporegp.sg/en/revupsg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg