Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hougang Utd lantik Akbar Nawas jadi pengarah teknikal

Pengalaman antarabangsa, kepimpinannya diharap tingkat prestasi
Sep 22, 2025 | 6:51 PM
Akbar Nawas, Hougang United, bola sepak
Selaku pengarah teknikal, Akbar akan memberi fokus kepada pengukuhan pembangunan teknikal, pembinaan hubungan serantau dan perjalanan pemain, menurut hantaran Facebook oleh Hougang United pada 22 September. - Foto FACEBOOK BALESTIER KHALSA

Bekas Ketua Jurulatih BG Tampines Rovers, Akbar Nawas, dilantik sebagai pengarah teknikal Hougang United.

Pelantikan itu diumumkan menerusi hantaran Facebook Hougang United pada pagi 22 September.

“Akbar akan memainkan peranan penting untuk menguatkan pembangunan teknikal, pembinaan hubungan serantau dan perjalanan pemain dengan sokongan penuh daripada ahli pengurusan kelab,” kata hantaran itu.

Hougang, yang mendapat julukan ‘Cheetahs’, menambah: “Akbar sudah biasa dengan perkembangan bola sepak serantau. Pengalaman antarabangsa dan kepimpinannya merupakan kunci untuk meningkatkan taraf (prestasi) di Hougang”.

“Pelantikan beliau akan menerapkan disiplin, struktur dan pemikiran yang mengutamakan kemenangan dalam semua lapisan kelab,” kata hantaran itu lagi.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Akbar dan Ketua Jurulatih Hougang United, Robert Eziakor, untuk mendapatkan respons lanjut.

Pelantikan Akbar itu menyusuli perpisahannya dengan BG Tampines Rovers pada 11 September, walaupun beliau memimpin pasukan itu dalam permulaan musim tanpa kekalahan selaku ketua jurulatih, termasuk kejayaan menjulang Perisai Masyarakat pada 16 Ogos.

Menurut The Straits Times (ST) pada 11 September, Akbar memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama pasukan Bawah-21 Tampines sedekad lalu sambil menjadi pembantu kepada ketua jurulatih utama ketika itu, V. Sundramoorthy, pada 2015.

Beliau mengambil alih pasukan utama pada 2016 dan mencapai kedudukan kedua dalam liga itu serta Piala Singapura. Akbar turut memimpin pasukan itu ke pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebelum meninggalkan kelab itu pada 2017 untuk menjadi jurulatih di luar negara.

Akbar turut berjaya membimbing pasukan Filipina, Global Cebu, ke pusingan akhir Piala Singapura dan ke pusingan kalah mati Piala AFC pada 2017, sebelum merangkul kejuaraan I-League bersama Chennai City dari India pada 2019.

Akbar kembali ke Singapura pada 2021 untuk memimpin Balestier Khalsa, tetapi meletakkan jawatan untuk menyertai pasukan Liga 2 Thailand, Udon Thani, pada 2022.

Pada 2023, Akbar mengukir sejarah sebagai rakyat Singapura pertama untuk membimbing pasukan dari liga utama Thailand, apabila beliau menandatangani kontrak dengan Nakhon Pathom United.

Hougang United kini menduduki tempat ketujuh antara lapan pasukan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26, dan belum lagi memenangi sebarang perlawanan.

Cheetahs akan menentang Young Lions pada 7.30 malam, 2 Oktober di Our Tampines Hub.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg