Hampir 20 negara kutuk tindakan Israel ketat kawalan di Tebing Barat
Hampir 20 negara kutuk tindakan Israel ketat kawalan di Tebing Barat
RIYADH: Hampir 20 negara tampil mengutuk langkah Israel mengetatkan kawalannya ke atas Tebing Barat yang didudukinya, menyifatkan ia sebagai percubaan untuk menakluki wilayah tersebut dan melemahkan kenegaraan Palestin.
Israel telah meluluskan beberapa inisiatif pada Februari yang disokong oleh menteri sayap kanan, termasuk melancarkan proses pendaftaran tanah di Tebing Barat sebagai “hartanah negara” dan membenarkan rakyat Israel membeli tanah di sana secara langsung.
Langkah itu “adalah sebahagian daripada tindakan yang jelas bertujuan mengubah realiti di lapangan dan untuk memajukan penaklukan de facto yang tidak boleh diterima.
“Tindakan sedemikian adalah serangan yang disengajakan dan langsung terhadap daya maju negara Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara,” kata 18 negara majoriti Eropah atau Muslim, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 23 Februari.
Kenyataan itu antara lain ditandatangani oleh negara berpengaruh serantau termasuk Arab Saudi dan Mesir, kuasa Eropah seperti Perancis dan Sepanyol, serta Indonesia, Brazil dan Turkey.
Ia turut disokong Setiausaha Agung, Liga Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Penguasa Palestin.
Selain sekitar tiga juta rakyat Palestin, lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di petempatan dan pos kawalan Tebing Barat, yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Pemerintah Israel telah mempercepat pengembangan petempatan, meluluskan rekod 52 petempatan pada 2025.
Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, akan membentuk bahagian terbesar mana-mana negara Palestin pada masa hadapan tetapi dilihat oleh ramai golongan kanan agama sebagai tanah Israel.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Israel telah meluluskan cadangan mendaftarkan kawasan luas di Tebing Barat sebagai “hartanah negara” buat kali pertama sejak pendudukan Israel di wilayah Palestin bermula pada 1967.
Penyiar awam Israel, Kan, berkata pada 15 Februari bahawa cadangan itu dikemukakan oleh Menteri Kewangan yang berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich; Menteri Kehakiman, Encik Yariv Levin; dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz.
“Kami meneruskan revolusi petempatan untuk mengawal semua tanah kami,” kata Encik Smotrich.
Pendaftaran tanah mewujudkan pemilikan kekal, tetapi kebanyakan tanah Palestin tidak didaftarkan secara rasmi, kerana ia merupakan proses yang panjang dan rumit, yang telah dihentikan oleh Israel pada 1967.
Undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa kuasa pendudukan tidak boleh merampas atau menetap di wilayah yang diduduki. – Agensi berita.

