Topik diikuti
Pergi ke BHkuHide Higashikawa dinobat Pemain Terbaik Tahunan SPL
Hide Higashikawa dinobat Pemain Terbaik Tahunan SPL
Hide Higashikawa dinobat Pemain Terbaik Tahunan SPL
Selepas musim debut yang cemerlang dengan 19 gol dalam 20 perlawanan, penyerang BG Tampines Rovers, Hide Higashikawa, dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada Malam Anugerah Liga Perdana Singapura (SPL) pada 22 Mei.
Tidak lama selepas menerima anugerah itu di Pusat Konvensyen Raffles City, pengerusi Tampines, Shungo Sakamoto, mengesahkan bahawa pemain pinjaman daripada kelab Jepun, Tochigi City, itu akan menyertai mereka secara tetap menerusi kontrak dua tahun.
Sakamoto berkata: “Kami mempunyai pilihan untuk membelinya, jadi kami mengambil alih kontraknya. Hide ialah pemain yang bagus, jadi kami melabur dalam dirinya.”
“Ia keputusan yang sukar kerana kami perlu mempertimbangkan kehendak kedua-dua pihak, termasuk Hide.”
Sakamoto, yang menyaksikan Tampines muncul naib juara di belakang Lion City Sailors dalam SPL dan Piala Singapura, berkata pasukan itu akan memperkukuhkan skuad musim depan dengan pemain tempatan, import dan jurulatih bermutu.
“Kami menghadapi banyak masalah jurulatih musim ini, jadi saya berharap dapat membawa kemantapan musim depan, memenangi perlawanan serantau dan mungkin juga SPL,” kata Sakamoto, ketika Tampines menggunakan lima jurulatih sepanjang musim 2025-26.
Higashikawa, yang melaungkan “Saya cintakan Singapura!” dalam ucapannya, berkata beliau amat gembira menerima anugerah itu dan berterima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan keluarganya.
Penyerang Jepun itu memainkan peranan penting membantu Stags menamatkan musim di tempat kedua SPL dan mara ke play-off Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2).
Beliau juga menjaringkan enam gol dalam sembilan perlawanan ACL2, termasuk kemenangan 1-0 ke atas Pohang Steelers.
Kapten Albirex Niigata, Shingo Nakano, memenangi Kasut Emas SPL dengan 20 gol dalam 21 perlawanan serta anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan.
Namun, beliau memberi bayangan mungkin meninggalkan White Swans untuk beraksi di luar negara atau bersama kelab lain di Singapura.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata: “Saya sangat gembira dan mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana banyak membantu saya menjaringkan gol. Setiap gol ialah usaha pasukan, bukan individu.
“Saya terlepas anugerah Pemain Terbaik Tahunan, jadi mungkin saya perlu memenanginya. Jika berjaya, saya rasa saya sudah memenangi segalanya. Saya sentiasa mahu memperbaiki diri.”
Beliau masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya.
“Saya akan cuba ke luar negara, tetapi juga melihat kemungkinan menyertai pasukan lain di Singapura.
“Mungkin ke Timur Tengah, Korea Selatan, Thailand, Malaysia atau Indonesia, tetapi saya masih belum pasti. Saya perlu memikirkannya dahulu.”
Nakano ialah satu-satunya pemain Albirex dalam Pasukan Terbaik Tahunan, bersama lima pemain Sailors — Ivan Susak, Toni Datkovic, Bailey Wright, Bart Ramselaar dan Lennart Thy — serta lima pemain Tampines, iaitu Takeshi Yoshimoto, Yuki Kobayashi, Shah Shahiran, Koya Kazama dan Hide Higashikawa.
Jurulatih Albirex, Keiji Shigetomi, pula dinamakan Jurulatih Terbaik Tahunan walaupun pasukannya menamatkan musim di tempat ketiga.
Jurulatih berusia 46 tahun itu kecewa selepas White Swans menamatkan musim di tempat ketiga di belakang Tampines, namun berkata pasukannya akan bekerja lebih keras musim depan.
“Kami mahu ke ACL2 musim depan, jadi itu tanggungjawab kami. Sebab itu saya tidak berpuas hati,” kata warga Jepun itu.
Sementara itu, wartawan The Straits Times, Deepanraj Ganesan, memenangi anugerah Cerita Terbaik Tahunan menerusi artikelnya yang mengisahkan pemain tengah Sailors, Kyoga Nakamura, yang semakin hampir meraih gelaran SPL pertamanya selepas dua kali menjadi naib juara dan dua kali menduduki tempat ketiga.
Deepanraj, 31 tahun, berkata beliau berbesar hati menerima anugerah itu dan merakamkan penghargaan kepada semua yang menyumbang kepada kejayaannya.
“Penyelia meja sukan dan rakan sekerja saya banyak membantu membentuk cerita saya dan mendorong saya mencapai kecemerlangan setiap hari. Saya juga berterima kasih kepada pasukan di sebalik tabir yang memastikan cerita kami bebas kesilapan dan menarik secara visual.”
