MUNICH (Jerman): Kapten pasukan England, Harry Kane, berkata pasukan itu bersedia “mencipta sejarah” menjelang aksi pembukaan Euro 2024 menentang Serbia pada 16 Jun.
Bercakap dengan majalah Jerman Spiegel dalam temu bual yang diterbitkan pada 13 Jun, pemain penyerang itu menyokong peluang England untuk memenangi kejuaraan Eropah, trofi utama pertama mereka sejak Piala Dunia 1966.
“Saya tidak mengatakan kami pasti akan memenangi kejohanan itu, tetapi kami mempunyai peluang yang sangat baik,” kata Kane, sambil memberitahu majalah itu bahawa England kini “bergerak sebagai satu pasukan”.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan 44 gol dalam 45 perlawanan dalam semua pertandingan bagi Bayern Munich, dan kini akan mengetuai England di kejohanan di Jerman yang dianggap sebagai “rumah keduanya”.
Kane, yang berpindah dari Tottenham sebelum musim lalu, berkata England mahu membetulkan trend kekecewaan masa lalu.
“Dalam sejarah England, kami bergelut untuk melepasi garisan penamat pada kejohanan utama,” kata Kane.
Beliau mengakui kekalahan pada final Euro 2020 kepada Italy menerusi penentuan penalti di Wembley adalah “sangat sukar untuk dihadapi”.
“Kami hampir merebut gelaran. Sekarang saya rasa pasukan ini sangat ‘lapar’.
“Kami mahu mencipta sejarah dan satu-satunya cara untuk melakukannya ialah dengan memenangi kejuaraan.”
Walaupun kerjaya individunya cemerlang, Kane belum pernah memenangi trofi berpasukan.
Bayern Munich menamatkan musim lalu tanpa trofi buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.
Penjaring gol terbanyak England sepanjang zaman itu juga mahu menebus kesalahan selepas gagal menjaringkan gol menerusi penalti penting dalam kekalahan 2-1 pada suku akhir kepada Perancis – finalis Piala Dunia 2022 di Qatar. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg