Penunggang kuda Paralimpik Singapura, Laurentia Tan, dan kudanya, Hickstead, layak ke peringkat akhir gaya bebas dalam acara ‘dressage’ individu (Gred I) pada 7 September di Paralimpik Paris.
Tan, yang membuat lima penampilan di Sukan Paralimpik, menduduki tempat kelima daripada 22 penunggang di Chateau de Versailles pada 3 September dengan markah 72.000.
Markah tersebut cukup untuk penunggang berusia 45 tahun itu, yang menghidap palsi serebrum sejak lahir serta hilang daya pendengaran, menduduki lapan tempat teratas.
Pertandingan 22 pesaing itu diungguli pemenang pingat perak semasa Paralimpik Tokyo 2020, Rihards Snikus, dari Latvia, yang meraih markah 79.167 untuk mendahului pesaing, Roxanne Trunnell dari Amerika (78.000), dan Sara Morganti dari Italy (74.625).
Rakan sepasukan Tan, Gemma Foo, dan kudanya, Banestro, menduduki tempat ke-11 dengan markah 68.917.
Kededua penunggang kuda Singapura itu akan disertai Hilary Su dalam acara ‘dressage’ berpasukan pada 6 September, 3.30 petang waktu Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Su, yang membuat penampilan sulung dalam Paralimpik, mendapat tempat ke-12 daripada 13 pesaing dalam acara ‘dressage’ individu (Gred III) dan tidak mara ke peringkat akhir.
Rebecca Hart dari Amerika Syarikat menduduki tempat pertama, di hadapan Rixt van der Horst dari Belanda yang berada di tempat kedua, dan Natasha Baker dari Britain, yang menduduki tempat ketiga.
Dalam perkembangan lain pada 3 September, perenang Paralimpik Singapura, Toh Wei Soong, gagal melayakkan diri ke peringkat akhir dalam acara renang kuak lentang 100 meter S7 lelaki.
Ini selepas Toh mencatat masa 1 minit 16.24 saat dan menduduki tempat kelima dalam pusingan saringan, dan tempat kesembilan keseluruhan dalam pertandingan 10 perenang.
Pemegang rekod dunia Ukraine, Yurii Shenhur, menduduki tempat pertama keseluruhan, dengan catatan masa 1 minit 9.32 saat, mendahului perenang Russia, Aleksei Ganiuk (1:13.24), dan perenang Italy, Federico Bicelli (1:14.37).
Shenhur kemudian merangkul pingat emas dalam perlawanan akhir dengan mencatat masa 1 minit 09.51 saat, dengan rakan senegaranya Andrii Trusov (1:10.42) meraih pingat perak dan Bicelli (1:12.23) meraih pingat gangsa.
Toh seterusnya akan bertanding dalam saringan renang gaya bebas 50 meter S7 lelaki pada 4 September, pada 4.57 petang waktu Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg