Topik diikuti
Pergi ke BHkuHamilton harap hujan turun semasa GP S’pura susulan pemanduan cemerlang di Sepang
Hamilton harap hujan turun semasa GP S’pura susulan pemanduan cemerlang di Sepang
Pemandu Formula 1 (F1), Lewis Hamilton berkata beliau berharap perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini berlangsung dalam keadaan hujan.
Beliau mendapat suntikan semangat selepas pemanduan cemerlang dalam keadaan basah di GP Bahrain di Malaysia pada hujung minggu lalu, membolehkannya menduduki tempat ketiga meskipun bermula dengan tayar kering yang tidak sesuai.
Kekecewaan timbul di Litar Antarabangsa Sepang apabila perlumbaan terpaksa ditangguhkan selepas pusingan formasi menjadi huru-hara.
Ketika itu, beberapa kereta – termasuk milik pelumba Ferrari itu – terhenti akibat gangguan perisian, atau software bug, yang mengawal penggunaan kuasa elektrik enjin ketika dalam keadaan basah.
Apabila perlumbaan akhirnya dimulakan hampir sejam kemudian, hujan telah berhenti dan dalam tempoh kira-kira sembilan pusingan, litar kembali kering.
Hamilton ingin melihat perlumbaan dimulakan dalam keadaan cuaca yang lebih mencabar.
“Perlumbaan dalam cuaca basah tidak lagi sama seperti dahulu, itu sudah pasti,” kata juara dunia tujuh kali berusia 41 tahun itu, yang memulakan kerjaya F1 bersama McLaren pada 2007.
“Saya pernah melalui perlumbaan hebat pada 2008 dalam hujan. Saya suka berlumba dalam hujan. Saya bersemangat untuk teruskan (perlumbaan) dalam keadaan ekstrem, kerana di situlah kebolehan sebenar kami diuji.
“Adakah ia lebih berisiko? Sudah tentu. Sebab itulah apabila saya beraksi dengan tayar licin (di Malaysia), ia menyebabkan keadaan menjadi sangat sukar. Litar basah dan saya pula menggunakan tayar licin.
“Tetapi saya sukakan cabaran itu dan itulah hakikat perlumbaan – di mana anda perlu memandu mengikut naluri serta kebolehan diri secara spontan,” ujarnya.
Hujan diramalkan sekali lagi menjadi cabaran bagi pelumba yang menyertai GP Singapura, dengan ribut petir diramal menjejas perlumbaan ‘Sprint’ dan kelayakan pada 10 Oktober, serta perlumbaan malam di Litar Marina Bay pada 11 Oktober.
Litar dengan kepanjangan 4.927 kilometer itu menampilkan 19 selekoh dengan tembok penghadang yang sangat rapat, sekali gus tidak memberi ruang bagi sebarang kesilapan kecil dilakukan.
Pada masa sama, cuaca panas dan kelembapan tinggi menjadikannya antara perlumbaan paling menguji ketahanan fizikal pelumba sepanjang musim.
Penganjuran perlumbaan ‘Sprint’ musim ini juga bermakna para pelumba dan pasukan hanya mempunyai satu sesi latihan pada 9 Oktober untuk menyesuaikan diri.
“Saya teruja untuk datang ke sini, ke Singapura, dan anda hanya mempunyai satu sesi latihan,” tambah Hamilton.
“Semua orang berada dalam situasi yang sama – (latihan) mungkin berjalan lancar, atau sebaliknya. Kita lihat bagaimana keadaannya esok (9 Oktober),” katanya.
Hamilton pernah menjuarai GP Singapura sebanyak empat kali sebelum ini, dengan kemenangannya yang terakhir direkodkan pada 2018.
Mengumpul 214 mata secara keseluruhan setakat ini, beliau kini menduduki tempat ketiga dalam carta pelumba F1 musim 2026.
Kedudukan teratas diterajui Kimi Antonelli daripada pasukan Mercedes dengan 320 mata, diikuti rakan sepasukannya, George Russell di tempat kedua dengan kelebihan 22 mata berbanding Hamilton.
Russell menjuarai GP Singapura pada 2025 selepas menewaskan pemandu Red Bull dan juara GP Bahrain di Sepang, Max Verstappen, serta juara dunia bertahan, Lando Norris daripada pasukan McLaren. – AFP.