Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat basahi upacara penutup Paralimpik Paris

Sep 9, 2024 | 3:32 PM
Paralimpik 2024 menutup tirainya pada 8 September 2024 di Stade de France, Paris.
Paralimpik 2024 menutup tirainya pada 8 September 2024 di Stade de France, Paris. - Foto REUTERS

PARIS: Temasya Paralimpik Paris 2024 melabuhkan tirai dengan upacara penutup yang meriah pada 8 September menandakan berakhirnya satu edisi musim panas sukan yang cemerlang di ibu negara Perancis.

Seramai 24 artis daripada persada muzik elektronik Perancis memeriahkan suasana pesta walaupun hujan lebat membasahi Stade de France, di depan 4,400 atlet daripada 168 delegasi Paralimpik.

Ketua penganjur Paris 2024, Tony Estanguet, berkata temasya Paralimpik dan Sukan Olimpik yang berlangsung lebih awal telah menghasilkan “musim panas yang bersejarah” dengan 2024 akan “terpahat dalam ingatan orang ramai”.

Bekas atlet kanu Olimpik itu turut menambah bahawa Perancis menghadapi saat penting dalam sejarah dan negara itu berjaya melaksanakan tugasannya dengan baik sekali.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons, berkata Perancis telah menetapkan “kayu ukur” untuk temasya akan datang.

“Bagi negara yang terkenal dengan fesyen dan makanannya, Perancis kini terkenal dengan penyokongnya,” katanya.

Poppy Maskill dan Matt Bush, yang ditugaskan sebagai pembawa bendera Britain, menutup temasya 11 hari itu.

Maskill, 19 tahun, memenangi tiga pingat emas daripada lima pingat yang diraihnya.

Atlet Britain itu berkongsi jumlah pingat di Paris bersama atlet Britain yang lain, rakan sepasukan renang, Alice Tai, dan pelumba kerusi roda, Sammi Kinghorn.

Bush, 35 tahun, memenangi gelaran pertama Britain dalam Para-taekwondo dengan meraih emas dalam acara K44 80 kilogram lelaki.

Kontinjen Britain yang terdiri daripada 215 atlet menduduki tempat kedua, di belakang China, dalam kedudukan pingat di Paris dengan meraih 124 pingat (49 emas, 44 perak dan 31 gangsa).

Britain menyamai jumlah pingat keseluruhan mereka di Tokyo 2020, yang diadakan pada 2021, namun memenangi lapan emas tambahan di Paris.

Kontinjen Singapura pula, yang terdiri dari 10 anggota, menamatkan temasya dengan tiga pingat – dua emas dan sebutir perak – dalam persembahan terbaik mereka di Paralimpik.

Aksi terbaik mereka sebelum ini ialah di Paralimpik Rio de Janeiro 2016 di mana Singapura memperoleh dua emas dan sebutir gangsa.

Di Tokyo 2020, Singapura merangkul dua pingat emas menerusi perenang, Yip Pin Xiu.

Pada edisi kali ini, Yip mengekalkan kejuaraan dalam acara renang kuak lentang 50 meter dan 100 meter S2 wanita. Ini adalah temasya ketiga berturut-turut di mana perenang berusia 32 tahun itu dinobatkan sebagai juara berganda.

Pingat perak tunggal Singapura pula dimenangi oleh atlet boccia, Jeralyn Tan.

Cuaca buruk menghambat beberapa acara di upacara penutup tersebut.

Penganjur memaklumkan bahawa kawah api yang menempatkan obor Paralimpik, berbentuk seperti belon udara panas, tidak dapat melakukan penerbangan terakhirnya dari Taman Tuileries pada upacara penutup akibat angin kencang dan hujan.

Atlet boccia Perancis, Aurelie Aubert, memadamkan api Paralimpik dengan disaksikan atlet tuan rumah yang lain.

Paralimpik seterusnya akan diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 2028 dan bintang Broadway, Ali Stoker, menyanyikan lagu kebangsaan Amerika sebagai sebahagian daripada upacara penutup.

Penyanyi rap Amerika, Anderson Paak, juga mengetuai persembahan dengan berlatarbelakangkan Pantai Venice untuk membangkitkan semangat untuk temasya seterusnya di Los Angeles. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg