Tanpa disangka-sangka, kecederaan yang dialaminya di padang bola sepak membuka pintu peluang dalam atletik.
Sejak detik itu, Muhamad Hosni Muhamad tidak lagi ‘menoleh ke belakang’ dan mempamerkan potensinya untuk muncul sebagai antara pelari pecut handalan Singapura khususnya dalam perlumbaan 100 meter sekitar 1990-an.
Berkongsi detik mula menceburkan diri dalam atletik dalam pertemuan dengan Berita Minggu (BM) baru-baru ini, bekas jaguh pecut negara yang kini berusia 52 tahun itu berkata:
“Seperti rakan-rakan sebaya lain, saya memang gilakan bola sepak semasa membesar di kawasan Redhill dan Bukit Merah... setiap petang dan setiap waktu lapang, saya akan berada di padang bola sepak... saya boleh beraksi sebagai pemain sayap, midfield dan pernah juga sebagai penjaga gawang.
“Semasa menuntut di Sekolah Rendah Keng Seng, saya juga pernah mewakili pasukan bola sepak sekolah, namun kecederaan ACL (ligamen krusiat anterior) pada lutut yang dialami semasa usia sekitar 12 tahun menghambat kemajuan saya dalam sukan ini.
“Masih ingat lagi... dibawa oleh arwah ibu saya untuk dapatkan rawatan di Hospital Alexandra, namun kecederaan itu tidak pulih sepenuhnya dan ia terus menjejas prestasi saya semasa bermain bola sepak (semasa menuntut di Sekolah Menengah St Thomas).
“Jadi sekitar berada di menengah tiga, saya terfikir... mengapa tidak mencuba sukan lain... itulah mula saya secara suka-suka... cuba sertai atletik khususnya perlumbaan pecut 100 meter sempena sports day di sekolah.
“Bayangkan waktu itu, saya tidak pernah dapat bimbingan dalam atletik... ingat lagi saya tidak melakukan apa-apa senaman pemanas badan, juga satu-satunya peserta di garisan mula yang tidak memakai kasut larian yang betul... saya sekadar pakai kasut sports biasa manakala peserta lain memakai kasut larian khusus spike... agar mereka tidak tergelincir semasa memecut di atas trek larian.
“Rakan-rakan lain serta guru sekolah bagaimanapun terkejut di akhir perlumbaan. Bukan saja saya muncul juara perlumbaan itu, malah saya berjaya mencipta rekod baru acara itu bagi sekolah saya.”
Tanpa jurulatih dan tanpa bimbingan yang betul, anak bongsu dalam keluarga lima adik-beradik itu kemudian mengejutkan dirinya sendiri apabila memenangi pingat gangsa perlumbaan 100 meter dalam penyertaan pertamanya di Kejohanan Antara Sekolah-Sekolah pada 1988.
Kejayaan gangsa itu menyaksikan sekolahnya menyenaraikan namanya bagi Kejohanan Peringkat Umur Caltex yang berlangsung di balapan Universiti Nasional Singapura (NUS). Berlumba dalam Divisyen B, Hosni muncul pemenang perlumbaan itu di samping diiktiraf Anugerah Pencapaian Terbaik bagi peringkat umurnya itu.
Beliau kemudian berpeluang aksi dalam perlumbaan anjuran Flash Athletics Club. Sekali lagi, Hosni, tidak mengecewakan apabila memenangi perlumbaan – kejayaan itu turut menarik perhatian beberapa ‘orang kuat’ di kelab atletik itu termasuk presidennya waktu itu, Edmund Pereira, yang mempelawanya berlatih di bawah naungan Flash Athletics Club.
Dengan bimbingan serta latihan lebih tersusun, nama Hosni mula disebut-sebut sebagai atlet harapan negara apabila mencatatkan hatrik kemenangan perlumbaan 100 meter pada 1992 – Terbuka Singapura, Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia.
Di Terbuka Singapura itu, Hosni menang dengan catatan masa 10.3 saat (catatan tangan) untuk menyamai rekod nasional yang dipegang legenda pecut negara, C. Kunalan, yang dicipta pada 1968.
Tahun itu turut menyaksikan Hosni bersaing dengan bekas pemegang rekod dunia dari Amerika Syarikat, Calvin Smith, di perlumbaan pertunjukan di Jakarta, di mana Hosni menamatkan perlumbaan di tempat kedua (10.65 saat), di belakang Smith (10.39 saat).
Kecemerlangannya turut diiktiraf Persatuan Amatur Atletik Singapura (SAAA) – kini dikenali sebagai Atletik Singapura – yang mengiktiraf pencapaian Hosni dengan Anugerah Atlet Paling Cemerlang 1992.
Bakatnya yang besar itu juga bermakna harapan yang tinggi diletakkan di atas bahunya untuk memenangi pingat apabila Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA 1993 – kebetulan temasya Sukan SEA pertama bagi Hosni.
Malangnya, harapan yang didambakan – berlumba di hadapan penyokong sendiri di samping bersaing merebut pingat dalam sukan yang secara tradisi bukanlah kekuatan Singapura – bertukar menjadi antara detik paling mengecewakan sepanjang kerjaya atletiknya.
“Apabila mengimbas semula pengalaman di Sukan SEA 1993, sejujurnya saya belum bersedia sebenarnya bagi pentas pertandingan sebesar itu... usia saya baru 21 tahun dan baru saja setahun berlatih secara sepenuh masa.
“Berlumba di pentas besar dan di hadapan penyokong setempat yang meletakkan harapan tinggi... memang satu pengalaman yang menggerunkan... sebelum pun temasya sukan itu bermula, nama saya kerap dapat tumpuan di akhbar-akhbar hampir setiap hari... ada saja bahan yang ditulis mengenai saya.
“Segala tekanan dan jangkaan yang dipikul itu terbukti terlalu berat, apatah lagi ia adalah Sukan SEA pertama saya. Saya sekadar menamatkan final perlumbaan 100 meter itu di tempat keenam... memang mengecewakan sekali.
“Lebih mengecewakan ialah reaksi selepas perlumbaan... kata-kata sinis, sindiran dan menyakitkan yang ditujukan ke atas saya... mereka seolah-olah lupa bahawa saya sebenarnya tampil di pentas terbesar pertama saya... usia pun baru 21 tahun... latihan yang dijalani boleh dianggap setahun jagung sahaja.
“Hakikatnya sebagai atlet nasional, tekanannya begitu besar sekali... setiap gerak-geri saya sentiasa diperhatikan... saya dituntut untuk menang setiap perlumbaan... jika gagal, ia dibalas dengan kecaman serta kritikan yang mengguris hati, baik dari peminat sukan ini mahupun media setempat.
“Jadi ia begitu membebankan dari segi fizikal dan mental... usah lupa bahawa atletik merupakan cabang sukan yang menjadi kekuatan negara jiran seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia. Jadi, atlet Singapura seperti saya memang berhadapan tugas mencabar... ia bertambah berat lagi apabila dibebani jangkaan yang terlalu tinggi,” tambah Hosni.
Sebutir gangsa Sukan SEA 1993 jadi pengubat Hosni yang bangkit sebagai pelumba anchor skuad berganti-ganti 4x100 meter negara – bersama-sama Firdhouse Hassan Saiyat, Yusof Alias dan Hamkah Afik – untuk menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 40.13 saat.
Sukan SEA 1993 di Singapura itu juga merupakan satu-satunya temasya sukan dwitahunan serantau itu yang disertai Hosni yang membuka lembaran 1994 dengan penuh semangat yang membawa pelbagai kenangan manis.
Jika beliau mencatatkan kejayaan hatrik pada 1992, Hosni menambah satu lagi –muncul juara di empat perlumbaan berprestij pada 1994 – bermula di Terbuka Taiwan, kemudian di Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia dan juga Terbuka Malaysia.
Kemenangan di Terbuka Singapura, menurutnya, lebih manis kerana kejayaan mengatasi pelumba Indonesia, Mardi Lestari, yang merupakan pelari terpantas Asia pada waktu itu.
Satu lagi detik manis, menurutnya, ialah apabila beliau menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan yang menampilkan pelari kelas dunia di kejohanan Undangan Atletik Bob Hasan di Jakarta. Perlumbaan dimenangi bintang pecut Amerika, Andre Cason, manakala tempat kedua diduduki pelari terpantas Asia waktu itu, Talal Mansoor, dari Qatar.
Tahun itu turut menyaksikannya mencatatkan masa terpantas peribadi dalam perlumbaan 100 meter – 10.2 saat (catatan tangan) – di perlumbaan Kejohanan Atletik Flash Athletic Club Ke-19.
Hosni turut berpeluang menjalani latihan pusat di Oregon, Amerika Syarikat, sekitar dua minggu sebelum berlepas mewakili negara di Sukan Komanwel anjuran Victoria, Canada, pada Ogos 1994. Di temasya sukan ini, beliau turut mendapat penghormatan sebagai pembawa bendera kontinjen Singapura di upacara pembukaan.
