Hougang didenda, dihukum kalah 3 perlawanan kerana turunkan pemain tanpa permit kerja sah
Hougang didenda, dihukum kalah 3 perlawanan kerana turunkan pemain tanpa permit kerja sah
Pemain kelahiran Tanzania, Gloire Amanda, belum peroleh permit kerja yang diluluskan
Kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Hougang United, dikenakan denda dan diberikan keputusan kekalahan bagi tiga perlawanan selepas menurunkan seorang pemain yang tidak layak akibat tidak memiliki pas kerja yang sah.
Dalam satu kenyataan pada 3 Mac, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memaklumkan bahawa pemain kelahiran Tanzania, Gloire Amanda, tidak dibenarkan beraksi kerana belum memperoleh permit kerja yang diluluskan.
Pemain berusia 27 tahun yang memegang kewarganegaraan Canada itu sebelum ini pernah beraksi di Canada, Austria dan Australia sebelum menyertai Hougang pada Januari 2026.
Di Singapura, warga asing yang ingin bekerja diwajibkan mendapatkan pas kerja sah daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum memulakan pekerjaan.
FAS menjelaskan bahawa jabatan pertandingan mereka telah menjalankan semakan terperinci terhadap garis masa pendaftaran pemain tersebut, termasuk surat-menyurat berkaitan dan dokumen yang dihantar oleh pihak kelab.
Hasil semakan mendapati pemain berkenaan telah diturunkan dalam perlawanan rasmi SPL dan SPL2 sebelum semua kelulusan wajib berkaitan status pas kerjanya diluluskan.
Walaupun Hougang telah mengemukakan permohonan pas kerja, ia masih belum mendapat kelulusan rasmi dan belum dikeluarkan secara fizikal ketika pemain itu beraksi.
Berdasarkan Artikel 23.3 Peraturan Musim SPL 2025/26, keputusan perlawanan yang terjejas dibatalkan dan tiga mata diberikan kepada pasukan lawan yang tidak melakukan sebarang kesalahan.
Penyertaan Amanda dalam dua perlawanan SPL dan satu aksi SPL2 dianggap melanggar peraturan pertandingan.
Dalam saingan SPL, perlawanan yang terlibat ialah kekalahan 5-1 kepada Lion City Sailors pada 24 Januari serta kemenangan 2-0 ke atas Young Lions pada 30 Januari.
Amanda masing-masing beraksi selama 75 dan 77 minit dalam kededua perlawanan tersebut.
Kemenangan ke atas Young Lions itu kini ditukar kepada keputusan 3-0 memihak kepada Young Lions.
Perubahan itu memberi kesan kepada kedudukan liga lapan pasukan, apabila Young Lions meraih kemenangan pertama musim ini untuk naik ke tangga ketujuh, manakala Hougang jatuh dari tempat kelima ke tempat keenam.
Bagi aksi SPL2 pada 21 Januari, kekalahan 1-0 Hougang kepada BG Tampines Rovers turut diubah menjadi tewas 3-0.
FAS turut mengesahkan bahawa Hougang dikenakan denda susulan insiden itu, namun jumlahnya tidak didedahkan.
Badan induk bola sepak negara itu juga memaklumkan bahawa prosedur pengesahan dan pematuhan lebih ketat bagi pendaftaran pemain asing akan dilaksanakan serta-merta.
Tindakan disiplin sewajarnya juga akan diambil terhadap kakitangan dan pengurusan FAS yang terlibat dalam proses pendaftaran tersebut.
Menurut FAS, kesilapan Hougang sepatutnya dapat dikesan lebih awal.
Badan itu menegaskan bahawa mereka memandang serius perkara tersebut dan komited untuk memastikan ketelusan, pematuhan peraturan serta integriti dan profesionalisme pertandingan sentiasa terpelihara.
Menurut hantaran Instagram yang dikeluarkan oleh Hougang pada 3 Mac, kelab tersebut menerima keputusan yang telah dijatuhkan kepada mereka, dan mengatakan bahawa kelab tersebut “tiada sebarang niat untuk mengelak dan melanggar peraturan”.
Mereka juga menyatakan bahawa mereka telah memperkukuh prosedur pematuhan mereka sejak kejadian tersebut dan meminta maaf kepada pihak-pihak yang terjejas dalam kesilapan tersebut.
“Hougang United FC dengan rendah hati memohon maaf kepada FAS, kelab-kelab yang terlibat, serta para penyokong, rakan kerjasama dan pihak berkepentingan atas kekhilafan pentadbiran ini.”
“Kami sedar akan kepentingan mematuhi setiap peraturan dan syarat pertandingan dan ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang berlaku.”
Berita Harian (BH) telah menghubungi MOM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

