Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hawa power!

Semakin ramai wanita di S’pura ‘power’ angkat berat. Daripada hanya seorang atlet ‘powerlifting’ wanita bertanding di kejohanan dunia, jumlahnya bertambah kepada 19 dalam tiga tahun. Tidak kurang juga yang ‘powerlifting’ setakat ‘suka-suka’.
Sep 9, 2024 | 5:00 AM
Hannah Salim mula meminati ‘powerlifting’ pada 2021 setelah melihat seorang kawannya bersaing dalam satu pertandingan sukan itu.
Hannah Salim mula meminati ‘powerlifting’ pada 2021 setelah melihat seorang kawannya bersaing dalam satu pertandingan sukan itu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Setelah melihat seorang kawannya bersaing dalam pertandingan ‘powerlifting’ pada 2021, Hannah Salim, mendapat suntikan semangat untuk memulakan perjalanannya sendiri dalam sukan itu.

Beliau mula pergi ke gim untuk mengangkat berat dan menonton video di YouTube dan TikTok untuk belajar selok-belok mengangkat berat.

Hannah kemudian bertemu seorang kawan di gim yang menceburi ‘powerlifting’ dan kawannya memberi tunjuk ajar dan program untuk ‘pendatang baru’ itu mengendalikan latihan.

Sejak itu, minat Hannah dalam ‘powerlifting’ terus mekar.

“Dari masa ke masa, saya melihat diri saya menjadi lebih kuat apabila bergiat dalam ‘powerlifting’.

“Ia juga benar-benar menguji disiplin saya untuk kekal komited dan jangan terlepas latihan sebab matlamat akhirnya ialah menjadi lebih kuat dan mengangkat jumlah berat yang lebih tinggi,” ujar Hannah, 24 tahun.

Tiga tahun kemudian, pada 1 September, gilirannya pula bersaing di atas platform ‘powerlifting’.

Guru prasekolah itu menyertai pertandingan pertamanya, PS x SBD Novice Classic, anjuran Powerlifting Singapura, dalam kategori Terbuka Bawah 69kg Wanita.

Kejohanan itu, yang diadakan sempena Pesta Sukan Bandar dan Kecergasan Singapura dari 23 Ogos hingga 1 September, bertujuan mempromosikan sukan ‘powerlifting’ di Singapura dengan menawarkan latihan, pertandingan dan sumber untuk atlet daripada semua peringkat.

‘Powerlifting’ adalah sukan kekuatan terdiri daripada percubaan mengangkat berat maksimum dalam tiga disiplin atau gaya – angkat bertinggung (squat), juak baring (bench press), dan ‘deadlift’.

Hannah, yang mendapatkan khidmat jurulatih dan berlatih empat hingga lima kali seminggu untuk pertandingan itu, berkata:

“Saya sentiasa ingin menyertai pertandingan ‘powerlifting’, tetapi rasa takut. Jadi, ada bagusnya Powerlifting Singapura dan SBD Singapura bergabung untuk menganjurkan acara ini, terutama untuk pemula, kerana ia dapat menjadi batu loncatan kepada perjalanan ‘powerlifting’ kami’.

“Pastinya, ia adalah detik istimewa untuk saya… Sekarang saya boleh secara rasmi memanggil diri saya atlet ‘powerlifting’.”

Beliau adalah antara kumpulan atlet ‘powerlifting’ wanita yang semakin membesar di Singapura.

Menurut Powerlifting Singapura, bilangan atlet ‘powerlifting’ wanita yang mewakili Singapura di kejohanan dunia berlipat ganda sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2022, hanya seorang wanita Singapura bertanding dalam acara Terbuka di Kejohanan Dunia.

Bilangan itu bertambah kepada 11 – dalam kategori Terbuka, Junior dan Masters – pada 2023, dan kepada 19 setahun kemudian.

Kini, terdapat kira-kira 100 anggota wanita dalam Powerlifting Singapura, iaitu suku daripada jumlah keseluruhan atletnya, ujar badan pentadbir tempatan sukan itu.

Seorang jurucakap Powerlifting Singapura berkata sukan itu berkembang agak pesat sepanjang dua tahun lalu.

Ini khususnya disebabkan lebih banyak peluang bersaing sepanjang tahun kerana kian banyak gim tempatan bersedia mengelolakan pertandingan.

Selain itu, kehadiran suri teladan tempatan dalam ‘powerlifting’ juga menjadi daya tarikan untuk lebih ramai wanita menceburi sukan itu.

“Ramai wanita dalam komuniti kami bermula kerana mereka melihat wanita lain di atas platform atau di gim, dan mendapat inspirasi untuk memulakannya juga,” ujar jurucakap itu.

“Baik Farhanna Farid, yang memecahkan rekod dunia ‘deadlift’ mahupun atlet ‘powerlifting’ berhijab di atas platform seperti, Nadhirah Amran, atau atlet ‘powerlifting’ Masters kami yang lebih tua, iaitu Michelle Cheam, yang berkongsi perjalanannya, mereka semua membantu memecahkan stereotaip dan juga menanam semangat ‘mungkin saya juga boleh buat macam itu’ dalam minda orang,” ujarnya lagi.

Farhanna, 31 tahun, yang memecah rekod ‘deadlift’ sebanyak sembilan kali sepanjang dua tahun, berkata terdapat peralihan set minda yang ketara dalam beberapa tahun lalu mengenai wanita mengangkat berat.

Ia didorong berleluasanya sukan itu menerusi media sosial dan lebih banyak kajian diterbitkan mengenai manfaatnya.

“Wanita sekarang bukan sahaja lebih sedar tentang faedah jangka panjang mengangkat berat, malah mereka juga tidak lagi menganggap bahawa latihan kekuatan adalah sesuatu yang negatif, tidak selamat atau berbahaya.

“Malah, sekarang agak ‘trendy’ bagi wanita mengangkat berat. Saya rasa persekitaran kita juga menyokong peralihan ini, dengan lebih banyak gim wanita dibuka dan mempromosikan latihan kekuatan dan menyerlahkan manfaatnya,” kata juara Asia dua kali itu.

Seorang lagi yang baru berjinak-jinak dalam ‘powerlifting’ ialah Nur Nazihah Hasan, 24 tahun.

Guru bahasa Arab itu mula terlibat dalam sukan angkat berat pada 2022 ketika mula pergi ke gim kerana ingin kekal aktif bersenam dan meningkatkan daya keyakinannya.

Setelah beberapa bulan mengangkat berat dan berjumpa rakan baru di gim, beliau terdorong mencuba ‘powerlifting’.

“Saya pilih ‘powerlifting’ kerana ia membuatkan saya rasa lebih kuat dan meningkatkan keyakinan diri dan kesejahteraan mental saya.

“Buat masa ini, saya tiada rancangan bertanding... sekadar melakukannya secara suka-suka sahaja,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg