LONDON: Ia mungkin menjadi salah satu langkah pemindahan pemain yang paling banyak meninggalkan penyesalan.

Daripada menjaringkan gol untuk membantu Nottingham Forest kekal selamat dalam saingan Liga Perdana England (EPL), Morgan Gibbs-White nyaris-nyaris dapat menjadi penyelamat Tottenham Hotspur.

Spurs menyangka mereka telah berjaya mendapatkan pemain itu pada Julai 2025, namun saga perpindahan tersebut – yang menyaksikan Forest mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Spurs – masih memberi kesan besar selepas 10 bulan kejadian berkenaan. 

Hatrik pertama pemain antarabangsa England itu dalam kemenangan 4-1 ke atas Burnley pada 19 April telah membawa Forest lima mata di atas zon penyingkiran dengan baki lima perlawanan.

Namun kemenangan itu sekali gus mengakibatkan Spurs semakin hampir untuk disingkirkan daripada EPL.

Sebelum ini, Gibbs-White juga menjaringkan gol kemenangan bagi Forest dalam kemenangan 1-0 ke atas kelab gergasi Portugal, Porto, pada perlawanan kedua suku akhir Liga Europa 16 April. 

Keputusan itu membawa mereka ke separuh akhir dengan agregat 2-1 untuk bertemu Aston Villa.

Gol tersebut merupakan gol ke-15 beliau dalam keseluruhan kempen Forest pada musim ini. 

Gibbs-White terbukti menjadi ‘orang penting’ pasukan ketika skuad kendalian Vitor Pereira itu berjuang untuk terus kekal di Liga Perdana mengatasi Spurs.

Apabila Forest melangkah keluar dari Stadium Tottenham Hotspur dengan kemenangan 3-0 pada 22 Mac, kesannya jelas sangat besar.

Meskipun ketika itu Forest hanya tiga mata di atas zon penyingkiran, nilai kemenangan tersebut tidak boleh diperlekehkan.

Ia merupakan kemenangan pertama Pereira sebagai pengurus Forest dan cara kemenangan itu diraih terasa sangat bermakna, dengan Gibbs-White menjaringkan gol kedua yang mengesahkan kemenangan pasukan.

Hatrik terbaru Gibbs-White pada 19 April menambah kekecewaan Spurs, sekali gus menjadi peringatan pedih tentang pemain yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Pemindahan pemain berusia 26 tahun itu ke Spurs sebelum ini kelihatan seolah-olah sudah dimuktamadkan pada Julai 2025, apabila kelab tersebut dilaporkan bersedia memenuhi syarat pelepasan bernilai 60 juta paun (sekitar $103 juta).

Namun, Forest berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Spurs dan amat berang dengan cara rundingan Spurs.

Forest turut berkeras bahawa kelab London itu tidak pernah diberikan keizinan untuk bercakap dengan pemain mereka.

Gibbs-White kemudian menandatangani kontrak baru selama tiga tahun dengan Forest beberapa minggu selepas kejadian tersebut. 

Saga tersebut seakan menjadi permulaan kepada musim yang huru-hara bagi kedua-dua kelab – di mana Forest telah bertukar pengurus sebanyak empat kali, manakala Spurs kini berada di ambang penyingkiran pertama mereka sejak 1977.

“Tiga mata yang sangat besar. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Separuh masa pertama agak mendebarkan dan tegang,” kata Gibbs-White kepada Match of the Day.

“Pesanan daripada pengurus adalah supaya kami berikan segala-galanya di atas padang – apa pun yang terjadi, akan terjadi. Rakan sepasukan keluar berjuang, mengambil peluang apabila perlu, dan mengawal perlawanan.

“Semasa gol pertama, saya agak terburu-buru. Untuk gol kedua, saya tahu saya perlu bertenang dan mengawal bola dengan lebih baik. Apabila gol ketiga masuk, ia memang satu kegembiraan.

“Kami menang dan sekarang kami mempunyai jurang mata (selesa daripada zon penyingkiran).”

Daripada sepatutnya menjadi pemain utama yang membantu Spurs untuk kekal dalam liga, Gibbs-White sebaliknya memberikan satu lagi tamparan hebat kepada mereka.

Spurs, yang kini berada di kedudukan ke-18, akan ketinggalan empat mata daripada zon selamat jika West Ham – yang buat masa ini berada di kedudukan ke-17 – berjaya menewaskan Crystal Palace pada 20 April. – Agensi berita.