Kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia 2027 memberi keyakinan baharu kepada skuad Singapura.

Namun bagi kapten Singa, Hariss Harun, pencapaian itu hanya akan menjadi bermakna jika pasukan mampu mengekalkan standard sama menjelang Piala Asean Hyundai.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) sewaktu Hari Media yang diadakan di hotel Parkroyal Beach Road pada 21 Julai, pemain pertahanan berusia 35 tahun itu menegaskan skuad Singa tidak boleh terus mengenang pencapaian lalu atau terlalu bergantung kepada kejayaan yang dikecapi sebelum ini.

Sebaliknya, tumpuan kini diberikan kepada usaha menjadikan ketekalan sebagai identiti pasukan.

“Kita sudah sampai ke satu tahap di mana kita tidak boleh lagi mengenang perkara lama.

“Kita perlu memandang ke hadapan,” kata Hariss.

Beliau berkata kejayaan dalam kempen kelayakan Piala Asia membuktikan kemampuan skuad, khususnya pemain muda, apabila mereka meletakkan standard tinggi terhadap diri sendiri dan saling menuntut prestasi terbaik antara satu sama lain.

“Cabaran sekarang adalah mengekalkan ketekalan dan kestabilan itu.

“Itulah perkara yang perlu kami pertahankan,” tambahnya.

Sebagai pemain paling berpengalaman dalam skuad, Hariss melihat peranannya bukan sekadar mengetuai pasukan ketika perlawanan, malah memastikan budaya profesional terus diterapkan dalam kalangan pemain.

Menurutnya, hubungan rapat di luar padang penting untuk membina keserasian, tetapi apabila latihan atau perlawanan bermula, setiap pemain perlu mempunyai mentaliti yang berbeza.

“Apabila kami melangkah ke padang, semuanya adalah atas urusan kerja.

“Setiap sesi latihan perlu dianggap sebagai persediaan sebenar untuk perlawanan supaya apabila hari perlawanan tiba, segala yang dilakukan menjadi sesuatu yang semula jadi,” ujarnya.

Hariss turut menyifatkan kem latihan di Jepun dari 6 hingga 17 Julai sebagai persiapan penting menjelang kejohanan.

Walaupun latihan dan aksi persahabatan yang diharungi mencabar, beliau percaya pengalaman tersebut membantu mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemain.

“Latihan memang sukar dan perlawanan yang kami lalui juga mencabar, tetapi di luar padang kami meluangkan masa bersama sebagai satu kumpulan.

“Saya rasa ia benar-benar merapatkan lagi hubungan antara pemain skuad Singa,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan Piala Asean Hyundai, Hariss menjangkakan satu lagi kempen sengit memandangkan jurang antara pasukan Asia Tenggara kini semakin mengecil.

Beliau mengingatkan bahawa rekod Singapura sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu, turut membawa harapan tinggi daripada penyokong.

“Pada edisi 2024 yang lalu, kami berjaya mara ke separuh akhir, tetapi setiap kejohanan tetap memberikan cabaran berbeza,” katanya.

Singapura berada dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Timor-Leste, Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Mereka akan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 24 Julai, sebelum berdepan Timor-Leste di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai.

Pasukan Singa kemudian bertandang ke gelanggang juara bertahan Vietnam pada 31 Julai, sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 7 Ogos.

Menurut Hariss, faktor perjalanan, selain pengurusan pemulihan pemain, akan menjadi elemen penting sepanjang saingan.

“Tiada lagi perlawanan mudah di Asia Tenggara.

“Setiap perlawanan akan menjadi sukar dan kami perlu mengharunginya satu demi satu,” katanya.

Walaupun sasaran utama kekal untuk memenangi setiap perlawanan, Hariss menegaskan skuad Singapura tidak boleh terlalu cepat memikirkan pusingan kalah mati.

Katanya, pengalaman beberapa kempen Piala Asean Hyundai terdahulu mengajarnya bahawa pendekatan paling berkesan adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan yang akan datang.

“Kami hanya boleh bersedia untuk perlawanan seterusnya.

“Persediaan bagi setiap lawan mungkin berbeza bergantung kepada pemain yang ada atau pendekatan taktikal yang digunakan,” katanya.

“Selepas empat perlawanan peringkat kumpulan nanti, barulah kami melihat di mana kedudukan kami.

Harapnya kami mara ke separuh akhir, kemudian kami fikirkan langkah seterusnya.”

“Apabila kami melangkah ke padang, semuanya adalah atas urusan kerja. Setiap sesi latihan perlu dianggap sebagai persediaan sebenar untuk perlawanan supaya apabila hari perlawanan tiba, segala yang dilakukan menjadi sesuatu yang semula jadi.”
Hariss Harun.