Pemain boling Singapura, New Hui Fen, yang memasuki final ‘stepladder’ Terbuka Wanita Amerika Syarikat sebagai pemain dengan kedudukan terendah, menyedari bahawa peluangnya untuk menang agak tipis.
Namun, dengan memberi tumpuan sepenuhnya, pemain yang berada di tempat kelima itu menewaskan keempat-empat pemain yang berada di atasnya untuk meraih gelaran utama pertama dalam Kejohanan Terbuka Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).
New, yang menamatkan perlawanan dengan 11 ‘strike’ berturut-turut dalam perlawanan penentuan, terbukti terlalu kuat untuk pemain nombor satu Amerika, Jordan Snodgrass, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menang 290-188 untuk meraih hadiah utama sebanyak AS$60,000 ($77,100) pada 18 Jun.
Menyifatkan gelaran PWBA ketiga dalam musim ini sebagai pencapaian terbaik dalam kerjayanya, pemain berusia 33 tahun itu berkata:
“Saya sangat gembira kerana dapat bermain dengan konsisten tahun ini. Rasa sangat hebat, seperti pengesahan yang kerja keras saya mula membuahkan hasil.”
Kejayaan New di Sun Valley Lanes di Lincoln, Nebraska, yang berlaku selepas kemenangannya di BowlTV Open pada 31 Mei dan Rock ‘n’ Roll Open pada 2 Jun, meletakkannya sebagai calon utama untuk Anugerah Pemain Terbaik PWBA.
Namun, beliau tidak terbawa-bawa dengan kejayaan itu.
“Ia belum berakhir. Masih ada beberapa lagi pertandingan yang perlu dihadapi,” kata New, sambil menyebutkan Minggu Kejohanan Jelajah PWBA pada 5 hingga 12 Ogos.
“Saya akan beri yang terbaik untuk bermain secara konsisten agar dapat peluang menang (anugerah Pemain Terbaik Tahun Ini).”
Pada suatu ketika, kemenangan di Nebraska kelihatan seperti sesuatu yang sukar dicapai.
Beliau tamat kelayakan itu di tempat ke-19 dengan 6,388 jatuhan pin selepas 32 permainan, untuk mara ke peringkat perlawanan (‘match-play’) bersama rakan sepasukannya, Shayna Ng.
Selepas pusingan pertama daripada dua pusingan perlawanan, New naik ke tempat kedua.
Namun, beliau tergelincir ke tempat kelima pada pusingan ketiga, cukup untuk membawanya ke final ‘stepladder’ sebagai satu-satunya pemain yang bukan dari Amerika.
Walaupun peluangnya tipis, kerana perlu mengalahkan empat lawan di hadapannya, beliau tetap positif.
Maryssa Carey adalah pemain pertama yang jatuh apabila beliau tewas 246-189 kepada New.
Pemain Singapura itu kemudiannya mengalahkan Crystal Elliott 228-183.
Setengah jalan, New sedar beliau berpeluang besar untuk menang.
Beliau mengalahkan pemain nombor dua, Lauren Russo, 262-174 untuk menempah pertembungan dengan Snodgrass, yang baru memenangi acara sebelumnya, Bowlers Journal Waterloo Open, pada 7 Jun.
Jumlah jatuhan pin empat permainan ‘stepladder’ New sebanyak 1,026 adalah yang tertinggi sejak pengenalan semula Jelajah PWBA pada 2015 – mengatasi rekod yang dicatatkan oleh Bryanna Cote dari Amerika pada 2022.
Gelaran kelima New dan kemenangan Major keduanya, selepas Kejohanan Jelajah PWBA 2016, membolehkannya layak dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran PWBA apabila berusia 50 tahun, menjadikannya pemain Singapura pertama untuk mencapainya.
New teruja kerana berpeluang berada di kalangan nama-nama terkemuka.
Presiden Persekutuan Boling Singapura (SBF), Cik Valerie Teo, memuji pencapaian New: “Hui Fen bukan sahaja mencipta sejarah, tetapi juga memberi inspirasi dengan bakat luar biasa, fokus kukuh, dan semangat yang tidak kenal putus asa.”
“Ini adalah detik membanggakan dan tidak dapat dilupakan untuk boling Singapura. Kami memberi beliau sokongan sepenuhnya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg