New Hui Fen mencipta sejarah untuk boling Singapura pada 13 Ogos apabila beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).
Beliau warga Singapura pertama dan orang Asia kedua yang memenangi gelaran tersebut, lapor The Straits Times.
Ini sekali gus meletakkan Hui Fen dalam kumpulan elit yang termasuk legenda Amerika Liz Johnson, Lisa Wagner dan Wendy Macpherson. Sin Li Jane dari Malaysia memenangi anugerah itu pada 2024.
Hui Fen, 33 tahun, menyifatkan kemenangannya sebagai “impian menjadi nyata”.
“Sejak bertanding dalam jelajah PWBA, saya sentiasa mahu memenangi gelaran Pemain Terbaik kerana ia adalah bukti sebenar konsistensi dan kemahiran saya.
“Saya berasa sangat berbesar hati dapat mewakili Singapura dan memenangi anugerah ini. Melihat pemenang masa lalu seperti Liz Johnson dan Shannon O’Keefe merangkul anugerah ini secara berturut-turut benar-benar memberi inspirasi kepada saya,” tambahnya.
Menjelang Kejohanan Jelajah PWBA dari 10 hingga 12 Ogos di ABC Gates Bowl di Rochester, New York, Hui Fen mendahului perlumbaan merebut Pemain Terbaik Jelajah PWBA.
Anugerah itu ditentukan setiap tahun berdasarkan mata yang diperolehi dalam 11 acara sepanjang tahun.
Tetapi selepas menamatkan saingan di tempat kesembilan untuk ke peringkat akhir dengan jumlah 94,550 mata, nampaknya pesaing terdekatnya, Jordan Snodgrass, telah merebut inisiatif itu.
Dengan pemain Amerika itu merupakan satu-satunya yang boleh memintasnya, Snodgrass - yang mempunyai 93,125 mata untuk ke pusingan akhir pada 12 Ogos - hanya memerlukan kemenangan dalam perlawanan pertama untuk membawanya ke 94,625, iaitu 125 mata mengatasi Hui Fen.
Tetapi Snodgrass tewas 185-150 dalam perlawanan pembukaan menentang pilihan nombor lima Stephanie Zavala, menyerahkan gelaran berprestij itu kepada Hui Fen.
Hui Fen berkata, boling Singapura sentiasa memberikan bimbingan terbaik dan beliau bernasib baik kerana dapat bekerja dengan Shawn Ryan, perunding teknikal dan jurulatih Persekutuan Boling Singapura (SBF).
Presiden SBF, Cik Valerie Teo, berkata dalam satu kenyataan bahawa kemenangan Hui Fen adalah detik bersejarah bagi Singapura di pentas dunia.
“Ia bukan sahaja meraikan bakat luar biasa, tumpuan dan keazamannya, tetapi juga kekuatan semangat kesukanan Singapura. Kemenangannya menunjukkan bahawa atlet kita boleh menganjak ke kemuncak persaingan global, memberi inspirasi kepada pemain boling generasi akan datang untuk percaya bahawa dengan dedikasi dan daya tahan, Singapura boleh menang di peringkat tertinggi,” tambahnya.
Pada 31 Mei, Hui Fen memenangi Kejohanan Terbuka BowlTV sebelum merangkul kejuaraan keduanya dalam Jelajah PWBA pada 2 Jun di Kejohanan Terbuka Rock ‘n’ Roll - ia merupakan kemenangan kedua dalam tiga hari di tempat yang sama.
Pada 18 Jun, beliau memenangi empat perlawanan berturut-turut untuk memenangi Terbuka Wanita Amerika Syarikat 2025, di mana beliau meraih kemenangan 290-188 dalam perlawanan menentang Snodgrass. Kejayaannya juga meletakkannya sebagai pemain utama untuk anugerah tahunan PWBA itu.
Gelaran kelima dan kemenangan Major kedua Hui Fen, selepas Kejohanan Jelajah PWBA 2016, juga bermakna beliau memenuhi kriteria minimum untuk dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran PWBA apabila mencapai usia 50 tahun kelak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg