Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mampukah sentuhan Brazil bantu Young Lions mengaum semula?

Jurulatih Firdaus Kassim perlu semarakkan semula keyakinan anak didiknya selepas kempen hambar kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun
Sep 19, 2025 | 2:44 PM
SPL, Young Lions, bola sepak
Dengan gabungan pemain import dan tempatan di Young Lions, pasukan itu mengimpikan persembahan lebih baik pada musim SPL 2025/26. Mereka akan menentang Balestier Khalsa di pembukaan SPL pada 21 September. Foto menunjukkan pemain Young Lions di sesi latihan (dari kiri) Joilson Lucas, Henry Spence, Iryan Fandi, Aniq Raushan dan Izrafil Yusof. - Foto FAS

Beberapa tahun kebelakangan ini, Young Lions sering meraih keputusan mengecewakan, yang menempatkan mereka di tangga tercorot Liga Perdana Singapura (SPL).

Namun, dengan suntikan Ketua Jurulatih, Firdaus Kassim, serta gabungan pemain tempatan dan lima pemain import baru dari Brazil, ia menandakan kesungguhan mereka untuk mengubah kekecewaan kepada kejayaan pada musim SPL 2025/26.

Young Lions membuka kempen liga selepas kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun yang mengecewakan apabila mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Menjelang pertembungan menentang Balestier Khalsa pada 21 September, tugas utama Firdaus sudah tentu untuk membangkitkan semula semangat anak didiknya.

Ketua Jurulatih Young Lions, Firdaus Kassim.
Ketua Jurulatih Young Lions, Firdaus Kassim. - Foto FAS

Berbeza dengan kempen kelayakan sebelum ini, Firdaus kini boleh mengharapkan beberapa pemain import dari Brazil untuk menyerlah di padang.

Antaranya ialah pemain pertahanan, Joilson Lucas, dan Enrico Silveira; pemain tengah pertahanan Lucas Agueiro; penyerang, Abner Vinicius dan Sergio Mendonca.

Selain itu, pasukan itu turut dibarisi pemain sayap dari England, Harry Spence, serta penjaga gawang dari Slovenia, Benjamin Zerak.

Namun, persoalannya ialah sama ada Firdaus akan menurunkan lebih ramai pemain tempatan dengan mengambil kira persiapan menghadapi Sukan SEA pada penghujung 2025.

Terutamanya selepas beliau melihat prestasi pasukannya semasa menentang pesaing Asia lain di kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun itu.

Walau sasaran beliau untuk beraksi cemerlang dalam liga domestik, Firdaus juga perlu menerapkan keseimbangan agar dapat terus membangunkan pemain muda tempatan.

Beliau memiliki beberapa pemain muda berpengalaman yang boleh diharapkan, antaranya Andrew Aw dan Raoul Suhaimi yang masing-masing telah mencatat lebih 50 penampilan peringkat tertinggi.

Pemain Pertahanan Young Lions, Andrew Aw, yang telah mencatat lebih 50 penampilan peringkat tertinggi.
Pemain Pertahanan Young Lions, Andrew Aw, yang telah mencatat lebih 50 penampilan peringkat tertinggi. - Foto FAS

Selain itu, Nathan Mao, yang telah beraksi dengan Lion City Sailors musim lalu serta penyerang, Louka Tan-Vaissiere, yang menunjukkan potensi besar di kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun, antara pemain yang boleh membuat perbezaan untuk pasukan.

Menanti Young Lions di perlawanan pertama SPL mereka ialah The Tigers (gelaran Balestier Khalsa) yang menghadapi permulaan musim yang bercampur baur.

Mereka seri 2-2 dengan Albirex Niigata di perlawanan pembukaan sebelum dibelasah 0-5 oleh Lion City Sailors pada 14 September.

Ketua Jurulatih pasukan itu, Marko Kraljevic, pastinya mahu anak didiknya bangkit meraih kemenangan pertama, sekali gus menjadikan pertembungan menentang Young Lions lebih sengit.

Sementara itu, peluang Tanjong Pagar United untuk bangkit selepas tewas 0-3 pada perlawanan pembukaan menentang BG Tampines Rovers kelihatan mencabar apabila mereka akan berdepan pendahulu liga, Lion City Sailors, pada 22 September.

Mereka juga berkemungkinan tidak dapat menurunkan kesemua pemain import akibat kecederaan.

Ini termasuk pasangan pemain tengah, Jesse Daley dari Australia, dan Bruno Dybal dari Brazil; serta pemain pertahanan Australia, Aaron Evans, yang terlepas perlawanan pembukaan.

Ketika perlawanan menentang Tampines, penyerang Tanjong Pagar dari Sepanyol, Youssef Ezzejjari, kelihatan kurang mendapat sokongan di bahagian hadapan apabila pasukannya gagal memberikan ancaman serangan.

Penyerang Tanjong Pagar dari Sepanyol, Youssef Ezzejjari.
Penyerang Tanjong Pagar dari Sepanyol, Youssef Ezzejjari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Namun, anak didik Noh Alam Shah berpotensi mencetus kejutan sekiranya mengatur strategi dan disiplin permainan dengan betul.

Ini memandangkan Lion City Sailors baru sahaja seri 1-1 menentang pasukan Indonesia, Persib Bandung, dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 18 September, lantas soal kecergasan mungkin menjadi faktor untuk perlawanan seterusnya.

Di perlawanan tersebut, Sailors terpaksa menunggu sehingga penghujung permainan untuk menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan Lennart Thy.

Sebelum itu, kelalaian di barisan pertahanan Sailors memberi ruang kepada Persib menjaringkan gol melalui Saddil Ramdani.

Sekiranya Tanjong Pagar ingin mencetus kejutan, mereka perlu memanfaatkan peluang-peluang yang dicipta.

Sailors masih belum berada pada prestasi terbaik, walau sudah mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama musim ini.

Ini termasuk kemenangan tipis 2-1 ke atas Hougang United sebelum membelasah Balestier Khalsa 5-0.

Ramalan wartawan:

Young Lions 1-3 Balestier Khalsa

Tanjong Pagar United 1-1 Lion City Sailors

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg