Selain menjadi inspirasi kepada penjaga gawang generasi Singapura, dorongan terbesar Hassan Sunny untuk terus beraksi sebagai pemain bola sepak profesional datang daripada keluarganya, khususnya anak-anaknya.
Bagi penjaga gawang berpengalaman itu, sorakan anaknya bukan sekadar sokongan, tetapi sumber semangat yang menguatkan komitmen dan kecintaannya terhadap sukan ini, walaupun usianya kini mencecah 42 tahun.
“Saya amat berterima kasih kepada Albirex kerana terus mempercayai saya dan memberi peluang untuk meneruskan perjalanan ini,” kata Hassan.
“Pendorong utama saya sekarang ialah anak saya.
“Mereka sangat suka datang ke stadium untuk menonton saya bermain dan selagi mereka gembira melihat saya di atas padang, saya akan terus beraksi.”
Penjaga gawang yang digelar ‘Superman’ itu baru-baru ini menandatangani lanjutan kontrak untuk beberapa tahun bersama juara enam kali Liga Perdana Singapura (SPL), Albirex Niigata, dengan pengumuman rasmi dibuat menerusi Instagram kelab tersebut pada 7 Januari.
Lanjutan kontrak tersebut membolehkan Hassan terus beraksi di peringkat tertinggi bola sepak tempatan, selain meletakkannya di landasan untuk memecahkan rekod usia pemain tertua dalam sejarah SPL, yang sebelum ini dipegang Alexander Duric dan Daniel Bennett, masing-masing bersara pada usia 43 dan 44 tahun.
Namun, kemampuan Hassan untuk terus bersaing pada usia ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Beliau menekankan kepentingan disiplin dalam menjaga prestasi.
Komitmen terhadap latihan kekuatan, pemakanan yang teratur serta pemulihan yang berstruktur menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
Disiplin ini yang telah meyakinkan Albirex untuk terus bergantung kepada Hassan untuk menjadi penjaga gawang utama mereka.
Hassan masih memainkan peranan penting dalam pasukan, memulakan 10 daripada 11 perlawanan Albirex pada musim ini.
“Kami sangat gembira mendapatkan Hassan untuk main dalam kelab ini, untuk beberapa tahun akan datang ini.
“Pastinya, beliau merupakan salah seorang penjaga gawang yang terbaik dalam liga,” kata jurucakap Albirex kepada Berita Harian (BH).
“Di samping itu, pendekatannya terhadap latihan dan persediaan perlawanan berada di peringkat tertinggi.
“Pemain belia kami sangat bernasib baik untuk melihat dengan dekat bagaimana seorang profesional terkenal berkelakuan dan bertingkah laku di dalam dan di luar padang,” tambah jurucakap Albirex itu.
Walaupun berada di ambang pencapaian yang bersejarah, Hassan menegaskan beliau tidak didorong oleh pencapaian untuk memecahkan rekod.
Tumpuan utamanya adalah untuk memberi kembali kepada sukan yang telah membentuk kehidupannya, khususnya dengan membimbing dan memberi inspirasi kepada penjaga gawang muda yang telah menjadikannya sebagai suri teladan.
“Matlamat saya adalah untuk terus memberi inspirasi kepada penjaga gawang muda dan berkongsi pengalaman serta pengajaran yang saya peroleh sepanjang kerjaya,” ujarnya.
Lebih daripada sekadar bola sepak, Hassan berharap perjalanan kerjayanya dapat menyampaikan mesej tentang kepercayaan diri dan ketabahan.
Dalam dunia sukan yang sering memberi keutamaan kepada pemain muda, beliau membuktikan bahawa usia bukan penghalang kepada cita-cita.
“Saya harap kisah ini mengingatkan semua bahawa usia tidak menentukan kebolehan kita.
“Kita perlu sentiasa kekal positif, terus berusaha dan komited dengan matlamat.
“Yang penting kita percaya pada diri sendiri, abaikan perkara negatif dan jangan biarkan keraguan menghalang impian anda,” rumusnya.
“
Saya amat berterima kasih kepada Albirex kerana terus mempercayai saya dan memberi peluang untuk meneruskan perjalanan ini. Pendorong utama saya sekarang ialah anak saya.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg