Dengan kemenangan 2-0 ke atas Tampines Rovers, Lion City Sailors telah menghantar mesej jelas kepada pencabar mereka – juara bertahan itu mungkin lebih sukar untuk dihentikan musim ini.

Apa yang mungkin lebih membimbangkan pasukan lain dalam Liga Perdana Singapura (SPL) ialah Sailors berjaya melakukannya tanpa mengeluarkan semua ‘senjata utama’ mereka.

Bobby Adekanye, salah seorang rekrut yang paling dinanti-nantikan selepas menimba pengalaman dalam beberapa liga di Eropah, hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-77.

Namun, walaupun tanpa beliau dalam kesebelasan utama, Sailors masih mempunyai kualiti yang mencukupi untuk menimbulkan banyak masalah kepada Tampines, pasukan yang meraih tempat kedua dalam persaingan SPL musim lalu.

Antara senjata Sailors merupakan Matthias Phaeton yang sudah memberikan gambaran awal mengapa barisan serangan Sailors kelihatan begitu menarik.

Pemain sayap itu kelihatan bertenaga, pantas dan berani berdepan pertahanan lawan.

Keupayaannya membawa bola ke hadapan dan menyerang ruang memberikan satu lagi dimensi kepada Sailors – sesuatu yang mungkin lebih menyerlah apabila beliau semakin serasi dengan rakan sepasukan.

Ini yang boleh membuat pasukan lain berasa kurang selesa.

Sailors bukan sekadar mempunyai seorang atau dua pemain yang perlu dikawal.

Mereka mempunyai beberapa pemain yang boleh mencipta sesuatu secara individu, selain sistem yang membolehkan mereka menghasilkan peluang menerusi kombinasi dan pergerakan berpasukan.

Gol kedua Ilhan Fandi adalah contoh baik.

Bart Ramselaar (kiri) dan Farhan Zulkifli (kanan) bergandingan kemas sebelum mencipta ruang buat gol kedua Ilhan Fandi.
Bart Ramselaar (kiri) dan Farhan Zulkifli (kanan) bergandingan kemas sebelum mencipta ruang buat gol kedua Ilhan Fandi. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Farhan Zulkifli dan Bart Ramselaar bergabung sebelum bola sampai kepada Ilhan bagi gol keduanya.

Tiga pemain itu menghasilkan beberapa hantaran kemas antara mereka sebelum Ramselaar menemui Farhan dengan satu hantaran tepat selepas Farhan melakukan larian ke dalam kotak penalti.

Skuad Tampines Rovers menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua namun gagal manfaatkan peluang di hadapan gol.
Skuad Tampines Rovers menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua namun gagal manfaatkan peluang di hadapan gol. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Namun, keputusan 2-0 tidak tepat untuk menggambarkan Tampines sebagai pasukan yang tidak mampu mencabar Sailors.

Malah, selepas ketinggalan dua gol, kelab yang dikenali dengan gelaran Stags menunjukkan beberapa perkara yang cukup meyakinkan.

Pergerakan bola mereka lebih baik pada separuh masa kedua.

Pemain kelihatan lebih bijak mencari ruang, membuat kombinasi hantaran dan membawa bola ke kawasan serangan.

Mereka juga berjaya mencipta beberapa situasi yang boleh menghasilkan gol.

Masalah utama ialah hantaran terakhir dan juga kekurangan ketajaman di hadapan gol.

Penyerang Tampines Rovers, Hide Higashikawa (kiri), terus menjadi ancaman utama benteng lawan walaupun dikawal ketat pemain Sailors.
Penyerang Tampines Rovers, Hide Higashikawa (kiri), terus menjadi ancaman utama benteng lawan walaupun dikawal ketat pemain Sailors. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Walaupun gagal menjaringkan gol, Hide Higashikawa tetap merupakan pemain yang mampu memberikan masalah kepada mana-mana pertahanan.

Musim lalu, beliau menjaringkan 19 gol liga dalam 20 penampilan dan dinobatkan Pemain Terbaik SPL.

Tetapi perlawanan pada 6 September turut menunjukkan satu perkara yang mungkin perlu diperbaiki oleh ketua jurulatih Tampines, Nazri Nasir.

Hide tidak boleh menjadi satu-satunya pemain untuk mendapatkan gol.

Apabila Sailors dapat mengehadkan ruang dan mengurangkan hantaran bola kepadanya, Tampines memerlukan pemain lain untuk mengambil tanggungjawab.

Pergerakan dan kombinasi mereka sudah ada asas yang baik, tetapi lebih ramai pemain perlu muncul mengancam benteng lawan.

Ini lebih penting apabila mengambil kira jadual Tampines musim ini yang merangkumi SPL, Piala Singapura, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dan pertandingan kelab Asean.

Dalam musim yang panjang, tidak boleh semuanya bergantung kepada seorang penyerang.

Barisan kesebelasan utama Lion City Sailors yang menampilkan tujuh pemain baharu, membuktikan kedalaman skuad mantap dimiliki juara bertahan itu.
Barisan kesebelasan utama Lion City Sailors yang menampilkan tujuh pemain baharu, membuktikan kedalaman skuad mantap dimiliki juara bertahan itu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Dan di sinilah Sailors mungkin mempunyai kelebihan paling besar.

Kelab itu mengambil 11 rekrut baharu dan menampilkan tujuh pemain baharu dalam kesebelasan utama dalam pertembungan Perisai Masyarakat mereka pada 6 September.

Pemain yang mereka tandatangani tidak ada sesiapa yang boleh menyoal kualiti mereka.

Berikut hanya beberapa contoh yang memberikan gambaran kedalaman skuad mereka.

Apabila pemain kebangsaan Singapura, Farhan dikeluarkan, satu lagi pemain kebangsaan Singa, Glenn Kweh mengganti tempatnya.

Apabila Pheton dikeluarkan, pemain berpengalaman Eropah, Adekanye menggantikan tempatnya.

Yang lebih membimbangkan bagi pasukan lawan adalah Lennart Thy, penjaring terbanyak Sailors musim lalu, tidak perlu diturunkan untuk mengatasi Tampines.

Itu merupakan perkara yang sukar ditandingi oleh pencabar domestik, menjadikannya amat sukar untuk sesiapa mengejar mereka.

Memang Sailors akan menjadi pilihan utama SPL musim ini, namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.