Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hariss: Kelayakan Piala Asia bakal cetus kebangkitan bola sepak S’pura

Pasukan Singa ingin menang, enggan pulang dengan kedudukan seri dalam perlawanan menentang Hong Kong pada 18 Nov
Nov 16, 2025 | 6:23 PM
Piala Asia, kelayakan, Singa
Kapten pasukan Singa, Hariss Harun, menekankan kepentingan ketenangan dan fokus apabila menghadapi perlawanan sebesar perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong pada 18 November. - Foto FAS

Tiada sedikit keraguan pun yang kedengaran dalam suara Hariss Harun.

Kapten Singa itu tampak tenang, yakin, dan jelas tentang apa yang perlu dilakukan pada 18 November, di mana Singapura berdepan dengan Hong Kong dalam salah satu perlawanan paling penting dalam sejarah bola sepak negara.

“Kami tidak pernah turun padang untuk capai mata seri sahaja. Kami bermain untuk menang dan kali ini, tidak berbeza,” katanya di Hari Media yang berlangsung di Hotel Kerry, Hong Kong, pada 16 November.

Baginya, perlawanan ini bukan tentang bertahan, tetapi perjuangan mati-matian untuk menang.

Dengan impian ke kelayakan Piala Asia begitu dekat untuk direalisasikan, Hariss dan Ketua Jurulatih pasukan, Gavin Lee, telah menyeru skuad agar akur pada satu misi bersama, iaitu untuk membawa pulang tiga mata dan memastikan kelayakan Singapura ke Piala Asia menjadi nyata, sebagaimana yang telah lama diidamkan.

“Sejak Gavin mengambil alih pasukan, itulah mentaliti kami. Kami tidak pernah bermain untuk kedudukan seri. Setiap kali, matlamatnya hanya satu – menang. Kali ini pun sama,” kata Hariss.

Nada yang sama turut ditegaskan oleh Lee yang menekankan falsafah pasukannya yang sentiasa agresif dan berani mencabar.

“Setiap perlawanan kami masuk dengan niat untuk menang dan itulah yang membentuk segala keputusan, tindakan, dan cara kami bermain,” ujar jurulatih itu.

Kemenangan di Stadium Kai Tak bakal menjadi detik bersejarah buat dunia bola sepak Singapura – kelayakan pertama ke Piala Asia AFC, sesuatu yang telah sekian lama diidamkan oleh generasi demi generasi pemain negara.

“Sudah bertahun, pelbagai generasi pemain hendak mencapainya tetapi tidak kesampaian. Tapi kali ini, peluang itu ada di depan mata, peluang untuk menamatkan penyesalan lama dan menjadi inspirasi untuk generasi seterusnya,” kata Hariss pula.

Namun di sebalik debaran dan harapan tinggi yang menyelubungi pasukan Singa, suasana agak tenang dan para pemain yakin.

Selaku kapten yang sudah lama memimpin pasukan dalam pelbagai perlawanan besar, Hariss tahu pentingnya untuk kekal fokus dalam situasi sebegini.

“Persediaan kami tetap sama. Anda berlatih bersungguh-sungguh, membawa diri sebagai pemain kebangsaan, dan beri segalanya. Itulah yang membawa kami ke tahap ini, dan itulah yang akan mendorong kami untuk mara ke depan,” kata Kapten Singa itu.

Sejak Gavin Lee mengambil alih sebagai Ketua Jurulatih sementara, Hariss berkata pasukan ini semakin matang dari segi permainan dan mentaliti.

“Kami semakin baik sebagai satu unit, bukan saja dalam permainan, tapi juga dari segi watak. Kami sudah tunjukkan yang kami mampu bangkit bila diuji,” ujar beliau.

“Semangat juang itu yang kami mahu bawa ke perlawanan ini,” ujarnya lagi, penuh semangat.

Beliau menyifatkan peluang melayakkan Singapura ke Piala Asia antara detik paling bersejarah dalam kerjaya bola sepaknya.

“Perkara ini sangat besar, bukan hanya bagi saya, tapi untuk pasukan kebangsaan dan arena bola sepak Singapura. Ia boleh jadi pemangkin kepada sesuatu yang lebih baik,” kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) itu.

Namun di sebalik tekanan yang menanti, Hariss mahu pasukannya melihat semua ini sebagai satu penghormatan, bukan beban.

“Lebih baik main dalam perlawanan yang membawa makna, perlawanan yang boleh mengubah sesuatu, daripada perlawanan yang tiada erti,” katanya.

Menjelang pertemuan dengan Hong Kong, Hariss percaya keputusan akan ditentukan oleh ketajaman kemahiran dan keinginan untuk berjaya.

“Kededua pasukan mahu menang, tapi yang penting siapa yang boleh guna kekuatan mereka dengan lebih bijak?” katanya lagi.

“Kami sudah berjuang untuk sampai ke sini. Nasib kami pun kami cipta sendiri. Sekarang, kami perlu laksanakan tugasan ini,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg