Hari terakhir tempoh pemindahan sepi, hanya 7 pemain ditandatangani
Hari terakhir tempoh pemindahan sepi, hanya 7 pemain ditandatangani
Tiada kelab dari kelompok enam teratas muktamadkan sebarang pemindahan
LONDON (England): Liga Perdana England (EPL) mencatatkan hari terakhir tempoh pemindahan musim sejuk yang paling sunyi dalam sejarah.
Hanya tujuh urusan pemindahan yang disempurnakan menjelang Isnin, 2 Februari.
Crystal Palace sebelum ini mengumumkan pembelian penyerang, Jorgen Strand Larsen, daripada Wolves dalam perjanjian bernilai 48 juta paun ($83 juta).
Terdapat lima lagi perjanjian yang diumumkan selepas tarikh akhir.
Antaranya, Sunderland membawa masuk pemain sayap dari Ecuador, Nilson Angulo, daripada Anderlecht dalam perjanjian bernilai 17.5 juta paun.
Wolves pula menandatangani pemain tengah, Angel Gomes, secara pinjaman daripada Marseille dan menggantikan Strand Larsen dengan Adam Armstrong daripada Southampton dengan nilai 7 juta paun.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan EPL sepanjang tempoh pemindahan musim sejuk melebihi 390 juta paun.
Liverpool pula telah mencapai persetujuan pada hari terakhir tempoh pemindahan untuk mendapatkan pemain pertahanan, Jeremy Jacquet, daripada Rennes.
Namun pemindahan itu termasuk bayaran 60 juta paun, hanya akan dimuktamadkan pada tempoh musim panas nanti.
Dua topik perbincangan utama pada hari itu (2 Februari) melibatkan Palace iaitu ketibaan Strand Larsen daripada Wolves dan pembatalan pemindahan rakan penyerangnya, Jean-Philippe Mateta, ke AC Milan berikutan masalah semasa pemeriksaan perubatan.
Selain itu, hari terakhir tempoh pemindahan itu sunyi daripada drama pemindahan pemain kerana tiada satu pun kelab dalam kelompok enam teratas yang melakukan sebarang urusan.
Salah satu pemindahan yang menarik perhatian ialah keluarnya seorang pemain daripada EPL.
Bekas pemain tengah England, Kalvin Phillips, berpindah daripada Manchester City kepada kelab Championship (Kejuaraan), Sheffield United, secara pinjaman hingga akhir musim.
Pemindahan itu berlaku empat tahun selepas City menandatangani Phillips daripada Leeds dalam perjanjian bernilai 45 juta paun.
Perjanjian lain yang telah disahkan pada detik akhir termasuk Nottingham Forest yang menandatangani pemain pertahanan Borussia Monchengladbach, Luca Netz.
Selain itu, pemain sayap Chelsea, Tyrique George, berpindah secara pinjaman ke Everton hingga akhir musim.
Manakala Tottenham dan Arsenal masing-masing mengumumkan satu penandatanganan kontrak pemain akademi.
Jumlah 397 juta paun bagi tempoh pemindahan kali ini tidaklah jauh berbeza berbanding tempoh musim sejuk sebelumnya.
Ini disebabkan Januari terkenal sebagai tempoh sukar bagi kelab untuk merekrut pemain secara berkesan.
Keadaan menjadi lebih sukar pada hari terakhir pemindahan. Namun, kali ini ia amat sunyi atas pelbagai sebab.
Perbelanjaan besar pada musim panas lalu merupakan salah satu faktor.
Satu lagi kemungkinan berkaitan dengan sistem baru Keadilan Kewangan (FFP) yang akan diperkenalkan mulai musim depan.
Nisbah Kos Skuad (SCR) akan menggantikan Peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR).
Ini bermaksud jumlah kos keseluruhan skuad dalam EPL mulai musim 2026-27 perlu dihadkan kepada 85 peratus daripada hasil pendapatan sesebuah kelab.
Dalam tempoh pemindahan kali ini, City membuat langkah paling besar.
Mereka berusaha mencari peluang terbaik untuk mencabar Arsenal bagi kejuaraan EPL.
Pasukan itu menandatangani pemain penyerang, Antoine Semenyo, daripada Bournemouth dengan nilai 64 juta paun pada 9 Januari.
Pemain pertahanan, Marc Guehi, menyertai kelab itu daripada Palace dengan harga 20 juta paun pada 16 Januari.
Pendahulu EPL, Arsenal, tidak melakukan sebarang urusan dalam tempoh pemindahan musim sejuk kali ini. – Agensi berita.

