Hariss sasar tamat kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan
Hariss sasar tamat kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan
Perlawanan kelayakan terakhir Piala Asia antara Singapura dengan Bangladesh bukan sekadar ‘turun padang untuk bermain’, tegas kapten pasukan Singa, Hariss Harun.
Bercakap pada hari media Singa pada 17 Mac, Hariss menjelaskan walaupun kelayakan ke Piala Asia sudah dijamin, perjuangan pasukan masih belum selesai menjelang pertemuan dengan Bangladesh di Stadium Negara pada 31 Mac.
“Kami masih mempunyai rekod belum pernah dikalahkan dalam kempen ini. Dan kami mahu mempertahankannya,” katanya.
Dengan masa yang semakin suntuk sebelum kejohanan bermula, beliau mengakui setiap sesi latihan dan setiap detik yang diluangkan bersama sebagai satu pasukan kini menjadi semakin berharga.
“Kami sedar masa semakin singkat. Jadi, setiap persiapan perlu ada tujuan.
“Ini bukan sekadar satu lagi perlawanan, tetapi satu langkah ke arah sesuatu yang lebih besar,” tambahnya lagi.
Perkara itu turut ditekankan ketua jurulatih negara, Gavin Lee, yang melihat tempoh bersama pasukan nasional yang singkat ini sebagai satu cabaran penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Masa bersama skuad kebangsaan sangat terhad. Setiap kali kami berkumpul, ia tidak pernah mencukupi. Jadi kami tidak boleh ambil apa-apa dengan mudah,” ujar beliau.
Walaupun perancangan awal sedikit terganggu dengan pembatalan perlawanan persahabatan, Lee enggan menjadikannya alasan.
“Ia memang tidak ideal, tetapi itu di luar kawalan kami. Apa yang penting sekarang ialah memastikan kami tidak mensia-siakan masa yang ada,” katanya.
Bagi beliau, kekangan itu juga membuka ruang untuk memperkukuh aspek lain dalam persiapan pasukan.
“Kadangkala apabila ada perlawanan, fokus terlalu khusus.
“Sekarang kami ada masa untuk memperbaiki perkara lain dan memaksimumkan latihan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Lee menegaskan tiada tempat yang terjamin dalam skuadnya, meskipun Singapura telah melayakkan diri ke Piala Asia.
“Setiap tempoh (bersama pasukan nasional) adalah seperti halaman kosong. Pemain perlu buktikan diri mereka setiap kali. Tiada siapa boleh ambil tempat mereka dengan mudah,” tegasnya.
Pendekatan itu selari dengan mesej yang dibawa Hariss – bahawa piawaian perlu dikekalkan, tanpa mengira situasi.
Bermain di laman sendiri turut memberikan dimensi berbeza buat skuad Singa.
Selepas mencipta detik bersejarah di luar negara sebelum ini, Hariss percaya kemenangan di hadapan penyokong sendiri akan membawa makna yang lebih mendalam.
“Menang di luar negara memang sesuatu yang istimewa, tetapi tiada apa yang boleh menandingi meraikannya bersama penyokong sendiri,” katanya.
Lee turut berkongsi harapan sama, dengan harapan melihat lautan merah memenuhi stadium pada malam perlawanan nanti.
“Kami mahu melihat stadium penuh. Dan tugas kami adalah untuk memastikan kami tidak menghampakan mereka,” ujarnya.
Namun, di sebalik harapan tinggi penyokong yang menginginkan kemenangan, Lee kekal berpegang pada prinsipnya.
“Kami tidak boleh mengawal keputusan, tetapi prestasi berada dalam kawalan kami. Itu yang menjadi tumpuan utama kami,” jelasnya.
Bagi Hariss pula, perjalanan panjang bersama skuad kebangsaan menjadikan detik ini lebih bermakna.
Selepas melalui pelbagai cabaran dalam arena bola sepak tempatan, beliau melihat kelayakan ke Piala Asia sebagai satu pencapaian yang cukup besar, namun bukan garis penamat.
“Perjalanan ini panjang tetapi ia belum selesai. Kami masih ada banyak yang ingin dicapai,” katanya.
Dengan perlawanan menentang Bangladesh semakin hampir, kededua pemain dan jurulatih sepakat bahawa tumpuan tidak boleh lari daripada matlamat utama.
“Perlawanan seterusnya sentiasa yang paling penting,” kata Lee ringkas.
Dan bagi Hariss, tugasnya jelas.
“Kami sudah sampai ke tahap ini. Sekarang, kami perlu teruskan dan laksanakan apa yang perlu.”

