Hampir 500 pesilat sertai Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan 2026
Hampir 500 pesilat sertai Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan 2026
Acara di Heartbeat@Bedok pada 6-8 Feb dan 14-16 Feb himpun atlet dari 20 perguruan
Minat terhadap Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan (NPSC) kembali rancak dengan hampir 500 peserta mengambil bahagian dalam edisi 2026.
Edisi ke-45 kejohanan itu bakal menghimpunkan seramai 499 atlet daripada 20 perguruan, meningkat daripada 475 atlet yang bertanding pada 2025.
Kejohanan itu berlangsung di Heartbeat@Bedok dari 6 hingga 8 Februari serta 14 hingga 16 Februari.
Saban tahun NPSC kekal sebagai gelanggang bagi bakat muda menunjukkan potensi mereka.
Malah, ia juga wadah yang mencerminkan perpaduan masyarakat silat setempat, kongsi Naib Presiden Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dan pengerusi kejohanan, Mohamed Shah Hashim.
Banyak perguruan silat telah menunjukkan minat untuk bertanding sebelum jemputan rasmi dikeluarkan, kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Beliau turut terharu bahawa perguruan yang tidak bertanding juga tampil untuk membantu dalam aspek logistik kejohanan.
NPSC dianggap sebagai pertandingan peringkat nasional tahunan utama di Singapura, dan telah dianjurkan sejak Persisi ditubuhkan pada 1976, kecuali apabila berlaku gangguan akibat Covid-19.
Setakat ini, semangat gotong-royong dalam kalangan perguruan untuk bersatu atas kecintaan terhadap pencak silat kekal utuh, menurut Mohamed.
“Banyak perguruan teruja apabila kami mengumumkan kejohanan ini.
“Ahli masyarakat silat sudah lama berkenalan dengan satu sama lain. Mereka yang tidak bertanding juga menghulurkan bantuan untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Misalnya, ada yang membantu menyediakan gelanggang, manakala yang lain menjaga pintu masuk.
Sementara itu, NPSC kekal dianggap sebagai pentas persaingan permulaan yang bermakna oleh perguruan dan bakat tempatan.
Mohamed berkata banyak perguruan mula mengasah bakat pesilat seawal peringkat sekolah rendah, dan menganggap NPSC sebagai wadah untuk mendedahkan pesilat mereka kepada tahap pertandingan lebih tinggi.
Minat yang kukuh turut terserlah melalui penyertaan perguruan seperti Gerak Selangkah dan Seligi Sangkapora yang bakal bertanding buat julung-julung kalinya di pentas tersebut.
Kejohanan itu juga kekal penting sebagai wadah untuk mengenal pasti bakat muda yang berpotensi mewakili pasukan kebangsaan.
Mohamed berkata:
“Kami bukan sahaja melihat kepada bakat pesilat, malah juga mempertimbangkan komitmen pesilat terhadap kejohanan pada tahap akar umbi.”
Nurin Insyirah Mohamed Aidil, yang meraih pingat gangsa bagi acara seni tunggal puteri di Sukan SEA Thailand pada Disember 2025, antara 499 peserta yang bakal beraksi.
Sejak kali pertama menyertai NPSC pada 2017 dalam acara tunggal puteri, Nurin terus menganggap kejohanan itu sebagai “tradisi dan pertandingan pencak silat terbesar di Singapura”.
Bagi NPSC 2026, beliau akan beraksi dalam kategori seni solo, iaitu koreografi bebas, buat kali pertama demi meluaskan pengalamannya.
“Selain memenangi pingat emas, saya mahu merasai dan menimba sebanyak mungkin pengalaman baru.
“Saya juga berhasrat membimbing rakan sepasukan saya sebaik mungkin,” kata anak didik Seni Silat Gayong Perwanit itu.
Peserta NPSC 2026 bakal beraksi dalam acara tanding dan seni, melalui kategori Praremaja (12 hingga 13 tahun), Remaja (14 hingga 16 tahun) dan Senior (17 hingga 45 tahun).
Sebanyak 64 pertandingan merentasi beberapa kelas tanding akan diadakan.
Sebanyak 21 acara seni pula merangkumi kategori tunggal, ganda, regu, dan solo.
Mengikut tradisi, kejohanan tersebut dilancarkan dengan penyerahan Keris Mandat oleh ahli Persisi kepada jawatankuasa kejohanan, sebagai tanda penghormatan dan perjanjian untuk mengendalikan kejohanan dengan amanah.
Majlis pembukaan pada 6 Februari itu dihadiri oleh Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, selaku tetamu terhormat.
Menurut kenyataan Persisi, urutan NPSC 2026 juga mengikuti jadual kejohanan serantau dan antarabangsa.
Persisi menambah bahawa dalam tempoh pertandingan selama enam hari, pengukuran berat badan, pemulihan dan perlawanan berturut-turut bertujuan menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental serta strategi atlet.
“Banyak perguruan dan pesilat telah lama bersiap-sedia dan ghairah untuk menonjolkan bakat mereka, dan kami menjangkakan tahap pertandingan yang sengit,” kata Mohamed.
SEKILAS
Kejohanan Pencak Silat Kebangsaan Ke-45
Bila: 6-8 Februari dan 14-16 Februari
Tempat: Dewan Sukan Heartbeat@Bedok
Perguruan silat yang mengambil bahagian:
1. ALHAQ
2. CEKAK SERANTAU
3. GERAK SELANGKAH
4. HARIMAU MINANGKABAU SINGAPURA
5. PERGURUAN PENCAK SENDENG
6. PERGURUAN SELIGI SANGKAPORA
7. PERGURUAN SENDENG BELALANG
8. PERGURUAN SENI SILAT GAYONG SINGAPURA
9. PERGURUAN SENI SILAT SENDENG TERATAI
10. PERSAUDARAAN SETIA HATI (SINGAPURA)
11. PPS MAUNG LUGAY SINGAPURA
12. SELIGI TUNGGAL ANGKATAN SINGAPURA
13. SELIGI TUNGGAL SINGAPURA
14. SENDENG SETURUT
15. SENI SILAT GAYONG PERWANIT
16. SETIA HATI (ESHA)
17. SI RUMPUN PADI
18. SILAT SENI GAYONG NAGABURA
19. SEKOLAH SUKAN SINGAPURA
20. TAPAK SUCI PUTERA MUHAMMADIYAH