Meskipun gagal ke final, Hosni menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menduduki antara kelompok 20 pelumba terpantas 100 meter di peringkat Sukan Komanwel di samping mencatatkan masa peribadi terbaik 10.41 saat (catatan elektronik).
Di penghujung tahun, beliau turut mewakili negara di temasya Sukan Asia di Hiroshima, Jepun. Bersaing dengan jaguh-jaguh pecut handalan Asia, Hosni muncul sebagai pelumba ke-10 terpantas bagi acara kegemarannya itu, pecut 100 meter, dengan catatan masa 10.64 saat.
Masalah kecederaan memaksa Hosni terlepas aksi di Sukan SEA keduanya di Chiang Mai, Thailand, pada 1995 yang akhirnya juga memaksanya ‘menggantung’ kasut lariannya secara kompetitif pada 1997, namun penglibatannya dalam atletik tidak berakhir di situ.
Hosni, yang pernah menjadi ketua jurulatih pecut nasional dari 2008-2010, mendapat kepuasan yang tidak terhingga apabila dipelawa menjadi jurulatih atlet Olimpik Istimewa dan para-atlet negara – tugas yang dipikulnya sejak 2012 sehingga hari ini.
Sejauh ini, Hosni berpeluang membimbing mereka ke beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Para Asean di Myanmar (2014), Singapura (2015), Malaysia (2017), Indonesia (2022) dan Kemboja (2023) di samping Sukan Para Asia di Indonesia (2018) dan Hangzhou, China (2022).
Beliau juga telah membawa anak didiknya ke empat edisi Kejohanan Para-Atletik Dunia di London (2017), Dubai (2019), Paris (2023) dan Kobe, Jepun (2024), serta tiga temasya Sukan Paralimpik di Rio, Brazil (2016), Tokyo (2020) dan Paris (2024).
Melihat keceriaan serta semangat para-atlet di bawah didikannya itu keluar dari kepompong masing-masing, menunjukkan keyakinan serta keberanian untuk bersaing, memberikan Hosni kepuasan yang tidak terhingga.
“Setiap kali melihat mereka mengukir senyuman selepas bertanding... tidak kira menang atau kalah merupakan satu kepuasan yang sukar bagi saya ungkapkan dengan kata-kata. Ia melebihi arena sukan... harapan saya ialah dapat memupuk nilai-nilai positif semasa berlatih dalam kehidupan harian mereka... kekurangan mereka bukanlah hambatan untuk mereka meneruskan kehidupan dengan penuh bermakna,” tambah Hosni.
Kecekalan serta dedikasinya sebagai jurulatih turut diiktiraf.
Beliau dianugerah Pingat Jurulatih Singapura bagi kategori Prestasi Tahap Tinggi daripada CoachSG – sebuah badan yang berada di bawah naungan agensi sukan negara Sport Singapore (SportSG) – pada 2019.
Baru-baru ini, Hosni dinobat Anugerah Jurulatih Terbaik (Pembangunan) oleh Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) dalam majlis anugerahnya atas pencapaian dua para-atlet di bawah bimbingannya – Muhammad Nur Ariq Yaakob dan James Ethan Ang – yang menang pingat perak di Sukan Para Asean 2023 di Kemboja.
“Tanpa mereka (atlet) serta sokongan orang di keliling saya, langkah saya mungkin tidak ke mana, jadi segala anugerah itu saya terima dengan rendah hati sebagai motivasi untuk melakukan lebih baik lagi,” ujar Hosni, sambil menyebut sokongan kuat isterinya, Norlinda Ses. Mereka dikurnia empat anak – Nadia Alya (27 tahun), Diana (24 tahun), Tiara Qistina (19 tahun) dan Muhamad ‘Arfan (17 tahun).
“Sebagai jurulatih, saya mempunyai pelbagai kenangan indah... setiap kejohanan itu istimewa dengan caranya yang tersendiri. Namun antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa menyaksikan anak didik saya, Siti Nurhayati Aksar Khan, berlumba di Sukan Para Belia Asia di Bahrain pada Disember 2021.
“Siti sebenarnya sedang bersedih... ayahnya meninggal dunia sekitar sebulan sebelum temasya sukan itu, namun dia telah menunjukkan larian yang hebat untuk memenangi pingat perak dalam acaranya itu.
“Saya tidak dapat melupakan wajahnya sebaik melintasi garisan penamat... keberanian yang dipamerkannya begitu mengagumkan... detik-detik seperti ini juga mendorong saya untuk terus bertugas sebagai jurulatih bagi kumpulan para-atlet ini,” tambah Hosni.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg