Harapan Forest ke pusingan kalah mati Liga Europa kian tipis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan Forest ke pusingan kalah mati Liga Europa kian tipis

Jan 23, 2026 | 1:06 PM

Harapan Forest ke pusingan kalah mati Liga Europa kian tipis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Forest,  Liga Europa, Morgan Gibbs-White
Pemain tengah Nottingham Forest, Morgan Gibbs-White, begitu kecewa sekali selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Braga dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Europa pada 23 Januari. Forest tewas 0-1 kepada Braga. - Foto REUTERS

BRAGA (Portugal): Sukar untuk membayangkan bagaimana malam Liga Europa boleh menjadi lebih buruk buat Nottingham Forest pada 23 Januari.

Kekalahan hambar 0-1 kepada Braga menyaksikan Forest ditimpa ‘tiga kali malang’ – menjaringkan gol sendiri, mensia-siakan sepakan penalti dan kemudian menyaksikan salah seorang pemainnya dilayang kad merah.

Memulakan perlawanan dengan harapan untuk bersaing bagi kedudukan lapan teratas Liga Europa – sekali gus melayakkan diri secara automatik ke pusingan 16 terakhir – anak didik Sean Dyche pulang dengan impian yang hampir pasti terkubur.

Malah, kemenangan ke atas Ferencvaros kelak dalam perlawanan terakhir liga sekalipun dijangka tidak mencukupi untuk mengelakkan Forest daripada perlu melalui aksi perlawanan penentuan atau play-off dua perlawanan untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

Walaupun keputusan itu mengecewakan, sorakan ejekan penyokong mereka sendiri pada waktu rehat dan di akhir perlawanan jelas mencerminkan betapa buruknya prestasi Forest.

Hakikatnya, keputusan perlawanan mungkin berubah jika tidak kerana kegagalan Morgan Gibbs-White menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53.

Namun, percubaan pemain tengah itu diselamatkan penjaga gawang lawan.

Malangnya, kira-kira 55 saat kemudian, Braga mendahului Forest menerusi gol sendiri Ryan Yates.

“Ia merupakan satu minit yang gila dalam perlawanan yang kami langsung tidak kelihatan tertekan,” kata Dyche kepada agensi berita TNT Sports.

“Kami gagal menyempurnakan penalti – itu boleh berlaku. Tetapi reaksi dalam satu atau dua minit berikutnya… kami tewas akibat satu gol yang lemah.

“Mereka mendapat suntikan semangat, penyokong menjadi ‘gila’, kami hilang fokus, dan satu situasi malang buat Yates. Sangat mengecewakan.”

Dengan Braga mampu memenangi perlawanan tanpa sebarang percubaan tepat ke sasaran – menjadikan mereka hanya pasukan kedua dalam sejarah Liga Eropah melakukannya – menambahkan lagi kekecewaan Forest.

Namun, meskipun Braga yang turut terkena tiang gol ketika mendahului 1-0 tidak begitu mengancam, Forest sendiri gagal menampilkan permainan yang lebih baik sepanjang perlawanan.

Dyche membuat tujuh perubahan daripada kesebelasan utama yang mencatat keputusan seri 0-0 menentang pendahulu Liga Perdana England (EPL), Arsenal, pada 18 Januari.

Kali terakhir beliau melakukan perubahan besar seperti itu adalah ketika perlawanan Piala FA menentang Wrexham.

Yates merasakan Forest agak tidak bernasib baik kerana tewas dan percaya pasukannya “menguasai sebahagian besar perlawanan”.

“Kami kecewa kerana saya rasa kami sudah melakukan mencukupi untuk memenangi perlawanan ini,” katanya kepada TNT Sports.

“Kami terlepas satu peluang. Bukanlah kami terlalu teruk, tetapi kami pasti boleh bermain lebih baik. Kami perlu segera bangkit.”

Sementara itu, pemain tengah Forest, Elliot Anderson, menerima kad merah kontroversial pada minit-minit akhir perlawanan akibat bantahan terhadap pengadil perlawanan dari Croatia, Igor Pajac.

Anderson akan terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 30 Januari, dan Forest berharap penggantungannya tidak dilanjutkan sehingga perlawanan play-off yang dijangka berlangsung pada Februari.

Perlawanan tambahan itu boleh menjadi beban buat Forest dalam jadual yang padat ketika mereka berjuang untuk kekal dalam EPL – lebih-lebih lagi jika terpaksa beraksi tanpa pemain tengah utama mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg